#2490: Insan Dari Susur Galur Nabi Muhammad SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sebagai seorang yang cetek ilmunya, ingin bertanya tentang kehadiran seorang  insan dari Morocco ke Malaysia yang di gelar cicit susur galur Rasulullah SAW. Mohon pandangan Datuk.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nabi Muhammad SAW ialah Nabi dan Rasul yang terakhir diutuskan oleh Allah SWT untuk menjadi contoh teladan terulung untuk seluruh alam. Kedatangannya juga adalah untuk “Menyempurnakan Akhlak” (Makarimal Akhlak) manusia. Nabi Muhammad SAW berasal dari keturunan kepada Nabi Allah Ismail dan Nabi Allah Ibrahim AS.

  1. Keturunan Nabi SAW dan nasabnya banyak telah dicatatkan.
  2. Sifat keturunan Nabi SAW akan kekal hingga hari kiamat.

Daripada Umar R.A, katanya: Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ سَبَبٍ وَنَسَبٍ مُنْقَطِعٌ يَوْمَ القِيَامَةِ إِلاَّ سَبَبِي وَنَسَبِي

Maksudnya: “Semua sebab (asal usul) dan nasab akan terputus pada hari kiamat kecuali sebab dan nasabku.

Riwayat al-Bazzar (274); al-Tabarani (2633); al-Zahabi dalam al-Muhazzab (5/2632) menilai sanadnya sebagai baik (soleh); Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Siyar A‘lam al-Nubala’ (3/500) menilainya sebagai sahih; al-Bazzar dalam al-Ahkam al-Syar‘iyyah al-Kubra (3/75) menyebutkan, (dalam jalur ini) Abdullah bin Zaid bersendirian dalam meriwayatkannya daripada bapanya, manakala dalam jalur yang lain adalah mursal. Selain itu, Abdullah bin Zaid telah dinilai sebagai dhaif oleh Yahya bin Ma‘in, akan tetapi Ahmad bin Hanbal menilainya sebagai thiqah. Manakala Abu Hatim pula berpendapat, dia tidak ada masalah. 

Saidina Umar berkahwin dengan anak Saidina Ali

Salah seorang anak Saidina Ali bernama Ummu Kulthum binti Ali R.Anhuma. Beliau adalah adik-beradik kandung kepada al-Hasan dan al-Husain. Beliau dilahirkan pada penghujung tahun 6 Hijrah, dan sempat melihat Nabi SAW tetapi tidak meriwayatkan apa-apa hadith daripadanya.

Umar bin al-Khattab R.A masuk meminangnya, dan ketika itu Ummu Kulthum masih lagi kecil. Maka, ditanyakan kepada Umar R.A: “Apa yang kamu mahukan kepadanya?” Umar R.A menjawab: Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ سَبَبٍ وَنَسَبٍ مُنْقَطِعٌ يَوْمَ القِيَامَةِ إِلاَّ سَبَبِي وَنَسَبِي

Maksudnya: “Semua sebab (asal usul) dan nasab akan terputus pada hari kiamat kecuali sebab dan nasabku.

Riwayat al-Bazzar (274); al-Tabarani (2633); al-Zahabi dalam al-Muhazzab (5/2632) menilai sanadnya sebagai baik (soleh); Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Siyar A‘lam al-Nubala’ (3/500) menilainya sebagai sahih; al-Bazzar dalam al-Ahkam al-Syar‘iyyah al-Kubra (3/75) menyebutkan, (dalam jalur ini) Abdullah bin Zaid bersendirian dalam meriwayatkannya daripada bapanya, manakala dalam jalur yang lain adalah mursal. Selain itu, Abdullah bin Zaid telah dinilai sebagai dhaif oleh Yahya bin Ma‘in, akan tetapi Ahmad bin Hanbal menilainya sebagai thiqah. Manakala Abu Hatim pula berpendapat, dia tidak ada masalah. 

Tambahan lagi, Abdullah bin Zaid bin Aslam meriwayatkan daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Umar menikahi Ummu Kulthum dan memberinya mahar sebanyak 40 ribu dirham.

Diceritakan bahawa Umar bin al-Khattab R.A berkata kepada Ali R.A: “Kahwinkanlah aku dengannya wahai Abu Hasan kerana sesungguhnya aku tertarik kepada kemuliaannya apa yang tidak ada pada orang lain.” Ali berkata: Kalau begitu, aku akan menghantarnya kepada kamu. Jika kamu redha dengannya, maka aku akan kahwinkan kamu dengannya — disebabkan oleh Ummu Kulthum ketika itu masih lagi kecil. Setelah itu, Ali R.A menghantar Ummu Kulthum R.Anha kepada Umar R.A dengan membawa bersamanya al-Burd (sejenis pakaian berbelang yang membaluti). Kemudian Ali berpesan kepada Ummu Kulthum: “Katakanlah kepadanya: ‘Ini adalah al-Burd yang aku pernah sebutkan kepadamu.’” 

Maka Ummu Kulthum menyebutkan perkara tersebut kepadanya. Lalu Umar berkata: “Katakanlah kepadanya: ‘Sesungguhnya aku meredhainya, semoga Allah meredhaimu,’” dan Umar pun meletakkan tangannya pada betis Ummu Kulthum dan menyelaknya (yakni kain yang menutupi betis Ummu Kulthum). Maka, Ummu Kulthum berkata: “Adakah engkau melakukan perkara ini? Kalaulah bukan kerana engkau Amirul Mukminin, pasti aku dah pecahkan hidung engkau.” Kemudian beliau pergi kepada bapanya lalu memberitahunya apa yang berlaku, dan beliau berkata: “Sesungguhnya engkau telah menghantarku kepada seorang lelaki tua yang jahat.” Lalu Ali R.A berkata: “Wahai anak perempuanku, sesungguhnya dia adalah suamimu.”

Setelah itu, Umar bin al-Khattab R.A pergi ke majlis kaum Muhajirin di dalam al-Raudhah. Hal ini kerana di situ menjadi tempat kaum Muhajirin yang terawal biasanya duduk. Lalu Umar duduk bersama mereka dan berkata kepada mereka: “Berilah ucapan tahniah dan doa kepadaku.” Maka mereka bertanya: “Kenapa wahai Amirul Mukminin?” Umar menjawab: “Aku telah berkahwin dengan Ummu Kulthum binti Ali bin Abu Talib. Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Semua nasab, sebab dan hubungan kekeluargaan akan terputus pada hari kiamat kecuali nasab, sebab dan hubungan kekeluargaanku.’ Maka, aku (sudah) mempunyai sebab dan nasab dengannya, dan aku ingin pula berhimpun hubungan kekeluargaan (melalui perkahwinan) dengannya.” Maka, mereka (kaum Muhajirin) R.Anhum pun mengucapkan tahniah kepada Umar dan mendoakannya.

Al-Zuhri dan ulama selainnya menukilkan bahawa Ummu Kulthum R.Anha melahirkan buat Umar R.A seorang anak lelaki bernama Zaid. Namun, ada juga yang berpendapat, beliau melahirkan buatnya seorang anak perempuan bernama Ruqayyah. Anaknya yang bernama Zaid merupakan salah seorang pemuka Quraisy yang sangat dihormati. Akan tetapi Zaid bin Umar meninggal dunia ketika masih lagi muda dan tidak meninggalkan zuriat. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/500-502; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/464-466; al-Muntazam fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam, 4/237-238; Mukhtasar Tarikh Dimasyq, 9/162). 

Kemuliaan keturunan juga terkait dengan iman dan taqwa kerana itu Allah SWT berfirman: 

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ 

Maksudnya: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).”

Surah al-Hujurat (13)

Hadith Nabi SAW daripada Jabir bin Abdullah R.anhuma, bahawa sabda Rasulullah SAW:

يَا أيُّها النَّاسُ إنَّ ربَّكمْ واحِدٌ، ألَا لَا فَضْل لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ، وَلاَ لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلاَ لأَِحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلاَ أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ إِلاَّ بِالتَّقْوَى

Maksudnya: Wahai Manusia, sesungguhnya tuhan kamu semua adalah yang esa, tidak ada kelebihan bagi orang arab ke atas yang bukan arab, dan bukan juga bagi bukan arab ke atas orang arab, dan tidak ada kelebihan bagi yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam dan bukan juga yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah kecuali dengan (kelebihan) taqwa.

Riwayat Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah al-Auliya’(3/100) dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (5137). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan kitab Ghayah al-Maram (313). Begitu juga yang dinyatakan oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut bahawa isnadnya sahih. (Lihat takhrij Zad al-Ma’ad, 5/144)

Imam al-Syaukani menyebutkan: Hadis ini menunjukkan penafian kepada kelebihan sebahagian orang kepada sebahagian yang lain dari sudut keturunan dan bangsa sebagaimana pada zaman Jahiliah kerana apabila tuhan itu esa, maka tidak ada seorang pun yang boleh mendakwa kelebihannya selain daripada taqwa. dan Hadith ini menunjukkan kelebihan taqwa dan menafikan selainnya. (Lihat Nail al-Awtar, 5/99)

Kami katakan jika benar itu daripada nasab keturunan Nabi SAW maka itu adalah kurniaan terbaik kepada seseorang itu. Maka lafazkanlah alhamdulillah dan ikutlah segala yang Rasulullah SAW perintahkan. Maka, dengan cara seperti ini, seseorang akan merasa kasih kepada Allah SWT dan Allah SWT kasih kepadanya di samping mendapat keampunan daripada-Nya sebagai penzahirannya. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّـهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّـهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّـهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Ali-Imran: 31)

Ibn Kathir berkata: “Ayat pemutus bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah SWT tetapi tidak menempuhi jalan Muhammad SAW, bahawa dia ialah pembohong dalam pengakuan cintanya itu sehingga dia mengikuti syariat dan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam semua ucapan dan perbuatannya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/231)

Kami menganggap perkara seperti ini patut kita menghormatinya dan mengasihinya jika benar daripada keturunan Nabi SAW sebagai tanda kita cinta kepada Rasulullah SAW. Daripada Zaid bin Arqam RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 قَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا فِينَا خَطِيبًا، بِمَاءٍ يُدْعَى خُمًّا بَيْنَ مَكَّةَ وَالْمَدِينَةِ فَحَمِدَ اللهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ، وَوَعَظَ وَذَكَّرَ، ثُمَّ قَالَ : ( أَمَّا بَعْدُ، أَلَا أَيُّهَا النَّاسُ فَإِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ يُوشِكُ أَنْ يَأْتِيَ رَسُولُ رَبِّي فَأُجِيبَ، وَأَنَا تَارِكٌ فِيكُمْ ثَقَلَيْنِ: أَوَّلُهُمَا كِتَابُ اللهِ فِيهِ الْهُدَى وَالنُّورُ فَخُذُوا بِكِتَابِ اللهِ ، وَاسْتَمْسِكُوا بِهِ ) فَحَثَّ عَلَى كِتَابِ اللهِ وَرَغَّبَ فِيهِ، ثُمَّ قَالَ: ( وَأَهْلُ بَيْتِي أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي، أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي، أُذَكِّرُكُمُ اللهَ فِي أَهْلِ بَيْتِي 

Maksudnya: “Pada suatu hari Rasulullah SAW berdiri dan berucap kepada kami di sebuah tempat berair bernama Khum, di antara Makkah dan Madinah. Dia memuji dan memuliakan Allah, dan dia menasihati dan mengingatkan kita, lalu dia bersabda: “Adapun selepas itu: Wahai manusia, aku hanyalah manusia, dan tidak lama lagi utusan Tuhanku akan datang kepadaku dan aku akan menjawab. Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang berat, yang pertama ialah Kitab Allah yang di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya. Ikutilah kitab Allah dan berpegang teguhlah kepadanya.” Dan dia mendorong kami untuk berpegang teguh kepada Kitab Allah, kemudian dia bersabda: “Dan ahli keluargaku, aku ingatkan kamu kepada Allah mengenai ahli keluargaku, aku ingatkan kamu kepada Allah mengenai ahli keluargaku, aku ingatkan kamu kepada Allah mengenai ahli rumahku.”

Riwayat Muslim (2408)

Tafsiran Hadith

Syeikh al-Islam Taqiyuddin Abu al-Abbas berkata: Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, tetapi terdapat tambahan lafaz (وإنهما لن يفترقا حتى يردا علي الحوض). Kebanyakan ulama’ tidak menerima tambahan lafaz ini dan mengatakan bahawa tambahan lafaz ini bukannya sebahagian daripada hadith. Namun, menurut ulama yang menerima tambahan lafaz ini, hadith ini menunjukkan bahawa para keturunan daripada Bani Hasyim tidak bersepakat dalam kesesatan dan ini merupakan pendapat sekumpulan daripada ahli sunnah dan merupakan jawapan al-Qadhi Abu Ya’la dan selainnya. Hadith yang ada dalam Sahih Muslim – jika benar Nabi SAW telah mengatakannya – maka tidak ada sesuatu padanya selain ia merupakan wasiat untuk mengikuti Kitabullah, dan ini adalah perintah yang telah diwasiatkan dalam Khutbah Wada’ sebelumnya. Nabi SAW tidak memerintahkan untuk mengikuti keluarganya (Ahlu al-Bayt), namun Baginda SAW bersabda: ‘(أذكركم الله في أهل بيتي) Aku mengingatkan kamu kepada Ahli Baitku’. Mengingatkan umat kepada mereka mengharuskan agar mereka memberikan hak-hak mereka dan menahan diri daripada melakukan kezaliman kepada mereka sebagaimana yang telah disebutkan sebelumnya.” (Lihat al-Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah, 7/ 318)

Para pentahqiq Musnad Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan: “Telah dinyatakan bahawa maksud daripada ucapan Nabi SAW ‘(وعترتي أهل بيتي) dan keluargaku, ahli baitku’, adalah kewajiban untuk meraikan dan mengasihi mereka, menghindari hal-hal yang menyakitkan mereka, dan berhati-hati terhadap apa yang membahayakan mereka. Hal ini terdapat dalam hadith Zaid bin Arqam dalam Muslim yang menyatakan, ‘Dan keluargaku, aku mengingatkan kamu pada keluargaku, aku mengingatkan kamu pada keluargaku, aku mengingatkan kamu pada keluargaku.’ Hal ini menunjukkan kewajiban untuk mencontohi mereka, mengambil perkataan mereka, dan mengikutinya, seperti perkataan baginda: ‘Kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang teguh pada keduanya’ atau ‘Kamu tidak akan sesat selama mana kamu mengikutinya.’ Namun, sanadnya lemah dan tidak boleh dijadikan sebagai hujjah. Frasa-frasa ‘keduanya’ dan ‘mengikutinya’ termasuk waham yang melemahkan riwayat ini. Selain itu, pada Khutbah Haji Wada’, Nabi SAW hanya menyebutkan pentingnya berpegang teguh pada Kitabullah, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada hadith Jabir: ‘(تركت فيكم ما لن تضلوا بعده إن اعتصمتم به ، كتاب الله) Aku meninggalkan padamu apa yang tidak akan pernah menyesatkanmu selama kau berpegang teguh padanya, iaitu Kitabullah.’ Baginda SAW tidak menyebutkan ‘keluarga’ pada ketika itu. Ketika mana Haji Wada’ selesai dan mereka bermusafir dan turun di Ghadir Khum, baginda merasakan dekatnya ajal baginda dan berkata, ‘Akan datang padaku utusan Tuhanku, dan aku akan menjawab.’ Baginda SAW kemudian menasihati mereka untuk berpegang teguh pada Kitabullah lagi dan menambahkannya dengan mengingatkan mereka tentang keluarganya, iaitu, ‘(إني قد تركت فيكم ما إن أخذتم به لن تضلوا: كتاب الله ، وعترتي أهل بيتي) Sesungguhnya, aku telah meninggalkan padamu dua perkara yang tidak akan pernah menyesatkanmu jika kau berpegang teguh padanya: Kitabullah dan keluargaku, ahli baitku.’ Ucapan baginda SAW ‘dan keluargaku, ahli baitku’ ditempatkan sebagai kata kerja yang tidak disebutkan (منصوب بفعل محذوف), yang bererti ‘jaga keluargaku’ atau ‘Aku mengingatkan kamu pada keluargaku,’ seperti yang diriwayatkan oleh Muslim. Ini adalah makna yang difahami oleh para sahabat Nabi SAW. Imam al-Bukhari (3712) meriwayatkan daripada Abu Bakar RA, katanya:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، لَقَرَابَةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَبُّ إِلَيَّ أَنْ أَصِلَ مِنْ قَرَابَتِي.

Maksudnya: “Demi Dia yang jiwaku berada di tangan-Nya, lebihlah aku suka menghubungkan silaturahim dengan kerabat Rasulullah SAW berbanding dengan kerabatku sendiri.”

Begitu juga katanya sebagaimana riwayat al-Bukhari (3713):

ارْقُبُوا مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أَهْلِ بَيْتِهِ

Maksudnya: “Kamu peliharalah (hak) Muhammad SAW (yang ada) pada (hak) ahli keluarga Baginda.”

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitab Fath al-Bari (7/79) mengatakan: “Pengawasan terhadap sesuatu adalah memeliharanya. Dia (yang dimaksud dalam hadith) mengatakan: Peliharalah mereka dan jangan menyakiti mereka dan jangan berbuat buruk terhadap mereka.”

Maka kami  mengatakan: Ini sesuai dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِلَّا الْمَوَدَّةَ فِي الْقُرْبَىٰ ۗ

Maksudnya: “Katakanlah: “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah tentang ajaran Islam yang aku sampaikan itu, (yang aku minta) hanyalah kasih mesra (kamu terhadapku) disebabkan pertalian kerabat (yang menghubungkan daku dengan kamu supaya aku tidak disakiti)” (Surah al-Syura: 23).” (Lihat Hasyiah “Musnad Ahmad”, 17/175-176).”

Hadith ini bukanlah bermakna kewajipan merujuk kepada imam ahl al-bayt jika berlaku perselisihan, dan apa yang tersirat berkenaan kemaksuman mereka dan bahawa mereka tidak harus dianggap sebagai sumber perundangan (syariah) selepas Kitab Allah. Hal ini kerana dua sebab:

  • Sebab yang pertama adalah syariah, iaitu bahawa Allah S.W.T telah memerintahkan kita untuk merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya SAW sekiranya berlaku pertikaian. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul (Muhammad s.a.w) dan orang-orang yang berkuasa di antara kamu. (Dan) jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya, jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Itu lebih baik dan lebih sesuai untuk penentuan muktamad.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi berkata: Suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya. Justeru, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 4/2360)

  • Sebab yang  kedua adalah lebih rasional dan realistik, iaitu ahl al-bayt pada masa kini sangat berbeza. Sebahagian daripada mereka adalah daripada Ahl al-Sunnah; sebahagian daripada mereka adalah ahli sufi, syiah, dan selainnya.

Maksud dari ‘العترة’ yang kesepakatan mereka menjadi dalil hukum adalah para ulama dari keluarga Nabi yang mengikuti petunjuk Nabi SAW. Dan bukan dimaksudkan bahawa setiap orang yang memiliki keturunan daripada Bani Hasyim, meskipun dia jahil, fasik, atau ahli bid’ah.”

Al-Mulla ‘Ali al-Qari berkata: Ahlul Bayt biasanya lebih mengetahui tentang keluarga mereka dan keadaannya. Maka yang dimaksud dengan Ahlul Bayt ialah orang-orang yang berilmu di antara mereka, orang-orang yang mengetahui akhlak dan sikap baginda, yang mengetahui jalan baginda, dan yang mengetahui ketetapan hukum dan hikmahnya. Dengan demikian mereka layak disebut di samping Kitab Allah, sebagaimana firman-Nya: “(وَيُعَلِّمُهُمُ الكِتَابَ وَالحِكْمَةَ)”. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 9/3975)

Kami katakan berpegang dengan kitab Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW telah sabit dalam nas hadith seperti yang diriwayatkan oleh Imam Malik. Dan juga kita menghormati dan mengasihi keluarga Rasulullah SAW sebagai mana yang disebut oleh Imam al-Tahawi dan juga Ibnu al-Sakhawi: “Keluarga” adalah Ahlul Bayt yang berpegang pada agamanya dan mengikuti jejaknya. 

Kami diajar untuk berselawat ke atas Nabi SAW dan keluarganya sebagai mana nas yang sahih. Suka kami nyatakan sebagai peringatan untuk kita semua daripada Abu Hurairah RA, ditanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ: مَنْ أَكْرَمُ النَّاسِ؟ قَالَ: «أَتْقَاهُمْ» فَقَالُوا: لَيْسَ عَنْ هَذَا نَسْأَلُكَ، قَالَ: «فَيُوسُفُ نَبِيُّ اللَّهِ، ابْنُ نَبِيِّ اللَّهِ، ابْنِ نَبِيِّ اللَّهِ، ابْنِ خَلِيلِ اللَّهِ» قَالُوا: لَيْسَ عَنْ هَذَا نَسْأَلُكَ، قَالَ: «فَعَنْ مَعَادِنِ العَرَبِ تَسْأَلُونَ؟ خِيَارُهُمْ فِي الجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الإِسْلاَمِ، إِذَا فَقُهُوا»

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling mulia?” Baginda bersabda: “Orang yang paling bertaqwa dalam kalangan mereka.” Mereka berkata: “Bukan ini yang kami tanyakan.” Baginda bersabda: “Kalau begitu Yusuf ialah nabi Allah, anak kepada nabi Allah (Yaaqub anak kepada nabi Allah Ishaq) anak Khalilullah (kekasih Allah, Ibrahim A.S). Mereka berkata: “Bukan ini yang kami tanyakan.” Baginda bersabda: “Adakah kamu bertanya tentang susur galur bangsa Arab? Orang yang paling baik pada zaman jahiliyyah adalah yang paling baik pula pada zaman Islam jika mereka memahami Islam.” 

Riwayat al-Bukhari (3353)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *