Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, bolehkah kita meletakkan jambangan bunga di atas kubur sebagai tanda penghormatan kepada si mati ? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, daripada Nabi SAW:

أَنَّهُ مَرَّ بِقَبْرَيْنِ يُعَذَّبَانِ، فَقَالَ: «إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ، وَأَمَّا الآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ»، ثُمَّ أَخَذَ جَرِيدَةً رَطْبَةً، فَشَقَّهَا بِنِصْفَيْنِ، ثُمَّ غَرَزَ فِي كُلِّ قَبْرٍ وَاحِدَةً، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، لِمَ صَنَعْتَ هَذَا؟ فَقَالَ: «لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا.

Maksudnya: Bahawasanya Baginda berjalan melewati dua kubur yang (penghuninya) sedang diseksa, lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-duanya benar sedang diseksa, dan tidaklah kedua-duanya diseksa disebabkan oleh perkara-perkara yang besar. Adapun salah seorang daripada mereka dahulunya sering tidak bersuci daripada kencing. Sedangkan yang lainnya dahulu sering mengadu domba.” Kemudian Baginda mengambil sebatang pelepah tamar yang masih basah lalu membelahnya menjadi dua bahagian. Kemudian Baginda memacakkannya pada setiap kubur satu bahagian. Mereka (para sahabat) bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa engkau melakukan hal ini?” Maka Baginda pun menjawab: “Semoga diringankan (azab seksaan) daripada mereka berdua selagi dua belahan pelepah ini tidak kering.”

Riwayat al-Bukhari (1361) dan Muslim (292)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Mungkin makna itu ialah benda itu bertasbih selama mana masih lembap, lalu terhasillah peringanan azab dengan berkat tasbih itu. Justeru, makna ini boleh diletakkan pada setiap benda yang mempunyai kelembapan, daripada jenis tumbuhan atau selainnya, dan boleh juga diletakkan pada perkara yang mempunyai keberkatan seperti zikir, membaca al-Quran, bahkan itu lebih utama.” (Lihat Fath al-Bari, 1/320)

Dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin  disebutkan: “Meletakkan tumbuhan yang hijau di atas kubur dianggap baik oleh sebahagian ulama, tetapi ditentang oleh al-Khattabi. Adapun menanam tumbuhan di atas kubur dan menyiramnya, jika hal itu boleh menyebabkan bahagian pokok yang segar atau akar sampai kepada mayat, maka diharamkan. Jika tidak sampai, maka dihukumkannya sebagai makuh. Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa hukumnya adalah haram. (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 202)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan meletakkan bunga atau tumbuhan hijau di atas kubur adalah dibolehkan kerana ia dapat meringankan azab dan sebagai mengikut apa yang telah Nabi SAW lakukan. Namun dalam isu ini, kami berpandangan  tidak dibolehkan meletakkan jambakan bunga di atas kubur sebagai pernghormatan  kepada si mati atau digunakan sebagai simbol bagi berkabung dan berada dalam kesedihan . Hal ini kerana perbuatan tersebut menyerupai perbuatan orang kafir tambahan pula ia membazirkan wang yang boleh digunakan untuk kegunaan yang lain atau lebih afdhalnya diberi sedekah kepada keluarga si mati.

Terdapat larangan menyerupai kaum kafir  daripada hadith  yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ ‏

Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Imam al-Hafiz Ibn Kathir menyatakan bahawa: Hadith ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita. (Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 1/87)

Al-Imam al-San’ani menyebut: “Hadith ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasik, orang kafir, atau pembuat bid’ah maka dia adalah daripada kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.” (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 4/175)

Dalam isu ini Syeikh Ibn Baz juga mengeluarkan fatwanya dengan menyatakan: Tidak dibenarkan meletakkan di atas kubur  baik bunga mahupun yang lainnya, Nabi SAW hanya meletakkan dua helai daun pada dua kubur yang sedang diazab, Allah menerangkan kepada Nabi-Nya bahawa keduanya sedang diazab; maka beliau meletakkan dua helai daun di atas keduanya.[1]

Justeru kami katakan memberi penghormatan kepada si mati bukanlah dengan cara meletakkan bunga di atas kuburnya, apa yang sepatutnya dilakukan kepada si mati ketika menghadiri pengebumian atau menziarahi kuburnya adalah mendoakan kebaikan  keampunan  dan kesejahteraan ke atasnya dan itulah yang terbaik yang dapat memberi manfaat kepadanya.

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”

(Surah al-Hasyr: 10)

Diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asya’ri  beliau berkata : Rasulullah SAW mengajarkan kepada mereka apa yang mesti dilakukan apabila menziarahi kubur maka salah seorang daripada mereka membaca doa sebagaimana yang tertera dalam riwayat Abu Bakar:

 السَّلامُ على أهْلِ الدِّيارِ، وفي رِوايَةِ زُهَيْرٍ،: السَّلامُ علَيْكُم أهْلَ الدِّيارِ مِنَ المُؤْمِنِينَ والمُسْلِمِينَ، وإنّا، إنْ شاءَ اللهُ لَلاحِقُونَ، أسْأَلُ اللهَ لَنا ولَكُمُ العافِيَةَ

Maksudnya: Salam sejahtera ke atas ahli kubur dari kalangan orang-orang beriman dan orang-orang muslim. Kami Insyaallah akan menyusul kalian dan aku bermohon kepada Allah supaya deberikan al-a’fiyah kepada  kami dan kepada kalian.”

Riwayat Muslim (975)

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik dalam agama ini. Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:

اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الخَاتِمَة

Maksudnya: “Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik) dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk.”

Wallahua`lam

 

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

[1] https://binbaz.org.sa/fatwas/11116/% حكموضعالزهورعلىالقبورفيالاعياد

Leave a Reply