Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan mengenai mimpi. Mimpi saya beberapa kali cabut gigi, sakit dia saya betul-betul rasa. Kadang kadang pelik gigi saya jadi panjang la cabut semua la, jika tak keberatan boleh ustaz kongsi apa apa yang perlu saya tahu? Terima kasih ustaz.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam hal ini, kami kemukakan hadith Nabi SAW, daripada Abu Qatadah bahawa Baginda bersabda:

الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ مِنَ اللهِ، وَالحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ.

Maksudnya: “Mimpi yang benar daripada Allah, dan mimpi yang buruk daripada syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (6984)

Perlunya kita memahami jika ia baik adalah daripada Allah maka bolehlah kita ceritakan sebaliknya jika tidak, ia daripada syaitan, maka hendaklah kita berdoa berlindung daripadanya. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda: 

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ اللهِ، فَلْيَحْمَدِ اللهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kalian bermimpi melihat sesuatu yang disenanginya, maka sesungguhnya mimpi itu daripada Allah, kerana itu hendaklah dia memuji Allah dan menceritakannya. Dan apabila dia bermimpi melihat sesuatu yang tidak disenanginya, sesungguhnya mimpi itu daripada syaitan, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada keburukannya dan tidak menceritakannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan membahayakannya.”

Riwayat al-Bukhari (6985)

Erti mimpi gigi tercabut lebih menekankan erti pada berkurangnya nikmat. Gigi memiliki fungsi yang sangat penting untuk mengunyah makanan. Dengan mimpi hilangnya gigi, itu petanda kenikmatan akan berkurang, terutama kenikmatan untuk makan. Meskipun demikian, ada beberapa juga yang mengatakan bahawa mimpi gigi tercabut memiliki erti kehilangan seseorang yang dekat dengan kita.

Di dalam mulut, terdapat deretan gigi bagian atas dan bawah dengan nama dan fungsi masing-masing. Menurut ilmu tafsir mimpi, deretan tersebut diibaratkan anggota keluarga, orang tua, saudara kandung, pakcik dan makcik, nenek dan lain-lain. Untuk itulah kemudian ilmu tafsir mimpi menafsirkan beberapa mimpi yang berkaitan dengan gigi tercabut, seperti gigi bahagian atas, bawah, bahagian geraham atas, geraham bawah, dan bahkan mimpi gigi tercabut semua sehingga lompong pun ada.

Meskipun demikian, tidak sedikit pula yang mengabaikan tentang mimpi gigi ini. Tidak banyak yang setelah ia mengabaikannya, kebetulan ada ahli keluarga yang benar-benar kembali ke rahmatullah untuk selama-lamanya ada juga yang tidak berlaku. Jadi, berkenaan adakah perlu percaya ataupun tidak dengan tafsir mimpi mengenai gigi tercabut terpulang kepada diri sendiri.

Dalam Islam sendiri, erti mimpi boleh benar-benar datangnya dari Allah atau boleh juga dari bisikan syaitan. Biasanya mimpi yang buruk, aneh dan terlalu mengada-ada atau bahkan menakutkan, datangnya dari syaitan. 

Kami katakan mimpi anda insyaAllah baik pada kesudahannya kerana gigi juga seperti jadi panjang ia memberi makna kekuasaan dan kekuatan. Semoga Allah SWT kurniakan kepada anda kebaikan dalam menempuh ranjau kehidupan. Selalulah berdoa kebaikan kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply