Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana kita nak memujuk hati yang resah gelisah. Saya faham kita perlu meminta dengan sabar dan solat tapi adakalanya hati ini masih lagi bersedih. Tambahan pula dugaan yang menimpa adalah gangguan sihir, agak mencabar untuk terus bersabar dan terus cekal dalam cabaran. Mohon perkongsian yang mampu memperkuatkan diri ini. Terima kasih ustaz dan mohon doanya untuk kami keluar dari ujian ini dengan jayanya. Terima kasih sekali lagi.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya bersimpati dengan apa yang berlaku pada diri anda. Ingatlah kehidupan di dunia penuh dengan ujian, kadang-kadang badainya besar dan kadang-kadang ianya kecil. Hal ini bergantung kepada cara seseorang itu menangani ujian dengan penuh bijaksana dan kesabaran. 

Rasulullah SAW menghadapi pelbagai bentuk ujian serta mengajar kepada kita bagaimana menyelesaikannya. Akhirnya, Rasulullah SAW dan para sahabat berjaya dalam menempuh ujian tersebut. 

Pelbagai bentuk ujian dan ia adalah pasti. Benarlah firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Surah al-Baqarah (155)

Ibn Abbas ketika mentafsirkan ayat ini berkata: Allah SWT mengkhabarkan kepada kaum yang beriman bahawa sesungguhnya dunia ini adalah medan ujian. Sesungguhnya Dia jugalah yang menguji kalian di atas dunia ini serta Dia memerintahkan mereka (golongan beriman) untuk bersabar. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 3/220)  

Ibn Kathir berkata Allah SWT memberitahu hamba-Nya bahawa Dia akan menimpakan ujian kepada hamba-Nya untuk membezakan yang benar (imannya) daripada yang palsu dan membezakan hambanya yang gelisah dan yang sabar. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/344)

Al-Syaukani berkata: Makna ‘وَلَنَبْلُوَنَّكُم’ adalah kami mencuba kamu untuk menguji kamu, apakah kamu bersabar terhadap qadha’ atau tidak? Penyebutan lafaz ‘شَيْء’ secara nakirah menunjukkan sedikit. Yakni, dengan sedikit daripada perkara-perkara ini. (Lihat Fath al-Qadir, 1/609)

Dalam menjawab persoalan saudara, saya nyatakan beberapa perkara yang perlu saudara amalkan.

Pertama, tanyalah orang yang berpengalaman seperti ibu bapa, guru-guru, para ulama dan mereka yang pernah menghadapinya serta berjaya mengatasinya. Ini kerana, pengalaman mereka sebaik-baik penyelesaian dalam kehidupan ini. 

Kedua, banyakkan zikrullah kerana ia dapat menenagkan hati. Firman Allah SWT:

 أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Surah al-Ra’d: 28)

Syeikh al-Sa’di berkata: “Maksudnya adalah, dengan mengingati Allah SWT, segala keresahan dan kegundahan dalam hati akan hilang dan berganti dengan kegembiraan dan keceriaan. Bahkan, tidak ada sesuatu pun yang lebih mendatangkan ketenteraman dan kebahagiaan bagi hati manusia melebihi perbuatan berzikir untuk mengingati Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 417)

Ketiga, banyakkan menyebut La hawla wa la quwwata ila billah. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ، كَانَ دَوَاءً مِنْ تِسْعَةٍ وَتِسْعِينَ دَاءً، أَيْسَرُهَا؛ الْهَمُّ

Maksudnya: Sesiapa yang mengucapkan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ’, maka ia adalah penawar daripada 99 penyakit, dan yang paling ringan adalah perasaan bimbang dan keluh kesah.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1990), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (5028) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (178). Al-Hakim menyatakan hadith ini sahih. Manakala pengarang kitab Dha’if al-Jami’ (6286) menilai hadith ini sebagai dha’if.

Syeikh Ubaidullah al-Rahmani al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Imam al-Syaukani berkata: Zahirnya, sesungguhnya zikir ini adalah penawar dengan bilangan yang disebutkan, dan boleh jadi ia adalah lebih daripada itu. Maka maksudnya, ia adalah penawar kepada seluruh penyakit di mana seringan-ringannya ialah al-Hamm (yakni keluh kesah). Penyakit tersebut merangkumi penyakit-penyakit batin seperti takabbur, ‘ujub, syirik tersembunyi, dan hawa nafsu, ataupun yang lebih umum daripada itu. Dan inilah yang jelas.

Manakala al-Qari berkata, iaitu daripada penyakit-penyakit duniawi dan ukhrawi. Maksud yang paling ringan adalah yang paling sedikit dan paling mudah. Al-Hamm (keluh kesah) di sini merangkumi jenis yang berhubung dengan agama atau dunia, atau keresahan kehidupan dan dukacita hari akhirat.

Al-Munawi pula berkata: Demikian itu kerana seorang hamba, apabila terlepas daripada asbab, maka hatinya akan gembira dan bahagia, dukacitanya akan terlerai, serta akan datang kepadanya kekuatan, pertolongan dan dokongan. (Lihat Mir’at al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 17/261)

Keempat, saudara perlu menyibukkan diri dengan majlis ilmu serta solat berjemaah. Di samping itu, binalah rakan-rakan yang baik dan soleh kerana setidak-tidaknya ia boleh meredakan kemelut yang saudara hadapi. Ini kerana majlis ilmu akan membawa kepada limpahan kurniaan rahmat daripada Allah SWT dan kebaikan.

Akhir sekali, hendaklah kita beriman dengan qadha’ dan qadar kerana dengan keimanan yang sungguh lagi sebenar akan menyelesaikan isu kehidupan kita dengan lebih baik. Justeru, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga Allah SWT angkat segala ujian dari hidup kita. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H

Leave a Reply