Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah kedudukan imam perempuan ketika mengimamkan jemaah perempuan yang lain? Jika makmumnya hanya seorang, dia hendak berdiri di sebelah mana, kanan atau kiri imam tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, pada asasnya, perempuan tidak boleh menjadi imam untuk mengimamkan solat melainkan hanya kepada jemaah makmum perempuan. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa jika imam seorang lelaki, maka sah bagi golongan lelaki dan perempuan berimamkan solat dengannya. Sebaliknya jika imam itu seorang perempuan, maka hanya sah golongan perempuan sahaja berimamkan solat dengannya dan tidak sah golongan lelaki mahupun khunsa untuk berimamkan solat dengannya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/350-351).

Bahkan tidak boleh bagi lelaki untuk mendirikan solat di belakang perempuan (dengan mengikutinya sebagai imam). Sekiranya lelaki tersebut tetap solat di belakangnya dalam keadaan dia tidak mengetahui, kemudian dia mengetahui hal itu, maka wajib ke atasnya untuk mengulangi semula solatnya. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/184).

Tambahan lagi, Imam al-Syafi‘i ada menjelaskan mengenai hal ini dengan menyebutkan, apabila seorang wanita menjadi imam solat kepada golongan lelaki, wanita dan kanak-kanak lelaki, maka solat kaum wanita tadi adalah sah dan memadai, sebaliknya solat golongan lelaki dan kanak-kanak lelaki adalah tidak sah dan tidak memadai kerana Allah SWT telah menjadikan kaum lelaki pemimpin bagi kaum wanita, begitu juga kerana dihadkan bagi wanita daripada menjadi wali, dan kerana sebab-sebab yang lain. Selain itu juga, tidak boleh bagi wanita untuk menjadi imam bagi mengimamkan solat kepada lelaki dalam apa jua keadaan sekalipun. (Lihat al-Umm, 1/191).

Keduanya, berkenaan kedudukan imam wanita ketika mengimamkan jemaah wanita, imam wanita itu hendaklah berada di tengah-tengah dalam saf makmum jemaah perempuan. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff bahawa imam wanita ketika mengimamkan jemaah wanita hendaklah berdiri di tengah-tengah dalam saf jemaah wanita itu, dan begitu juga imam (lelaki) yang bertelanjang tanpa sebarang pakaian yang dapat dilihat bukan pada waktu malam hari juga hendaklah berdiri di tengah-tengah dalam saf jemaahnya.[1] (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 294).

Begitu juga Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa sunnahnya imam perempuan berdiri di tengah-tengah saf jemaah wanita. Hal ini adalah sebagaimana diriwayatkan bahawa Aisyah R.Anha dan Ummu Salamah mengimamkan jemaah wanita dan mereka berdua (ketika itu) berdiri di tengah-tengah jemaah tersebut. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/295).

Di antara sebab atau alasan mengapa imam wanita berdiri di tengah-tengah jemaah makmum perempuan kerana ia adalah lebih tertutup dan terjaga auratnya disebabkan dilindungi oleh makmum-makmum di sebelahnya. Ini seperti mana disebutkan oleh al-Mawardi bahawa adalah lebih utama bagi sesiapa dalam kalangan wanita yang menjadi imam solat untuk berdiri di tengah-tengah jemaah wanita (ketika mengimamkan mereka) kerana hal itu lebih tertutup dan tersembunyi (auratnya) baginya. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/356).

Ketiganya, kedudukan imam wanita yang berada di tengah-tengah jemaah wanita hendaklah sedikit terkehadapan dari saf makmum jemaah wanita, supaya dapat dibezakan antara imam dan makmum. Bahkan dihukumkan sebagai makruh jika makmum berdiri selari dengan imam meskipun dalam jemaah wanita. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 1/272).

Hal ini adalah sebagaimana dijelaskan di dalam Hasyiah al-Jamal (1/545) bahawa lafaz “وَسْطَهُنَّ” bermaksud agar imam wanita tersebut tidak terkehadapan daripada jemaah wanita (iaitu berdiri di hadapan jemaah wanita seperti mana halnya imam lelaki dengan jemaah lelaki yang ramai). Begitu juga maksudnya tidak merujuk kepada imam wanita itu perlu berdiri selari dengan makmum wanita di sebelah kanan dan kirinya. Sebaliknya, maknanya yang dikehendaki di sini adalah imam wanita itu terkehadapan sedikit (تَقَدُّم يَسِير) agar dapat dibezakan antara imam dan makmum. Seterusnya dinyatakan juga bahawa menyelisihi perkara ini hukumnya adalah makruh, menghilangkan pahala berjemaah.

Penjelasan lebih lanjut berkenaan sedikit jarak antara imam dan makmum yang dimaksudkan ini ada disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini, di mana beliau menyatakan, disunatkan kepada makmum untuk berdiri sedikit belakang daripada imam. Apa yang diambil kira dalam menentukan jarak terkehadapan dan selainnya (terkebelakang) bagi orang yang berdiri adalah dengan melihat tumit iaitu  bahagian hujung kaki dan bukannya buku lali. Namun, jika tumit kaki imam dan makmum selari, lalu jari-jari kaki makmum sedikit terkehadapan, ia tidak memberi kesan (kepada kesahan solat) — yakni tidak mengapa. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/490).

Keempatnya, dinyatakan juga dalam Hasyiah al-Jamal (1/545) bahawa sekiranya makmum wanita itu hanya seorang, maka kedudukannya adalah di sebelah kanan imam wanita tersebut sama seperti halnya seorang imam lelaki dan seorang makmum lelaki. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

نِمْتُ عِنْدَ مَيْمُونَةَ وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا تِلْكَ اللَّيْلَةَ فَتَوَضَّأَ، ثُمَّ قَامَ يُصَلِّي، فَقُمْتُ عَلَى يَسَارِهِ، فَأَخَذَنِي، فَجَعَلَنِي عَنْ يَمِينِهِ، فَصَلَّى ثَلاَثَ عَشْرَةَ رَكْعَةً

Maksudnya: “Aku tidur di rumah Maimunah, dan Nabi SAW ada bersamanya pada malam itu. Setelah itu, Baginda berwuduk, kemudian bangun mendirikan solat, lalu aku berdiri di sebelah kiri Baginda. Maka Baginda memegangku lalu mengalihkan aku ke sebelah kanan Baginda, dan solat sebanyak tiga belas rakaat.

Riwayat al-Bukhari (698) dan lafaz hadith daripadanya; riwayat Muslim (763)

Dalam hadith di atas jelas menunjukkan bahawa apabila solat jemaah tersebut terdiri daripada seorang imam dan seorang makmum, maka kedudukan makmum adalah di sebelah kanan imam.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa jika jemaah wanita ramai, maka kedudukan imam wanita itu adalah di tengah-tengah jemaah wanita tersebut. Manakala jika makmum wanita hanya seorang, maka kedudukan makmum wanita itu adalah di sebelah kanan imam. Begitu juga disunatkan kepada imam wanita untuk berada sedikit terkehadapan dari saf makmum atau kedudukan jemaah makmum sedikit terkebelakang dari imam, supaya dapat dibezakan antara imam dan makmum. Bahkan sebahagian ulama berpendapat, menyelisihinya dihukumkan sebagai makruh dan boleh menghilangkan pahala berjemaah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

[1] Ini adalah bagi situasi semua orang termasuklah imam dan makmum dalam keadaan bertelanjang tanpa seurat pakaian pun. Adapun ketika waktu malam hari yang tidak dapat dilihat, atau jemaahnya itu semuanya buta, maka imam hendaklah berdiri di hadapan saf bagi mengimamkan solat mereka.

Bertarikh: 9 Oktober 2023 bersamaan 24 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply