#3244: Mengutuskan ‘Amil Selepas Pembukaan Kota Makkah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW menghantar ‘amil selepas pembukaan kota Makkah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Seperti yang telah diketahui, Rasulullah SAW kembali ke Madinah pada penghujung tahun ke-8 Hijrah pada tanggal awal Muharam tahun 9 Hijrah. Sekembalinya ke Madinah, Rasulullah SAW telah mengutuskan ‘amil (pemungut zakat) untuk pergi kepada beberapa kabilah. ‘Amil yang diutuskan itu ialah seperti berikut:

  1. Uyainah bin Hisn ke Bani Tamim
  2. Yazid bin al-Hisn ke Kabilah Aslam dan Ghifar
  3. Ibad bin Basyir al-Asyhali ke Kabilah Sulaym dan Muzaynah
  4. Rafi bin Makith ke Kabilah Juhaynah
  5. Amru bin al-AS ke Bani Fazarah
  6. Al-Dahhak bin Sufiyan ke Bani Kilab
  7. Basyir bin Sufiyan ke Bani Kaab
  8. Ibn al-Lutbiyyah al-Azdiy ke Bani Dhibyan
  9. Al-Muhajir bin Abi Umayyah ke Sanaa (semasa di Sanaa, Aswad al-Asiy mengisytiharkan enggan menurut perintah)
  10. Ziyad bin Labid ke Hadhramaut
  11. Adiy bin Hatim ke Tayyi dan Bani Asad 12. Malik bin Nuwayrah ke Bani Hanzalah
  12. Al-Zabarqan bin Bard ke Bani Saad (satu kumpulan daripada mereka)
  13. Qays bin Asim ke Bani Saad (sekumpulan yang lain daripada mereka)
  14. Al-Alla bin al-Hadramiy ke Bahrain 16. Ali bin Abu Talib ke Najran (untuk mengumpul harta zakat dan jizyah serentak)

Bukan kesemua amil itu diutuskan pada bulan Muharam tahun 9 Hijrah. Beberapa orang daripada mereka agak lewat diutuskan sehinggalah kabilah- kabilah tempat mereka diutuskan itu memeluk Islam. Penghantaran para amil ini secara serius bermula pada tahun 9 Hijrah; ini menunjukkan betapa besarnya kejayaan dakwah Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah. Setelah penaklukan Makkah pula, orang ramai berduyun-duyun memeluk Islam. (Lihat Sirah Nabawiyyah al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 735-736)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *