Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum membeli barang-barang seperti peti sejuk, oven, mesin basuh, tv atau handphone secara ansuran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Rukun Asas dalam Jual Beli

Bilamana kita membincangkan berkenaan jual beli, maka ia akan terkait dengan rukun-rukun asas bagi akad (kontrak) yang telah ditetapkan. Secara ringkasnya, rukun-rukun tersebut adalah:

  • Dua pihak yang melakukan akad (العَاقِدَان). Contohnya, pihak yang melakukan akad dalam urus niaga, semestinya ada penjual dan juga pembeli.
  • Perkara yang diakadkan (المَعْقُود عَلَيْه) Contohnya, barang yang ingin dijual, dan sesuatu yang dijadikan sebagai tukaran seperti wang ringgit.
  • Lafaz akad (صِيْغَة العَقْد) Iaitu ijab seperti menyebut, “Aku jual,” dan juga qabul seperti menyebut, “Aku beli.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 3/15)

Ulama’ mazhab Hanafi menyatakan bahawa hanya satu rukun sahaja yang ada untuk akad, iaitu sighah. Ini kerana, tanpa sighah, maka sesuatu akad tidak akan terjadi. (Lihat Fath al-Qadir ‘ala al-Hidayah, 6/248) 

Fuqaha’ empat mazhab bersepakat pada rukun ini, dan mereka mewajibkan dua rukun yang lain iaitu al-’Aqidan dan al-Ma’qud ‘Alaih. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/323; Bulghah al-Salik li Aqrab al-Masalik, 2/3; Kassyaf al-Qina’, 7/297)

Syarat-syarat sighah boleh diringkaskan kepada tiga perkara, iaitu:

  • Isyarat atau maksud ijab dan qabul mestilah jelas berdasarkan apa yang diinginkan oleh pihak yang melakukan akad.
  • Lafaz ijab dan qabul mestilah saling bersesuaian dan menyerupai. Sebagai contoh, penjual mengatakan, “Aku jual pen ini kepada kamu,” dan pembeli menjawab, “Aku beli pen ini.”
  • Lafaz ijab dan qabul tidak terputus, dengan erti kata lain, ia perlu berlaku dalam satu majlis akad yang sama. Ia dikira tidak terputus apabila kedua-dua pihak tahu apa yang disampaikan antara satu sama lain. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/2943)

Selain itu, fuqaha’ turut memperincikan berkenaan sighah (lafaz akad) bagi sesuatu akad. Secara ringkasnya, sighah akad boleh berlaku dengan pelbagai cara, antaranya:

  • Lafaz (اللَّفْظ) yang zahir (jelas)
  • Saling memberi (المُعَاطَاة), iaitu pertukaran barang yang dibuat dengan perbuatan sahaja, dengan keredhaan semua pihak, tanpa melafazkan ijab dan qabul.
  • Isyarat (الإشَارَة), iaitu isyarat tangan dan sebagainya bagi mereka yang bisu dan tidak boleh bercakap atas masalah-masalah tertentu.
  • Penulisan (الكِتَابَة), iaitu akad dengan bentuk tulisan daripada semua pihak yang melakukan akad, dan ia berlaku dengan dua syarat, iaitu: (i) Tulisan mestilah jelas dan kekal sehingga selesainya akad. (ii) Tulisan mesti ditulis dengan cara kebiasaannya dilakukan mengikut adat setempat. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/461)

Kesemua bentuk di atas adalah sah mengikut majoriti ulama’. Hal ini berdasarkan dengan umum kaedah fiqhiyyah:

العَادَةُ مُحَكَّمَةٌ

Maksudnya: “Adat (yang tidak bercanggah dengan syara’) boleh menentukan hukum (sesuatu perbuatan dan tindakan). (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 89)

Hal ini bermaksud, adat itu boleh menjadi penentu atau pemutus hukum dalam permasalahan yang berlaku.

Dalam satu kaedah fiqhiyyah yang lain ada menyebut:

إِنَّمَا تُعْتَبَرُ الْعَادَةُ إِذَا اطَّرَدَتْ أَوْ غَلَبَتْ

Maksudnya: “Sesungguhnya (sesuatu itu) diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan atau dilakukan oleh majoriti.” (Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah oleh Syeikh Ali Ahmad al-Nadwi, hlm. 65)

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebut, bahawa adat setempat mestilah suatu amalan kebiasaan yang berterusan (dalam masyarakat). Jika bukan adat kebiasaan, maka tidak dijadikan adat sebagai hukum (Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba’ah, 1/323)

Memahami Konsep al-Bai’ bi al-Taqsit

Akad al-Bai’ bi al-Taqsit (البَيْع بِالتَّقْسِيْط) adalah akad yang berkaitan jual beli secara ansuran.

Maksud dari bai’ (البَيْع) adalah menjual, manakala taqsit (التَّقْسِيْط) pada bahasa adalah membahagikan sesuatu menjadi bahagian-bahagian tertentu dan terpisah. Adapun pada istilah, jual beli secara taqsit (التَّقْسِيْط) adalah menjual sesuatu dengan pembayaran yang ditangguhkan, diserahkan dengan pembahagian-pembahagian tertentu pada waktu yang telah ditetapkan, dengan jumlah keseluruhannya yang lebih banyak daripada harga tunai.

Dr. Muhammad Uqlah Ibrahim menyebut bahawa terdapat beberapa perkara dalam memahami maksud bai’ bi al-taqsit (البَيْع بِالتَّقْسِيْط), antaranya, taqsit adalah membayar hutang dengan beransur-ansur pada waktu yang telah ditentukan. Pembayaran yang diansur ialah sesuatu yang pembayarannya dipersyaratkan diansur dengan ansuran tertentu pada waktu tertentu juga.

Sesetengah ulama’ menyatakan bahawa bai’ al-taqsit (ansuran) adalah termasuk dalam jenis bai’ al-mu’ajjal (tangguh) kerana bayaran dibuat dalam bentuk bilangan ansuran yang banyak dan diketahui tempohnya. (Lihat Bai’ al-Taqsit: Tahlil Fiqhi wa Iqtisadi oleh Rafiq Yunus al-Misri, hlm. 73)

Hukum Jual Beli Secara Ansuran

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Tidak salah untuk menjalankan jual beli secara ansuran kerana jual beli ini adalah sah. Dengan syarat, dalam sighah akad tersebut, tidak disebutkan dua harga yang berlainan. Ini kerana, ia akan menjadi dua jual beli dalam satu masa dan ia tidak sah seperti sedia maklum.

Namun, jika kedua-dua pihak berunding mengenai harga sebelum akad dibuat, kemudian mereka bersetuju untuk membuat bayaran secara ansuran, seterusnya mereka memeterai akad, maka akad tersebut adalah sah, tidak haram dan tidak salah. Walaupun mereka ada menyebut tentang bayaran secara tunai semasa berunding. Dengan syarat, ia tidak dimasukkan ketika mengikat akad.

Tidak sepatutnya terlintas dalam fikiran kita bahawa akad seperti ini termasuk dalam erti kata riba. Perbezaan harga di sini sebenarnya adalah ganti kepada tempoh. Bagi kami, riba adalah salah satu pihak mengambil tambahan daripada bahagian barangan yang sama diberikannya kepada pihak satu lagi sebagai ganti kepada tempoh. 

Contohnya, satu pihak meminjamkan 1000 Lira dengan syarat dia akan menerima daripada peminjam dengan 1100 Lira selepas sebulan. Ataupun penjual menjual 1000 gantang gandum dan dibayar dengan 1100 gantang gandum yang akan dibayar pada masa tersebut ataupun selepas tempoh tertentu.

Berbeza jika penjual memberikan suatu barangan yang bernilai 1000 Lira pada masa sekarang, tetapi dia menjualkannya dengan harga 1100 Lira untuk tempoh tertentu atau dibayar secara ansuran. Amalan seperti ini tiada kena mengena dengan riba. Malah, ia merupakan suatu bentuk tolak ansur dalam jual beli dan memudahkan orang ramai. Sebabnya, memberikan barangan kepada pembeli bukannya wang atau yang lain dan barangan yang diberikannya.

Tidak diragukan lagi bahawa jual beli yang diselesaikan secara tunai mempunyai kelebihan daripada yang diselesaikan secara bertangguh. Oleh itu, semua orang lebih mengutamakan jual beli yang melibatkan harga yang lebih rendah walaupun terpaksa menyelesaikannya secara tunai, daripada jual yang diselesaikan secara bertangguh, tetapi melibatkan harga yang lebih tinggi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/10)

Penutup

Berkenaan isu di atas, dalam melaksanakan jual beli, ia dapat dilakukan dengan pelbagai cara dan kaedah. Salah satunya adalah jual beli menggunakan kaedah pembayaran secara ansuran seperti dalam soalan di atas.

Jual beli secara ansuran tidaklah dilarang dalam Islam, dengan syarat ia hendaklah mematuhi sighah akad jual beli yang ditetapkan, iaitu tidak disebut dua harga berlainan dalam satu masa.

Sebagai contoh, pihak peniaga menjual sesuatu barang dengan harga RM100 secara tunai, dan RM140 secara ansuran selama lima bulan. Sebelum dilakukan akad, penjual dan pembeli telah berbincang tentang harga dan kedua-dua bersetuju dengan kaedah bayaran secara ansuran. Seterusnya, dilakukan akad jual beli dengan harga tersebut, maka jual beli itu adalah sah. 

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H

Leave a Reply