Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan berkenaan solat wanita, adakah mereka lebih afdhal untuk solat berjemaah sesama mereka atau solat bersendirian?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, solat berjemaah merupakan suatu perbuatan yang sangat dituntut oleh agama sehinggakan sebahagian ulama’ menghukumkannya sebagai wajib. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِّنْهُم مَّعَكَ وَلْيَأْخُذُوا أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا فَلْيَكُونُوا مِن وَرَائِكُمْ وَلْتَأْتِ طَائِفَةٌ أُخْرَىٰ لَمْ يُصَلُّوا فَلْيُصَلُّوا مَعَكَ

Maksudnya: “Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu.”

(Surah al-Nisa’: 102)

Ibn al-Munzir berkata: “Allah memerintahkan untuk mendirikan solat berjemaah meskipun dalam keadaan ketakutan, ini merupakan dalil bahawa berjemaah itu menjadi lebih wajib dalam keadaan aman.” (Lihat al-Awsat, 4/135)

Hal ini kerana bagi mereka yang mengerjakan solat berjemaah itu pahala yang berlipat ganda berbanding mereka yang solat secara bersendirian. Hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah itu lebih baik (afdhal) daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda.”

Riwayat Bukhari (645)

Solat Berjemaah Bagi Wanita Sesama Wanita

Namun begitu, timbul persoalan sama ada kewajiban ini turut sama ke atas wanita atau tidak? Hal ini kerana terdapat beberapa hadith yang menyebutkan bahawa wanita itu lebih digalakkan untuk bersolat di rumah berbanding berjemaah di masjid.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمُ الْمَسَاجِدَ وَبُيُوتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ

Maksudnya: “Jangan kamu larang isteri-isteri kamu dari (bersolat) di masjid-masjid, akan tetapi rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka.”

Riwayat Abu Dawud (567)

Diriwayatkan juga  daripada Ummu Humaid Al-Sa‘idi R.A bahawa dia datang datang bertemu Rasulullah SAW seraya berkata:

يَا رَسُول اللَّهِ إِنِّي أُحِبُّ الصَّلاَةَ مَعَكَ. فَقَال ﷺ: قَدْ عَلِمْتُ، وَصَلاَتُكِ فِي بَيْتِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي حُجْرَتِكِ، وَصَلاَةٌ فِي حُجْرَتِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي دَارِكِ، وَصَلاَتُكِ فِي دَارِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ، وَصَلاَتُكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِي مَسْجِدِ الْجَمَاعَةِ

فَأَمَرَتْ فَبُنِيَ لَهَا مَسْجِدٌ فِي أَقْصَى شَيْءٍ مِنْ بَيْتِهَا وَأَظْلَمِه، فَكَانَتْ تُصَلِّي فِيهِ حَتَّى لَقِيَتْ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “‘Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya aku suka solat bersamamu.’ Baginda menjawab: ‘Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka menunaikan solat bersamaku, akan tetapi solatmu di bilik tidurmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di rumahmu, dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di masjidku.’ 

Kemudian Ummu Humaid meminta didirikan masjid (tempat solat) di tempat paling tersorok dan paling gelap di bilik tidurnya. Maka, beliau solat di sana sehingga bertemu dengan Allah Azza Wa Jalla.”

Riwayat Ahmad (26550)

Ahli majlis Fatawa al-Lajnah al-Da’imah menyebutkan, tidak diwajibkan ke atas wanita menunaikan sebarang solat fardhu 5 waktu secara berjemaah. Solat mereka di rumah lebih baik bagi mereka daripada solat di masjid, sama ada solat fardhu atau solat sunat. Akan tetapi jika mereka ingin solat di masjid, tidak mengapa asalkan mengamalkan adab-adab Islam, baik ketika keluar rumah atau semasa solat; dengan cara berpakaian sopan dan tidak berbau wangi serta solat di belakang lelaki. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 8/213)

Berdasarkan hujjah di atas, dapat difahami bahawa tuntutan solat berjemaah itu tidaklah ditujukan kepada wanita, bahkan mereka lebih digalakkan untuk menunaikan solat fardhu 5 waktu di rumah sahaja. Kemudian timbul pula persoalan lain, adakah lebih afdhal solat wanita di rumah itu secara berjemaah atau bersendirian?

Kami katakan bahawa yang terlebih utama bagi wanita adalah solat berjemaah sesama mereka di rumah jika lebih dari seorang supaya mereka juga dapat sama-sama dapat mengejar ganjaran pahala berjemaah seperti yang telah disebutkan. 

Bahkan keutamaan ini berdasarkan sebuah hadith yang mengisahkan tentang Ummu Waraqah R.A yang diperintahkan untuk menjadi imam solat jemaah bagi ahli rumahnya (wanita). Diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Khallad R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَزُورُهَا فِي بَيْتِهَا وَجَعَلَ لَهَا مُؤَذِّنًا يُؤَذِّنُ لَهَا وَأَمَرَهَا أَنْ تَؤُمَّ أَهْلَ دَارِهَا.‏ 

قَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ: فَأَنَا رَأَيْتُ مُؤَذِّنَهَا شَيْخًا كَبِيرًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menziarahinya (Ummu Waraqah binti Abdillah bin al-Harith) di rumahnya, kemudian Baginda meminta seorang lelaki untuk azan bagi pihaknya (Ummu Waraqah), lalu Baginda memerintahkan Ummu Waraqah untuk mengimamkan ahli rumahnya.

Abdul Rahman berkata: ‘Aku melihat orang yang azan bagi pihak Ummu Waraqah itu adalah seorang lelaki tua’.”

Riwayat Abu Dawud (592)

Ini dikuatkan lagi dengan riwayat Ummu al-Hasan al-Basri:

أَنَّهَا رَأَتْ أُمَّ سَلَمَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ ﷺ تَؤُمُّ النِّسَاءَ ، تَقُومُ مَعَهُنَّ فِي صَفِّهِنَّ 

Maksudnya: “Bahawa dia pernah lihat Ummu Salamah, isteri Nabi SAW mengimamkan para wanita, beliau berdiri bersama mereka di dalam saf mereka.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah (4989)

Syeikh Abdul ‘Aziz Ibn Bazz mengatakan, solat berjemaah adalah kewajiban bagi lelaki, manakala bagi wanita tidak diwajibkan untuk solat berjemaah. Namun, mereka dibolehkan atau dianjurkan untuk solat berjemaah, dan salah satu di antara mereka boleh menjadi imam bagi wanita, seperti yang telah kami sebutkan, posisi mereka (imam) dalam saf wanita. (Lihat Majmu‘ Fatawa, 12/78)

Disebutkan juga dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, jika mereka (wanita) solat berjemaah di rumah, itu lebih baik. Posisi imam bagi mereka akan berada di tengah-tengah dalam barisan pertama, dan yang paling fasih bacaannya serta yang paling tahu tentang hukum-hukum agama akan memimpin solat bagi mereka. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 8/213)

Syeikh Abdullah bin Hamid mengatakan, tidak menjadi masalah jika wanita itu solat secara berjemaah (sesama wanita), berdasarkan hadith Ummu Waraqah, dan bagi wanita tersebut pahala berjemaah, dengan izin Allah. (Lihat Fatawa Syeikh Abdullah bin Hamid, 1/316)

Kesimpulan

Berdasarkan perincian yang telah kami bawakan berkenaan kelebihan solat berjemaah dan keutamaan berjemaah, dapat disimpulkan bahawa yang lebih utama bagi wanita itu adalah solat berjemaah di rumah sesama mereka jika lebih dari seorang.

Ia juga lebih digalakkan dan dituntut agar kaum wanita tidak terlepas dari ganjaran besar pahala berjemaah dan keistimewaannya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا الْقَنَاعَةَ وَوَفِّقْنَا لِلطَّاعَةِ وَحَبِّبْنَا فِي صَلَاةِ الْجَمَاعَةِ وَاحْشُرْنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَعَ صَاحِبِ الشَّفَاعَةِ

Maksudnya: “Ya Allah rezekikan kami kecukupan, dan kurniakan kami ketaatan, dan wujudkan kecintaan solat berjemaah, dan bangkitkanlah kami pada hari kiamat bersama pemilik syafaat (Rasulullah SAW).”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 14 Ogos 2023 bersamaan 28 Muharram 1445 H

Leave a Reply