#3372: Menyucikan Wang Dari Sumber Yang Haram

Soalan:

Assalamualaikum Dr, saya nak tanya, bagaimanakah wang dari sumber haram  dapat diinfaqkan? Siapakah yang boleh menerima wang tersebut ? Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan  firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقۡنَٰكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِلَّهِ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.”

(Surah al-Baqarah: 172)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Allah SWT memerintahkan kepada keseluruhan umatnya yang beriman untuk mencari sumber rezeki yang paling baik dan halal. (Lihat Taisir  al-Karim al-Rahman,1/81)

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ، ‌إِنَّ ‌اللهَ ‌طَيِّبٌ ‌لَا ‌يَقْبَلُ ‌إِلَّا ‌طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا، إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} [المؤمنون: 51] وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ} [البقرة: 172] ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟ “

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnyaAllah SWT telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul, maka Allah SWT bersabda: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kami beramal soleh). Dan Allah SWT berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu). Kemudian Baginda SAW menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang rambutnya kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan kelangit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?”

Riwayat Muslim (1015)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Sesiapa yang hartanya lebih banyak daripada sumber yang haram, makruh untuk menerima pemberian daripadanya sebagaimana makruh melakukan apa-apa transaksi dengannya.(Lihat Raudhat al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin, 337/7)

Menjawab persoalan di atas, kami ingin menegaskan bahawa duit yang diperolehi daripada sumber yang haram, atau yang juga dikenali sebagai wang tidak patuh syariah, adalah disyorkan untuk diserahkan kepada Baitul Mal. Pihak Baitul Mal telah menyediakan sebuah tabung khas yang bertujuan untuk mengumpulkan dana dari sumber-sumber seperti ini, dan dana tersebut akan digunakan untuk keperluan awam yang bersifat penting.

Oleh itu, kami berpendapat bahawa pada masa kini, harta yang diperolehi dari sumber yang haram dapat disucikan atau “dibersihkan” dengan menggunakannya untuk kepentingan awam yang melibatkan perkara-perkara penting seperti pembaikan tandas-tandas awam yang rosak, jalan raya, membaiki paip yang pecah, dan lain-lain. Dengan cara ini, wang yang semula berasal dari sumber yang tidak halal dapat diubah menjadi sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat awam.

Imam al-Nawawi menukilkan fatwa Imam al-Ghazali Rahimahullah dalam kitab al-Majmu` Syarh al-Muhazzab : Sekiranya bersama seseorang itu suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mengetahuinya, maka wajib orang tadi menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam yang umum, seperti untuk (keperluan) jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya daripada segi boleh dikongsi bersama orang Islam…” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 9/351 )

Melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-87, Majlis Kebangsaaan bagi Hal Ehwal Islam pada 23-25 Jun 2009, telah dinyatakan iaitu:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manfaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:

  • Diserahkan kepada Baitulmal untuk maslahah- maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
  • Diserahkan kepada golongan fakir miskin; atau
  • Jika harta tersebut merupakan harta rompakan, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal”.

Sebagai kesimpulannya, harta yang diperolehi dari sumber yang haram hendaklah disucikan melalui perkara-perkara yang dapat memanfaatkan orang ramai. Di kesempatan ini suka juga kami nasihati agar sentiasa mengambil peduli terhadap halal dan haram dalam menjalani kehidupan seharian agar rezeki yang diperolehi itu datang dari sumber yang halal.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda :

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ، لاَ يُبَالِي الْمَرْءُ مَا أَخَذَ مِنْهُ أَمِنَ الْحَلاَلِ أَمْ مِنَ الْحَرَامِ

Maksudnya : “Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang tidak peduli apa yang dia ambil, apakah dari hasil yang halal atau yang haram.”

Riwayat al-Bukhari (2059)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *