Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, adakah sah solat jenazah ghaib dilakukan sebelum jenazah tersebut dimandikan? Ini bagi bagi kes jenazah yang berada di luar negeri (jauh). Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t.

Solat jenazah ghaib adalah solat yang dilakukan ke atas mayat yang tidak ada pada tempat tersebut seperti mayat yang berada jauh dari negara asalnya. Dalil pensyariatan solat jenazah ghaib adalah berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِىَّ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bertakbir sebanyak empat kali.”

Riwayat al-Bukhari (1188) dan Muslim (951)

Imam al-Nawawi berkata dalam kitabnya, al-Majmu’: “Mazhab kami membolehkan solat jenazah ghaib bagi yang jauh dari sesuatu negeri manakala Abu Hanifah melarangnya. Dalil yang kami gunakan adalah hadis sahih mengenai al-Najasyi…” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/211)

Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, solat jenazah ghaib boleh dilakukan bermula dari saat berita kematian dan berlanjutan selama tiga hari. Ini kerana tiga hari itu adalah tempoh bertakziah menurut yang maklum dari kitab-kitab fiqh. Namun pendapat yang muktamad adalah harus solat jenazah ghaib selama mana beliau adalah ahli solat ketika kematian berlaku. (Lihat al-Tanbih, hlm. 38; al-Umm, 1/244 dan Mughni al-Muhtaj,1/346)

Antara syarat solat jenazah ialah:

  • Solat jenazah ghaib dilakukan di negeri atau tempat yang berlainan dengan keberadaan mayat.
  • Solat jenazah ghaib tersebut dilaksanakan setelah dimandikan mayat tersebut. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm 385 dan al-Fiqh al-Manhaji, 1/600)

Syeikh Abu Bakr Uthman Syata al-Dimyati menyebut:

وَلَا بُدَّ فِي صِحَّةِ الصَّلَاةِ عَلَى الغَائِبِ أَنْ يَعْلَمَ أَوْ يَظُنَّ أَنَّهُ قَدْ غَسَلَ وَإِلَّا فَلَا تَصِحُّ

Maksudnya: “Dan tidak dapat tidak, dalam sahnya solat ghaib, bahawa diketahui atau disangkakan secara kuat bahawa jenazah itu telah dimandikan. Sekiranya tidak, maka tidak sah solat (ghaib) itu.” (Lihat I’anatu al-Talibin, 2/133)

Di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah antara nasnya: “Jika didapati orang yang lemas, maka hendaklah dimandi dan dikafankan, seterusnya didirikan solat (jenazah) ke atasnya sepertimana jenazah (yang lain). Akan tetapi, jika tidak menjumpainya, maka hendaklah dilakukan solat ghaib di sisi mazhab Syafi’i dan Hanbali.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/17)

Akan tetapi, kebanyakan ulama’ Syafi‘ie mensyaratkan mengikut yang muktamad di sisi mereka, hendaklah jenazah tersebut didahulukan mandinya. Sebaliknya, sebahagian jemaah mazhab Syafi‘ie dari kalangan mutakhir berpendapat sah solat ke atas mereka sekalipun tidak dimandikan.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/49; Asna al-Matalib, 1/321)

Al-Azra‘ie berkata: “Dan tidak boleh untuk orang yang tidak hadir (untuk menunaikan solat jenazah ghaib) sehinggalah dia mengetahui atau zhan bahawa jenazah telah dimandikan, kecuali jika dikatakan bahawa didahulukan mandian sebagai syarat jika mampu hanya apa yang telah lalu, atau dikatakan dia berniat solat ke atasnya, sekiranya (jenazah) telah dimandikan, maka dia menggantungkan niat.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/322)

Justeru, kami katakan bahawa hukum asal tidak sah solat jenazah ghaib sebelum dimandikan mayat terlebih dahulu. Tetapi, kami berpendapat harus solat jenazah walaupun belum dimandikan dalam situasi tertentu seperti tiada kesahihan bila pelaksanaan pemandian itu dilaksanakan. Inilah pandangan muta’akhirin ulama’ Syafi‘iyyah.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 24 April 2023 bersamaan 3 Syawal 1444H

Leave a Reply