Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum Platelet-Rich Plasma (PRP) pada kepala bagi merawat rambut yang gugur? Saya ada merujuk fatwa mengenai hukum suntikan vampire[1] yang pernah dikeluarkan oleh Dato’ Seri dahulu semasa masih lagi sebagai Mufti Wilayah Persekutuan. Jadi, berdasarkan fatwa tersebut untuk muka hukumnya adalah haram, adakah hukumnya juga sama untuk kepala? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya:Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373).

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73).

Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan dalam bukunya yang berkaitan pembedahan kecantikan ada membawakan satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan iaitu:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya:Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya.

Manakala lafaz “دَائِم” di sini pula merujuk kepada kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Justeru, pengikat ini mengeluarkan pengubahan yang bertempoh (التغيير المؤقت) yang mana kesannya itu tidak kekal lebih daripada beberapa hari.

Kemudian, lafaz “خِلْقَة مَعْهُودَة” pula merujuk kepada kejadian yang asal atau normal mengikut sunnah kauniyyah. Misalnya, orang yang sudah lanjut usianya akan mempunyai kedutan pada wajah mereka. Manakala orang yang masih muda pula, kedutan yang terdapat pada wajahnya dengan rupa yang hodoh dikira sebagai kejadian yang tidak normal.  Pengikat “خِلْقَة مَعْهُودَة” meliputi perubahan atas beberapa sebab:

  •     Mengubah kejadian yang asal demi kecantikan tambahan semata-mata seperti tatu, mencabut bulu-bulu wajah dan merenggangkan gigi serta apa-apa pembedahan kosmetik yang disandarkan kepadanya yang dilakukan pada kejadian yang asal mengikut uruf kebanyakan manusia.
  •     Mengubahnya untuk tujuan menyeksa seperti membutakan mata, memotong telinga dan seumpamanya.
  •   Mengubahnya untuk tujuan penyamaran dan melarikan diri daripada pihak berkuasa keselamatan.

Justeru, terkeluar daripada pengikat ini mengubah kejadian yang tidak normal seperti rawatan bagi penyakit, kecederaan, kehodohan dan keaiban yang asal atau keaiban yang mendatang yang menyebabkan kemudaratan pada anggota fizikal atau jiwa. Begitu juga tidak termasuk di dalamnya, pengubahan yang diizinkan oleh syarak seperti khitan dan menjatuhan hukuman syariah. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75).

Begitu juga Dr. Soleh al-Fauzan ada menetapkan tiga syarat bagi mengharuskan penggunaan suntikan kolagen pada bahagian-bahagian tubuh badan:

  •     Hendaklah kolagen tersebut diambil daripada bahan yang suci seperti lembu yang disembelih.
  •     Hendaklah doktor telah memastikan bahawa tiada mudarat pada suntikan tersebut.
  •     Hendaklah tujuan suntikan itu adalah untuk merawat keaiban yang bukan asli dan menghilangkan kehodohan, seperti membuang kedutan yang luar biasa. Adapun jika kesan rawatan itu membawa kepada penipuan atau mengubah ciptaan Allah, maka ia tidak dibolehkan, seperti membuang kedutan yang biasa muncul bagi orang yang sudah tua. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 351).

Sebenarnya berkaitan penggunaan plasma darah ini, kami pernah menjawab beberapa persoalan mengenai penggunaannya dalam pelbagai isu yang berbeza. Di antaranya:

  • #1538: Penggunaan Plasma Darah.[2]
  • #1690: Plasma Darah dalam Makanan.[3]
  • #1734: Penggunaan Platelet-Rich Plasma (PRP) dalam Rawatan Kosmetik.[4]

Secara ringkasnya, Platelet-Rich Plasma (PRP) adalah sebahagian daripada komponen darah kita. Darah kita terdiri daripada komponen darah dalam bentuk bahan cecair dan pepejal. Bahagian cecair yang dipanggil plasma diperbuat daripada air, garam dan protein. Manakala bahagian pepejal darah pula ialah sel darah yang dikenali sebagai sel darah merah, sel darah putih, dan platelet. Lebih separuh daripada darah terdiri daripada plasma.[5] Plasma darah ialah komponen cecair kuning pucat di dalam darah yang biasanya mengekalkan sel darah di dalam seluruh darah dalam ampaian.[6]

Platelet-Rich Plasma (PRP) adalah suatu rawatan yang berasaskan darah manusia. Elemen-elemen di dalam darah diasingkan dengan menggunakan mesin centrifuge untuk menghasilkan lapisan plasma dan platelet asli yang digunakan dalam kaedah rawatan PRP. PRP merupakan suatu konsep yang mana jumlah autologos plasma mempunyai kepekatan platelet yang melewati garis dasar plasma darah biasa.[7]

Bagaimana terapi PRP dilakukan bagi merawat keguguran rambut? Terapi plasma yang kaya dengan platelet melibatkan darah diambil daripada pesakit, seperti melakukan ujian darah. Sebuah mesin kemudiannya digunakan untuk menguraikan darah kepada platelet, serum dan sel darah, yang dimasukkan semula ke dalam badan untuk mencetuskan pertumbuhan rambut.

Faktor-faktor pertumbuhan yang dilepaskan oleh platelet merangsang folikel rambut yang tidak aktif agar menghasilkan rambut baru untuk menggantikan rambut yang gugur. Tindakan ini dapat menentang masalah keguguran rambut. Faktor-faktor pertumbuhan ini juga mencepatkan proses penyembuhan dan lama-kelamaan, kulit kepala menjadi semakin sihat disebabkan penghasilan tisu baru secara giat.[8]

Sebelum menjawab soalan yang diajukan, sebagaimana yang kita ketahui, darah merah yang mengalir dihukumkan sebagai najis dan haram untuk dimakan disebabkan oleh kenajisan darah tersebut. Bahkan, para fuqaha juga telah bersepakat mengenai pengharaman darah (yang mengalir) dan juga kenajisannya. (Lihat al-Hidayah Syarh Bidayah al-Mubtadi, 1/34-35; Mawahib al-Jalil, 3/234; Mughni al-Muhtaj, 1/112; al-Mughni, 11/65; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/220-221).

Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah.”

(Surah al-Baqarah: 173)

Syeikh al-Sa’di menyebutkan bahawa larangan memakan bangkai kerana ia adalah buruk lagi memudaratkan dan kebiasaannya juga ia mati (menjadi bangkai) disebabkan oleh penyakit. Maka, semakin bertambah lagi kemudaratannya. Syarak mengecualikan daripada keumuman larangan bangkai ini, bangkai belalang dan ikan serta haiwan laut kerana ia adalah halal lagi baik. Manakala darah yang dimaksudkan di sini ialah darah yang mengalir sebagaimana yang disebutkan dalam ayat yang lain. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/81).

Selain itu, di antara dalil yang menunjukkan kepada kenajisan darah (yang mengalir) ialah kita diperintahkan untuk mencucinya. Ini sebagaimana riwayat daripada daripada Asma’, katanya:

جَاءَتِ امْرَأَةٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: أَرَأَيْتَ إِحْدَانَا تَحِيضُ فِي الثَّوْبِ، كَيْفَ تَصْنَعُ؟ قَالَ: تَحُتُّهُ، ثُمَّ تَقْرُصُهُ بِالمَاءِ، وَتَنْضَحُهُ، وَتُصَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Seorang perempuan datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: ‘Bagaimanakah pendapat tuan jika salah seorang daripada kami, kainnya terkena darah haid, apakah yang harus dia lakukan?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Hendaklah dia menyental (kain yang terkena darah itu), kemudian menggores dengan kukunya dengan air, dan merenjisnya dengan air, setelah itu bolehlah dia menunaikan solat dengannya.’

Riwayat al-Bukhari (227)

Oleh itu, jelaslah bahawa haram untuk memakan darah yang mengalir berdasarkan kepada nas yang telah disebutkan di atas, tidak kira darah itu daripada haiwan yang halal dimakan dagingnya mahupun yang haram dimakan dagingnya, atau darah manusia. Akan tetapi dikecualikan daripada hukum darah yang mengalir itu, darah yang berbaki pada urat (yang terdapat pada daging haiwan) disebabkan oleh kesukaran dan kepayahan untuk menghindarinya.[9]

Begitu juga kami berpendapat bahawa plasma darah yang diekstrak daripada darah turut dihukumkan sebagai najis sebagaimana hukum darah itu sendiri. Hal ini kerana darah yang merupakan asalnya telah dihukumkan sebagai najis berdasarkan nas yang sahih. Justeru, hukum yang sama terpakai kepada cabangnya atau apa yang berasal daripadanya. Ini berdasarkan kaedah:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa terdapat dua isu yang saling berkait dalam hal ini. Pertamanya, rawatan rambut gugur. Keduanya, rawatan rambut gugur dengan Platelet-Rich Plasma (PRP).

Berkenaan isu pertama, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat rawatan rambut gugur adalah diharuskan jika ada keperluan melakukannya seperti menghilangkan aib kerana kehilangan atau keguguran rambut disebabkan oleh masalah hormon, penyakit, kesan sampingan ubatan, stress dan sebagainya. Apatah lagi rawatan masalah keguguran rambut bukanlah demi kecantikan tambahan semata-mata, akan tetapi ia bertujuan mengembalikan semula rambut yang hilang, yang lebih sihat. Justeru, ia tidak termasuk dalam bentuk pengubahan pada kejadian yang sedia ada (normal).

Seterusnya, berkenaan isu kedua pula, penggunaan Platelet-Rich Plasma (PRP) pada kepala bagi merawat rambut yang gugur adalah berkait rapat dengan berubat dengan bahan bernajis. Mengenai hal ini, terdapat hadith riwayat Ummu Salamah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ لَـمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حرَّمَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penyembuh buat kamu pada perkara yang telah Dia haramkan ke atas kamu.

Riwayat Ibn Hibban (1391)

Selain itu, terdapat juga hadith lain sebagaimana diriwayatkan oleh Wa’il al-Hadrami, bahawa Tariq bin Suwaid al-Ju‘fi R.A bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan arak. Kemudian, Baginda SAW melarang — atau tidak gemar untuk beliau melakukannya. —  Tariq berkata: “Sesungguhnya aku melakukannya untuk berubat.” Maka Baginda SAW bersabda:

إِنَّهُ لَيْسَ بِدَوَاءٍ، وَلَكِنَّهُ دَاءٌ

Maksudnya:Sesungguhnya ia (arak) bukan ubat, akan tetapi merupakan suatu penyakit.

Riwayat Muslim (1984)

Imam al-Nawawi ketika mengulas berkenaan dengan isu hukum berubat dengan najis, beliau menjelaskan pandangan mazhab Syafi‘i dan majoriti ulama bahawa boleh berubat dengan najis selain daripada suatu yang memabukkan. Akan tetapi hukum keharusan itu terikat dengan ketiadaan bahan perubatan yang suci lagi halal yang harus untuk digunakan. Sekiranya terdapat bahan perubatan yang suci dan halal, maka hukum menggunakan bahan bernajis sebagai ubat adalah haram tanpa sebarang khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/50-51).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat penggunaan Platelet-Rich Plasma (PRP) dalam rawatan masalah keguguran rambut adalah tidak dibolehkan kerana plasma darah yang diekstrak daripada darah manusia sekalipun daripada darah pesakit yang menjalani prosedur rawatan sendiri adalah najis. Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan ihtiyat (berhati-hati).

Maka, hukumnya tetap haram tidak kira ia digunakan di bahagian muka, kepala atau pada mana-mana bahagian tubuh badan. Hal ini kerana di antara syarat yang mesti dipenuhi bagi mengharuskan penggunaan sesuatu bahan dalam rawatan ialah bahan yang hendak digunakan mestilah suci dan bukan najis, di samping rawatan itu tidak memudaratkan orang yang menjalani prosedur tersebut.

Lebih-lebih lagi, kini terdapat alternatif rawatan lain yang menggunakan bahan yang suci dan bukan najis yang boleh digunakan dalam rawatan masalah keguguran rambut selain daripada rawatan PRP.

Sekalipun begitu, hukumnya menjadi harus jika perkara tersebut dalam kategori dharuriyyat atau hajiyyat. Ini bertepatan dengan kaedah:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya:Keadaan dharurat (terdesak) boleh mengharuskan yang haram.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 84 dan al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 85).

Akan tetapi kaedah ini terikat dengan kaedah lain yang menyebutkan:

الضَّرُورَاتُ تُقَدَّرُ بِقَدْرِهَا

Maksudnya:Keadaan dharurat (terdesak) hanya diambil cukup sekadar yang perlu sahaja.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 184-186).

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a‘lam.

 

 

[1] Lihat https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1239-irsyad-al-fatwa-ke-126-hukum-suntikan-vampire-menggunakan-darah. Diakses pada 7 Jun 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/1538-penggunaan-plasma-darah/. Diakses pada 7 Jun 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/1690-plasma-darah-dalam-makanan/. Diakses pada 7 Jun 2023.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/1734-penggunaan-platelet-rich-plasma-prp-dalam-rawatan-kosmetik/. Diakses pada 7 Jun 2023.

[5] Lihat artikel yang ditulis oleh Fajarina Nurin dan disemak secara perubatan oleh Dr. Michael Josiah, https://hellosehat.com/kelainan-darah/plasma-darah/. Diakses pada 23 Mei 2023.

[6] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Plasma_darah. Diakses pada 23 Mei 2023.

[7] Lihat Penggunaan Kaedah Platelet-rich Plasma (PRP) dalam Rawatan Kecantikan Menurut Perspektif Halal Haram oleh Nurhidayah, M. S, Nur Fadhilah, dan R. Mohd Anuar, Perspektif Industri Halal: Perkembangan dan Isu-Isu 1 (2015): 1-8.

[8] Lihat https://premier-clinic.com/bm/plasma-yang-kaya-dengan-platelet-prp-untuk-merawat-keguguran-rambut/. Diakses pada 7 Jun 2023.

[9] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18. Diakses pada 23 Mei 2023.

 

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply