#3090: Bacaan Yasin 41

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan berkenaan dengan kaedah bacaan surah Yasin 41 untuk diperkenankan hajat, adakah itu termasuk dalam kategori bida‘ah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebahagian pihak telah bertindak meletakkan suatu metode tertentu untuk bacaan surah Yasin, yang dinamakan sebagai Yasin 41, dengan kepercayaan bahawa ia menjadi asbab hajat seseorang itu diperkenankan. Berdasarkan carian yang telah kami jalankan, kami tidak mendapati apa-apa sumber rasmi yang menerangkan secara terperinci tentang Yasin 41 ini. Adapun, berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh beberapa pihak, berikut adalah metode yang diajarkan:

  1. Ayat pertama dibaca sebanyak 7 kali, beserta niat dalam hati apa yang dihajati.
  2. Sampai ke ayat 38 diulang bacaan ayat tersebut sebanyak 14 kali, beserta niat dalam hati apa yang dihajati.
  3. Sampai pula pada ayat 58 diulang bacaaan sebanyak 16 kali, beserta niat dalam hati apa yang dihajati.
  4. Sampai pula pada ayat 81 diulang bacaaan sebanyak 4 kali, beserta niat dalam hati apa yang dihajati.

Kami katakan bahawa tidak terdapat sebarang sandaran yang sahih untuk amalan ini, sama ada daripada al-Quran, hadith Rasulullah SAW, qiyas, atau kalam para ulama’ terdahulu yang bersepakat tentang kesahihan amalan ini. Sebaiknya apabila kita sebagai ummat Islam ingin mengamalkan sebarang amalan dengan sebarang fadhilat tertentu, ianya mestilah berdasarkan dalil yang sahih daripada syara‘.

Sekiranya sesuatu amalan itu tidak mempunyai sebarang sandaran, maka ianya dikira tertolak. Hal ini berdasarkan hadith sahih yang warid daripada Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ianya tertolak.”

Riwayat al-Bukhari (2697) dan Muslim (1718)

Di dalam riwayat yang lain, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal dari agama kami, maka amalan itu tertolak.”

Riwayat Muslim (1718)

Dalam pada itu, terdapat beberapa hadith yang menceritakan tentang fadhilat bacaan Surah Yasin. Antaranya hadith yang diriwayatkan daripada Jundub bin Abdillah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ يس فِي لَيْلَةٍ ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ غُفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari untuk mencari redha Allah maka akan diampunkan dosanya.”

Riwayat Ibn Hibban (2574)

Diriwayatkan juga daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ لِكُلِّ شيءٍ قَلْبًا، وَإنَّ قَلْبَ الْقُرْآنِ يس، مَنْ قَرَأَهَا فَكَأنَّما قَرَأَ القُرْآنَ عَشرَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan sesungguhnya hati al-Quran adalah surah Yasin. Barangsiapa yang membacanya maka pahalanya seumpama membaca sepuluh kali al-Quran.”

Riwayat al-Tirmizi (2812) dan riwayat al-Darimi (3282)

Akan tetapi, status hadith-hadith di atas telah dibahaskan secara terperinci. Syeikh al-Albani mengatakan bahawa hadith di atas adalah dha‘if. Dan terdapat juga beberapa ulama’ lain yang mengatakan demikian, antaranya Imam Ibn al-Jauzi di dalam al-Maudhu‘at dan Imam al-Syaukani di dalam al-Fawa’id al-Majmu‘ah. (Lihat al-Silsilah al-Dha‘ifah, 10/157; al-Maudhu‘at , 2/313; al-Fawa’id al-Majmu‘ah, hlm. 942)

Hadith yang sahih tentang bacaan apa-apa surah atau ayat daripada al-Quran adalah bersifat umum. Ini berdasarkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

Riwayat al-Tirmizi (2835)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan ringkas yang kami bawakan, jelas bahawa metode bacaan Surah Yasin dengan cara Yasin 41 ini tidak mempunyai sebarang sandaran yang sahih  yang mampu dijadikan hujjah untuk pengamalannya. Maka terlebih utama untuk kita berhati-hati daripada menyandarkan amalan tersebut dengan sebarang faadhilat tertentu kepada junjungan kita Rasulullah SAW.

Perbuatan ini jelas dilarang oleh Baginda, sebagaimana yang warid daripada Zubair bin al-‘Awwam dan al-Mughirah bin Syu‘bah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (107)

Dalam riwayat lain daripada Salamah bin al-Akwa‘ R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ يَقُلْ عَلَيَّ مَا لَمْ أَقُلْ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berkata di atas namaku yang mana aku tidak perah mengucapkannya maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”

Riwayat al-Bukhari (109)

Lafaz hadith yang warid bukan sahaja dalam bentuk ancaman, malah terdapat riwayat lain yang datang dalam bentuk larangan yang jelas daripada Baginda SAW. Ini berdasarkan hadith Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَكْذِبُوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجِ النَّارَ

Maksudnya: “Janganlah kamu menipu di atas namaku, kerana ia iaitu yang berdusta di atas namaku tempatnya adalah neraka.”

Riwayat al-Bukhari (106) dan Muslim (1)

Kami mengambil peluang ini juga untuk menasihatkan agar ummat Islam keseluruhannya berhati-hati dalam mengambil mana-mana amalan yang berkait dengan agama kemudian disandarkan kepada Rasulullah SAW tanpa bukti yang jelas. Sebaiknya, ambillah amalan-amalan yang ma’thur dan jelas keabsahannya berlandaskan syara‘. Moga dengan usaha ini, kita lebih dekat kepada sunnah Rasulullah SAW di samping dapat beramal kepada Allah SWT.

Kami akhiri dengan sepotong kata-kata daripada Saidina ‘Umar R.A:

الرُّجُوعُ إِلَى الْحَقِّ خَيْرٌ مِنَ التَّمَادِي فِي الْبَاطِلِ

Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.” (Lihat al-Kamil fi al-Lughah wa al-Adab, 1/15)

Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *