Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya terbaca kisah mufakkir Islam Muhammad Ghazali tetapi tidak mengetahui bagaimana beliau meninggal dunia.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan kisah ringkas ulama tersohor ini seperti berikut:

Syeikh Muhammad al-Ghazali ialah salah seorang tokoh kebangkitan Islam pada abad ke-20. Beliau dilahirkan di Desa Nakla al-‘Inab, Buhairah, Mesir, pada 6 Zulhijjah 1335 H bersamaan 22 September 1917.

Syeikh adalah anak pertama dalam tujuh orang adik-beradik. Beliau dinamakan dengan nama Muhammad al-Ghazali kerana kedua ibu bapanya amat menghormati dan meminati ulama terkenal Imam al-Ghazali (yang lahir pada tahun 1058 H dan meninggal dunia pada tahun 1111 H).

Syeikh Muhammad al-Ghazali dibesarkan di dalam sebuah keluarga sederhana di mana bapanya seorang pedagang dan juga penghafaz al-Quran. Beliau dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang amat mementingkan perihal agama.

Sejak kecil, beliau memasuki sekolah yang khusus untuk mengahfaz al-Quran. Pada usia 10 tahun, beliau sudah berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran. Kemudian, beliau berpindah ke Iskandariah untuk menuntut ilmu daripada pelbagai ulama antaranya Syeikh Hasan al-Banna. Di sini, beliau mendapatkan pendidikan menengahnya di Ma’had Ad-Diny.

Pada tahun 1937 beliau diterima masuk untuk menyambung pengajiannya di Fakulti Usuludin di Universiti al-Azhar dan berjaya menamatkan sarjana mudanya selepas 4 tahun. Antar gurunya adalah ulama terkemuka seperti Syeikh Ibrahim al-Gharbawi, Syeikh Abdul Aziz Bilal, dan Syeikh Abdul Azhim al-Zarqani.

Seterusnya, beliau berjapat mendapatkan ijazah Masternya dalam bidang Dakwah wa al-Irsyad pada tahun 1943. Beliau juga sempat mempelajari dan menghadiri majlis ilmu daripada ulama-ulama terkemuka yang turut banyak memberi kesan dalam dirinya seperti Syeikh Hasan al-Banna, pengasas al-Ikhwan al-Muslimun. Disamping beberapa tokoh lainnya, seperti Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Muhammad Abdullah Daraz, dan Syeikh Muhammad Abu Zahroh.

Kerjayanya

Sejurus selesai menamatkan pengajiannya, terkenal sebagai seorang pelajar yang aktif menyampaikan dakwah, Syeikh Muhammad al-Ghazali dilantik menjadi imam dan khatib di masjid al-‘Atabah al-Khadhro’ di ibu kota Kaherah. Disebabkan beliau sudah terlatih dalam berdakwah dan khutbah, Kementerian Wakaf turut melantiknya sebagai Penyelia dan Pengarah Kemasjidan pada 2 Julai 1971, dan menjadikannya staf Kementerian Wakaf dalam hal yang berkaitan dengan dakwah Islamiyah pada 8 Mac 1981.

Syeikh Muhammad al-Ghazali memulakan kerjanya sebagai tenaga pengajar di Universiti al-Azhar dan dipertanggungjawabkan untuk mengajar pelbagai bidang antaranya di Fakulti Syariah, Usuludin, Tarbiyah dan al-Dirasat al-Islamiyah wa al-‘Arabiyah.

Selain menjadi pensyarah, Syeikh Muhammad Ghazali juga mengajar di masjid-masjid dan surau dan dijemput menjadi khatib. Beliau semakin terkenal sebagai ulama dan pendakwah yang hebat dan di setiap ceramah beliau, orang ramai datang membanjiri majlis ilmunya.

Penulisan beliau juga semakin terkenal dan diterbitkan di dalam pelbagai penerbitan dan majalah seperti al-Muslimun, al-Nadzir, al-Mabahits, Liwa al-Islam, Mimbar al-Islam, dan Majalah al-Azhar.

Syeikh Muhammad al-Ghazali tidak hanya berdakwah dan mengajar di Mesir atau sekitarnya sahaja, namun pernah juga menjadi dekan di beberapa universiti di Saudi dari tahun 1974-1981 M, dan pernah juga ke Qatar dan menjadi pensyarah di beberapa universiti pada 1982 – 1985 M. Dan pada tahun 1985 – 1988 M beliau diminta menjadi dekan di Universiti Amir Abdul Qadir.

Kematiannya

Syeikh Muhammad al-Ghazali kerap kali berdoa dengan doa seperti ini:

اللَّهُمَّ ارْزُقْنِي الْوَفَاةَ فِي بَلَدِ حَبِيبِكَ الْمُصْطَفَى

Maksudnya: “Ya Allah, rezekikan kepadaku mati di bumi kekasih-Mu Rasulullah SAW.”

Menjadi pelik dan hairan kepada orang yang rapat dan murid-muridnya dengan doa tersebut serta merasakan amat sukar untuk ditahqiqkannya, tetapi kehendak Allah SWT Syeikh Muhammad al-Ghazali telah menerima pelawaan pada tahun 1996 untuk hadir ke Muktamar Islami di kota Riyadh Saudi Arabia.

Ketika itu, Syeikh al-Ghazali dalam keadaan sakit sebagai mana murid-muridnya mengharapkan agar beliau tidak pergi ke sana kerana bimbang berlaku sesuatu. Begitu jua, doktor-doktor memberi peringatan kepadanya bahaya akan menimpanya. Tetapi, Syeikh Muhammad al-Ghazlai tidak mengendahkannya dan dia tetap mahu musafir, hadir ke Muktamar tersebut.

Dalam Muktamar tersebut, salah seorang peserta telah bangun menyerangnya dan mensifatkannya sebagai penentang ahli sunnah. Justeru, serta-merta Syeikh mmepertahankan dirinya. Adalah kalimah terakhirnya, “Kami mahu untuk mentahqiqkan di muka bumi ini:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّه

Maksudnya: “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”

Ketika itu juga, beliau diserang sakit dada dan pada hari Jumaat 9 Mac 1996 bersamaan 17 Syawal 1416 H di waktu petang Syeikh Muhammad Ghazali menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ketika itu beliau sedang berada di Auditorium Raja Fahd dalam acara seminar pendidikan dan kebudayaan. Ada suatu hal yang mengagumkan ketika hampir kematiannya, beliau masih sempat menulis beberapa catatan untuk membela dan mempertahankan agama Islam.

Ketika itu, Amir Abdullah yang menjadi timbalan kepada Khadimul Haramain al-Malik Fahd telah memerintahkan untuk disempurnakan pemindahan jasad Imam Muhammad al-Ghazali ke kota Madinah al-Munawwarah. Begitu juga, berdasarkan perintah dan tausiyah Mufti Kerajaan Saudi ketika itu Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz.

Syeikh Muhammad al-Ghazali dikuburkan di makam depan kiri masjid Nabawi, pemakaman Baqi’, Madinah al-Munawwarah. Kisah pemakamannya juga cukup pelik. Kata salah seorang penggali kubur yang menguruskan penggalian, “Sahabat kamu ini (Syeikh al-Ghazali) hal dan urusannya amat pelik.

Ketika mana aku mahu menggali lubang aku mendapati tanahnya keras dan tidak lembut. Sehinggalah aku terpaksa meukar tempat dan menggali di sini, barulah tanah tersebut lembut.” Di mana kuburnya terletak kubur Nafi’ Maula Abdullah ibn Umar dan Malik bin Anas iaiti Imam mazhab Maliki. Oleh kerana itulah beliau digelar dengan laqab atau gelaran ‘Tuan kepada dua orang yang mati, al-makhrasah’ Ini kerana, beliau dikebumikan di antara ahli hadith dan ahli fiqh. Semoga Allah SWT merahmati SYeikh al-Ghazali walaupun lahir dan membesar di mesir serta tua di Mesir, tetapi itulah berkat doanya dan Allah SWT mustajabkannya untuk meninggal dunia dan dikebumikan di bumi kekasih-Nya Rasulullah SAW.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

(Surah al-Hasyr: 10)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445

Leave a Reply