#3797: Saidina Sa’id bin Zaid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Salah seorang daripada ahli syurga yang dijamin ialah Saidina Sa’id bin Zaid, siapakah beliau?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

عَشَرَةٌ فِي الْجَنَّةِ: أَبُو بَكْرٍ فِي الْجَنَّةِ، وَعُمَرُ فِي الْجَنَّةِ، وَعُثْمَانُ فِي الْجَنَّةِ، وَعَلِيٌّ فِي الْجَنَّةِ، وَطَلْحَةُ فِي الْجَنَّةِ، وَالزُّبَيْرُ فِي الْجَنَّةِ، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ فِي الْجَنَّةِ، وَسَعْدُ بْنُ أَبِي وَقَّاصٍ فِي الْجَنَّةِ، وَسَعِيدُ بْنُ زَيْدِ فِي الْجَنَّةِ، وَأَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Sepuluh orang di syurga: Abu Bakar di syurga, Umar di syurga, Uthman di syurga, Ali di syurga, Talhah di syurga, al-Zubair di syurga, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf di syurga, Sa‘ad bin Abu Waqqas di syurga, Sa‘id bin Zaid di syurga dan Abu ‘Ubaidah bin “al-Jarrah di syurga.”

Riwayat al-Tirmizi (3747); Ahmad (1/193); al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (5/56) dan Ibn Hibban (7002). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij Sahih Ibn Hibban menilai sanadnya sebagai sahih mengikut syarat Muslim.

Imam al-Nawawi menyebut bahawa memang sabit bahawa Nabi SAW memberi jaminan syurga kepada sepuluh orang sahabat. Namun begitu, sabit juga dalam hadith bahawa Nabi SAW turut memberi jaminan syurga kepada sahabat yang lain seperti cucu Baginda, Hasan dan Husain yang mana mereka merupakan penghulu para pemuda di syurga. Begitu juga dengan ‘Ukkasyah, Thabit bin Qais dan para sahabat yang lain.” (Lihat al-Minhaj Al-Muhaddithin, 8/248).

Al-Munawi berkata: “Jaminan Nabi SAW terhadap sepuluh orang sahabat tidak menafikan jaminan terhadap para sahabat yang lain. Ini kerana secara zahirnya mereka yang dijamin syurga yang disebutkan daripada kalangan 10 orang sahabat adalah kerana nama-nama mereka disebutkan secara serentak. Adapun para sahabat yang lain disebutkan secara berasingan.”(Lihat Faidh al-Qadir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 1/91).

Beliau ialah Abu al-A‘war Sa‘id bin Zaid bin ‘Amr bin Nufail bin ‘Abd al-‘Uzza bin Riyah bin Qurt bin Razah bin ‘Adi bin Ka‘ab bin Lu’ai bin Ghalib al-Qurasyi al-‘Adawi. Beliau termasuk dalam sepuluh orang yang dijanjikan syurga, salah seorang daripada kalangan al-Sabiqun al-Awwalun (orang-orang yang terdahulu — yang mula-mula berhijrah dan memberi bantuan), salah seorang ahli Badar dan juga termasuk dalam kalangan mereka yang Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia. Selain itu, beliau sedikit meriwayatkan hadith. Dalam al-Sahihain (Sahih al-Bukhari dan Muslim) terdapat dua hadith beliau. Selain daripada itu, satu hadith beliau hanya diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya. Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Ibn Umar, Abu al-Tufail, ‘Amr bin Huraith, Zir bin Hubaisy, Abu Uthman al-Nahdi, ‘Urwah al-Zubair, Abdullah bin Zalim, Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman dan ramai lagi. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/124-125).

Beliau juga termasuk daripada kalangan sahabat yang terawal masuk Islam. Menurut Ibn Ishaq, beliau memeluk Islam selepas 13 orang lelaki. Beliau berkahwin dengan Fatimah binti al-Khattab, adik kepada Saidina Umar bin al-Khattab. Bapanya pula ialah Zaid bin ‘Amr. Diceritakan bahawa bapanya selalu menghadap ke Kaabah lalu berkata: Tuhanku ialah Tuhan Ibrahim, dan agamaku ialah agama Ibrahim, serta dia solat. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah SAW, dan Baginda bersabda: “Dihimpunkan umat antara aku dan Isa bin Maryam hanya seorang.” (Lihat Siyar al-Salaf al-Salihin, 1/243).

Al-Zahabi ada menceritakan bahawa bapanya, iaitu Zaid bin ‘Amr termasuk dalam kalangan mereka yang melarikan diri daripada ibadah berhala kepada agama Allah. Dia telah mengembara sehingga ke bumi Syam dalam mencari agama yang benar. Dalam pencariannya itu, beliau telah melihat Nasrani dan Yahudi, tetapi dia tidak menyukai agama mereka — yakni tidak menganutnya. Beliau berkata: “Ya Allah, sesungguhnya aku berada di atas agama Ibrahim.” Akan tetapi tidak tersebarnya syariat Nabi Ibrahim A.S sebagaimana yang dikehendaki. Begitu juga dia tidak melihat sesiapa menghalangnya daripada perkara itu, dan dia termasuk dalam kalangan orang yang terselamat. Sesungguhnya Nabi SAW telah bersaksi buatnya bahawasanya: “Dihimpunkan sebagai umat secara bersendirian.”

Begitu juga terdapat riwayat daripada Asma’ binti Abu Bakar, katanya: “Aku melihat Zaid bin ‘Amr bin Nufail berdiri dalam keadaan membelakangkan Kaabah sambil berkata: ‘Wahai sekalian Quraisy! Demi Allah, tidak ada seorangpun di antara kamu yang mengikuti agama Ibrahim melainkan aku.’”(Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/126-128).

Sa‘id bin Zaid mengikuti setiap peperangan yang disertai oleh Nabi SAW kecuali Perang Badar. Ketika itu, Nabi SAW mengutusnya untuk mengintip kafilah Quraisy. Ketika kembali daripada tugasnya, perang sudah pun selesai. Meskipun begitu, Sa‘id tetap dianggap ikut perang dan mendapat harta rampasan perang.

Kematian Sa‘id bin Zaid: Sa‘id bin Zaid meninggal dunia di al-‘Aqiq, lalu kemudian jenazahnya dibawa ke Madinah dan di sanalah beliau dikebumikan. Sa‘ad bin Abu Waqqas memandikan jenazahnya. Orang yang meletakkannya di kubur pula adalah Sa‘ad dan Ibn Umar. Hal tersebut adalah pada tahun ke-50 atau ke-51H. Ketika itu, Sa‘id berusia 70 tahun lebih. (Lihat Ashab al-Rasul SAW oleh Syeikh Mahmud al-Misri, 2/12; Siyar al-Salaf al-Salihin oleh Isma‘il al-Asbahani, 1/246-247) (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 373-374).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *