#3032: Tafsir Amanah Bersandarkan Surah al-Ahzab Ayat 72

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan tafsir amanah berdasarkan ayat 72 surah al-Ahzab?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.

(Surah al-Ahzab: 72)

Imam al-Qurtubi berkata: “Amanah bermaksud Islam keseluruhannya.” Imam al-Qurtubi berkata: “Amanah adalah umum untuk semua tanggungjawab agama mengikut pendapat yang sahih.” Inilah pendapat jumhur. (Lihat Ahkam Al-Quran 3/153-154)

Pesanan-pesanan ke arah ketaqwaaan, teguh dengan kebenaran, pengislahan diri dan ketaatan mutlak kepada Allah dan Rasulullah ini tidak lain sebagai satu rangka persediaan bagi menerima dan menanggung amanah daripada Allah SWT. Dari sudut yang lain, Allah SWT juga sebenarnya sedang menjelaskan wasilah dan medium bagi mencapai ketaatan tersebut, iaitu dengan melaksanakan segala tuntutan dan kewajipan yang telah disyariatkan, dan ia merupakan satu perkara yang amat berat dan memerlukan usaha yang tidak sedikit. Betapa beratnya amanah dalam melaksanakan tuntutan syarak ini, hatta langit yang terbentang luas serta gunung-ganang yang terpasak kukuh itupun tidak sanggup untuk memikulnya tatkala ia dibentangkan oleh Allah SWT. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 22/126)

Namun datanglah manusia menyanggupi amanah tersebut, dalam keadaan kebanyakan mereka tidak sedar bahawa mereka sedang menzalimi diri mereka sendiri, jahil akan betapa beratnya tugas dan beban yang dipikul. Betapa mereka tidak sedar bahawa amanah yang diterima itu merangkumi segala kefardhuan syarak serta tugas memakmurkan bumi yang menatijahkan pahala apabila dilaksanakan, dan menatijahkan dosa jika ditinggalkan. Begitulah realiti halnya manusia, di mana kebanyakan daripada kita sering meninggalkan kewajipan dan tanggungjawab yang diperintahkan, bahkan melanggar pula larangan yang ditetapkan-Nya, serta mengkhianati pula amanah yang diberikan. Betapa sedikitnya yang taat, dan betapa ramainya yang ingkar! (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 11/253; al-Tafsir al-Munir, 22/127)

Natijah daripada penerimaan amanah ini ialah terpecahnya manusia kepada dua golongan; golongan pertama ialah golongan munafik dan musyrik yang berhak diazab disebabkan mereka mensia-siakan tuntutan Allah SWT ke atas mereka, kemudian penerimaan taubat daripada golongan Mukmin di atas kelemahan manusiawi dalam diri mereka. Perkhabaran Allah SWT ini juga mengajar kita bahawa sikap zalim dan jahil ini merupakan satu penyakit dalaman yang telah sedia wujud dalam diri manusia; namun di sana ada ubat dan penawarnya, iaitu keluasan pintu pengampunan Allah SWT serta limpahan rahmat Ilahi. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 4/240; al-Tafsir al-Munir, 22/128)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *