#2866: Menggunakan Harta Anak Yatim Demi Kelangsungan Hidup

Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato seri, saya ingin bertanya, adakah boleh bagi penjaga anak yatim menggunakan harta anak tersebut  demi kelangsungan hidup? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya)”.

(Surah al-Isra’:34)

Syaikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Ini adalah bentuk kasih dan rahmat Allah SWT kepada anak yatim yang telah kehilangan ayahnya, pada saat masih kecil dan belum memahami sepenuhnya kemaslahatan dirinya. Dengan demikian, tugas para walinya adalah untuk melindunginya, serta menjaga harta yang dimilikinya. Lebih dari itu, wali-wali ini tidak diperbolehkan menggunakan harta anak yatim kecuali dengan cara yang baik, seperti mengembangkan harta tersebut dan menjauhkannya dari hal-hal yang dapat merugikannya. Mereka memiliki tanggung jawab untuk menjaga harta anak yatim hingga ia mencapai usia dewasa. Ketika anak yatim mencapai usia dewasa, tanggung jawab perwalian atasnya berakhir, dan dia menjadi tanggungjawab atas dirinya sendiri. Pada saat itulah harta anak yatim tersebut harus diserahkan kepadanya.(Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.457)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya: “Jauhilah kamu daripada tujuh dosa besar ini (perkara yang  membinasakan). Para sahabat bertanya: Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah SWT melainkan dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari peperangan dan menuduh wanita yang beriman dengan berzina”.

Riwayat al-Bukhari (2766) (6857) dan Muslim (145)

Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyatakan: Mengambil harta anak yatim termasuk dosa-dosa besar. Allah telah memberi peringatan bahawa siapa pun yang mengambilnya dengan zalim, maka ia sedang memakan api neraka dan diseret ke dalam api yang marak (Lihat Syarh Sohih al-Bukhari, 8/185 )

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan sekiranya penjaga anak yatim tersebut dari kalangan miskin maka dibolehkan mengambil harta anak yatim tersebut secara makruf dan sekiranya wali tersebut dari golongan yang kaya maka, hendaklah dia menahan diri dari memakan harta tersebut. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَن كَانَ غَنِيًّا فَلْيَسْتَعْفِفْ ۖ وَمَن كَانَ فَقِيرًا فَلْيَأْكُلْ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya

(Surah al-Nisa:6)

Al-Hajjawi dalam isu ini beliau menyatakan bahawa: Penjaga anak yatim (wali) boleh mengambil harta anak yatim tersebut sekiranya dia miskin dan dia tidak boleh mengambilnya melebihi keperluan dan upahnya. (Lihat Zad al-Mustaqni’ fi Ikhtisar al-Muqni’,hlm.121)

Begitu juga Syeikh Ibn Baz  menyatakan bahawa: jika dia adalah seorang yang miskin, ia boleh menerima manfaat dari harta yatim dengan cara yang baik. Ia dapat makan bersama anak yatim dengan cara yang ma’ruf  sesuai dengan kebutuhannya. Tidak ada masalah baginya untuk menggunakan harta anak yatim untuk makan, minum, atau berpakaian sesuai dengan keperluan  tanpa mengambilnya secara berlebihan. Bagi orang yang Allah telah memberi kekayaan, seharusnya ia menjauhkan diri dari mengambil manfaat harta anak yatim. Jika dia ingin mendapat upah atas penjagaan tersebut maka hendaklah melalui proses mahkamah[1]

Justeru,dalam konteks ini, kami ingin menegaskan bahawa penjaga anak yatim yang berada dalam kategori miskin boleh mengambil harta anak yatim tersebut sesuai dengan keperluan dan tanpa bersikap berlebihan. Namun, jika penjaga tersebut termasuk dalam golongan yang berada dan kaya, maka dia tidak dibenarkan untuk mengambil manfaat dari harta tersebut.

Di samping itu, kami ingin menyarankan agar kita sentiasa berhati-hati agar tidak menyalahgunakan hak dalam menggunakan harta anak yatim. Terdapat banyak ayat Al-Quran dan hadith yang dengan tegas melarang tindakan mengambil harta anak yatim secara zalim.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا ۖ وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

(Surah al-Nisa:10)

Syeikh al-Tantawi Rahimahullah menyebutkan di dalam tafsirnya bahawa memakan harta anak yatim secara zalim itu sama ada melalui pewarisan ataupun orang yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskannya lalu memakannya dengan cara yang batil.  Allah SWT menggunakan kalimah zalim untuk menggambarkan kejelekan yang teramat kepada si pemakan harta anak yatim kerana anak yatim itu dizalimi dan mereka itu golongan yang lemah yang mana tidak ada kudrat dan upaya untuk membela diri mereka. (Lihat Tafsir al-Waseet,3/58)

Kami juga menyampaikan amaran keras daripada Rasulullah SAW berkenaan memakan harta anak yatim secara batil atau tanpa hak melalui sabdanya:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya: “Jauhilah kamu daripada tujuh dosa besar ini (perkara yang  membinasakan). Para sahabat bertanya: Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah SWT melainkan dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari peperangan dan menuduh wanita yang beriman dengan berzina”.

Riwayat al-Bukhari (2766) (6857) dan Muslim (145)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

[1] https://binbaz.org.sa/fatwas/11426حكمالاخذمناموالاليتامى/

Diakses pada 21 Ogos 2023

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *