Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mengapa cara kita jamak qasar skrg tidak sama dgn apa yg kita belajar di sekolah 20-30 thn dulu. Adakah apa yang diamalkan dulu salah? Kalau salah kenapa banyak negara jiran termasuk Indonesia masih mengamal cara dulu? Cara dulu: lebih 2 marhalah boleh jamak qasar selama 3 hari kerana kita bermukim di situ. Cara sekarang: tidak boleh jamak qasar sekiranya ada niat tinggal disitu lebih dari 4 hari walaupun bermusafir. Harap penjelasan. Sekian.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2392: Kekeliruan Dalam Mempraktikkan Solat Jamak[1]

#1640: Hari Apa Boleh Jamak Jika Musafir Dua Minggu?[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum dalam mengerjakan solat jamak qasar ini tidaklah berubah dari dahulu sehingga kini. Namun, ketika zaman persekolahan dahulu, sudah pasti pembelajarannya tidak menyeluruh dan mengikut peringkat bagi memastikan pelajar menguasainya satu persatu. Begitu juga, apabila pembelajaran kita semakin tinggi, maka ketika itu kita kenal adanya mazhab lain dan khilaf dikalangan mereka. Namun, kesemuanya benar dan mempunyai hujah serta dalil yang tersendiri. Oleh itu, di sini kami sertakan syarat-syarat dalam solat jamak agar saudara lebih memahami:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km.
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

[1] https://maktabahalbakri.com/2392-kekeliruan-dalam-mempraktikkan-solat-jamak/

[2] https://maktabahalbakri.com/1640-hari-apa-boleh-jamak-jika-musafir-dua-minggu/

Bertarikh: 4 Oktober 2023 bersamaan 19 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply