Soalan :

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya, bolehkah harta yang sudah diwaqafkan ditebus semula?

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Wakaf

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan wakaf merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam. Sebagai contoh, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.

Dalam Bahasa arab pula, wakaf berasal dari pada perkataan waqf bererti berdiri atau berhenti. (Lihat: Lisan al-Arab, 9/359) Perkataan lain yang sama erti dengan perkataan wakaf ialah al-Habs yang bermaksud berhenti atau menahan. (Lihat: al-Takrifat al-Fiqhiyyah, 239) Kebanyakan ulama fiqh mentakrifkan wakaf dari segi bahasa dengan perkataan al-Habs kerana perkataan ini lebih hampir kepada pengertian syarak.

Dari sudut Istilah pula, para ulama telah mengemukakan beberapa pentakrifan tentang wakaf seperti berikut:

  • Ibn Hajar al-Haitami menyebut takrif wakaf dalam konteks syariah sebagai: “Menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan (awam) yang diharuskan.” (Lihat: Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 6/235)
  • Ibnu Qudamah mendefinisikan wakaf sebagai: “Menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkah buah (hasil)” (Lihat: Al-Mughni, 12/175)
  • Wahbah al-Zuhayli menyebut, “Wakaf ialah menahan harta benda daripada pemilikan untuk individu tertentu dan diuruskan manfaat (harta itu) untuk pihak yang telah diwakafkan ke atasnya (Mauquf Alaihi)”. (Lihat: Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 6/4553)

Mewakafkan harta adalah antara amalan yang amat dituntut di dalam Islam. Ini kerana, ganjaran pahala yang berterusan akan diperolehi bagi mereka yang melakukan amalan tersebut ikhlas kerana Allah SWT. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Surah Ali-Imran (92)

Dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, Imam Ibn Kathir ada menyatakan satu kisah berkaitan Abu Talhah RA yang mewakafkan satu telaga yang paling disukainya demi mendapat reda Allah SWT dan RasulNya. Lihat Tafsir al-Quran ‘Azim, 1/496

Dalam satu hadith Anas bin Malik R.A, diceritakan bahawa Abu Talhah merupakan seorang sahabat Ansar yang memiliki kebun kurma yang paling banyak di Madinah. Antara kebun kurma yang paling disayanginya adalah yang terletak di Bairuha’. Apabila Allah SWT mewahyukan ayat tersebut, lantas Abu Talhah terus berkata kepada Rasulullah SAW: “…Sesungguhnya antara harta-harta yang saya paling sayangi adalah kebun Bairuha’; Harta itu saya sedekahkan untuk Allah dan saya mengharap balasan kebaikan dan simpanan (pahala) di sisi Allah. Ya Rasulullah, silakan apa yang akan anda lakukan menurut petunjuk Allah kepadamu (terhadap kebun itu)…”

Lalu Rasulullah SAW bersabda:

بَخٍ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، وَقَدْ سَمِعْتُ مَا قُلْتَ، وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا فِي الأَقْرَبِينَ

Maksudnya: “Wah, itu adalah harta yang menguntungkan (mendatangkan pahala untukmu), itu adalah harta yang menguntungkan (mendatangkan pahala untukmu). Aku telah mendengar apa yang engkau katakan tentangnya, dan sesungguhnya aku berpendapat agar engkau menjadikannya (memberikannya) buat kaum kerabatmu.”

 Riwayat al-Bukhari (2769)

Setelah itu, Abu Talhah pun menyedekahkan harta tersebut kepada keluarganya. Kata perawi: “Antara mereka ialah Ubay dan Hassan.”

Istibdal (Tukar Ganti) Waqaf

Pada asalnya hukum Istibdal ini tidak diharuskan seperti umum dalil yang didatangkan oleh Ibnu Umar. Melainkan sebahagian pendapat yang membenarkan Istibdal atas tujuan memberi manfaat kepada harta wakaf dan juga di bawah kawal selia pihak qadi dan pihak yang berautoriti.

Dr. Wahbah al-Zuhaili mentakrifkan Istibdal adalah “Jual beli atau tukar ganti harta wakaf dengan harta yang lain atau dengan nilai mata wang. Serta penukaran ain harta wakaf dengan ain harta yang lain. Dalam perjalanan masa kini terdapat Istibdal dengan menjual beli harta wakaf menggunakan mata wang.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 10/7624)

Menjawab persoalan di atas suka kami bawa pandangan ulama berkenaan istibdal :

Menurut pandangan Mazhab Syafie tidak harus Istibdal masjid yang rosak ke tempat yang lain. Dan harta wakaf ini merupakan hak milik Allah SWT tidak boleh ditukar ganti, ini merupakan pendapat yang asah dalam mazhab ini. Adapun pendapat berlawanan dengan asah mengharuskan jual beli sekiranya harta itu tidak dapat memberi manfaat dan menjualnya merupakan perkara yang lebih utama. Dan jual beli itu mestilah dengan bertujuan untuk membangunkannya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 44/200-201)

Mengikut pandangan mazhab Hanafi dibolehkan istibdal sekiranya harta wakaf itu tidak memberi manfaat dan ditukar dengan barang yang lain. Qadi Abi Yusuf menyatakan “Sekiranya ia berpotensi mendatangkan manfaat yang lebih dibolehkan untuk istibdal dan tidak diharuskan sekiranya tidak mendatangkan keuntungan. Selain itu al-Turtusi menyatakan “Sekiranya terdapat syarat oleh pewakaf untuk tidak menukarkannya maka qadi atau pihak yang berautoriti berhak untuk menentukannya. Ini kerana mereka dapat melihat maslahat umum yang lebih jelas. (Lihat al-Bahr al-Raiq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 5/241)

Imam al-Mardawi berkata di dalam kitabnya, sekiranya barang wakaf itu tidak dapat memberi manfaat maka diharuskan untuk istibdal dengan barang yang sama nilai. Begitu juga dengan masjid, diharuskan untuk menukar ganti dengan tujuan pembinaannya semula dan maslahah umum (Lihat al-Insaf fi Makrifah al-Rajih min al-Khilaf, 7/101)

Mufti Mesir Fadhilatul Syeikh Dr. Syauqi Allam mengeluarkan fatwa bahawa dibolehkan istibdal harta wakaf sekiranya memberi manfaat yang lebih bertujuan maslahat umum. Pihak yang berhak untuk memutuskannya adalah qadi dan pihak yang berautoriti. (Lihat Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, Fatwa no. 4354)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah memutuskan: “Wakaf Gantian (wakaf ibdal) ialah bermaksud menukar harta wakaf dengan harta yang lain melalui jualan atau belian atau sebagainya dengan tujuan mengekalkan harta wakaf adalah diharuskan mengikut taqlid pendapat Imam Abu Hanifah”. (Lihat Kompilasi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan MKI 2016, hlm. 55)

Kesimpulan

Berkenaan dengan persoalan di atas pada asalnya harta wakaf tidak boleh ditukar ganti namun dibenarkan sekiranya bertujuan untuk mengekalkannya dan memberi manfaat kepada kepentingan umum. Perkara ini seharusnya dirujuk kepada pihak yang berautoriti dalam pengurusan harta wakaf.

Kami lebih cenderung dalam isu seperti di atas supaya harta wakaf dipertahankan tetapi untuk menyelesaikan masalah dengan mencari alternatif yang lain tanpa dijual harta wakaf tersebut.

Berkenaan kelebihan orang yang memberi wakaf hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW:

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: Apabila matinya seseorang itu, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkannya dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibubapanya.

Riwayat al-Nasa’ie (3651)

Semoga dengan penjelasan ini memberi kita kefahaman dalam memahami agama Islam dengan lebih baik. Amin.

Wallahualam.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply