Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanya apakah hukum saya terpijak lopak air ada kesan tapak kaki babi? Mohon penjelasan. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302)

 Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).

Surah al-Ma’idah (3)

Dalam mazhab Syafi’i, babi dianggap sebagai najis mughallazah (berat). Najis seperti ini perlu disamak dan dibasuh dengan 7 kali air serta salah satu daripadanya air tanah. 

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan selama mana tidak nampak ‘ain najasah yang nyata dan zahir pada kaki dan kasut saudara maka tidak perlulah anda menyamaknya atau sertunya. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “Allah menghendaki kemudahan bagi kalian dan Allah tidak menghendaki kesulitan bagi kalian.”

Surah al-Baqarah (185)

Syeikh al-Sa‘di menjelaskan, bahawa ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86)

 Untuk memahami lebih lanjut berkenaan Babi, maka saudara boleh rujuk di link bawah:

  • #1539: Kawasan Becak Bernajis Babi?[1]
  • #1018 Sentuh Tin yang Mengandungi Bahan Berasaskan Babi[2] 

Semoga pencerahan ini boleh membawa keyakinan kepada kita di samping mengelakkan kita daripada sifat was-was. Akhir kalam, marilah sama-sama kita menekuni dan mempelajari ilmu agar selamat dari pelbagai ujian, bala dan diberi kefahaman berkenaan agama kita dengan sebaiknya. Amin. 

 [1] https://maktabahalbakri.com/1539-kawasan-becak-bernajis-babi/ 

[2] https://maktabahalbakri.com/1018-sentuh-tin-yang-mengandungi-bahan-berasaskan-babi/#_ftn1

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply