#3801: Integriti dan Ketegasan Saidina Umar dalam Isu Pentadbiran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan tentang pentadbiran Saidina Umar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sesungguhnya, salah seorang sahabat Nabi SAW yang mempunyai keistimewaan dalam urusan siasah dan mentadbir dengan berjaya ialah Saidina Umar ibn al-Khattab. Memetik daripada buku Khalifah Umar RA: Fiqh Siasah Khulafa’ al-Rasyidin:

Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA bukan sahaja memilih ketua pentadbir wilayah dalam kalangan yang terbaik daripada para pemimpin dan ulama’ sahabat RA. Malah, beliau turut memilih daripada kalangan orang yang berilmu, beriman, berakhlak, dan memahami keadaan setempat untuk dihantar bagi melaksanakan tugas. Pada masa yang sama, kelakuan dan tugas setiap orang turut dipantau.

Khalifah ‘Umar RA pernah memberikan penegasan:

خَيْرٌ لِي أَنْ أَعْزِلَ كُلَّ يَوْمٍ وَالِيًا مِنْ أَنْ أُبْقِيَ ظَالِماً سَاعَةَ نَهَارٍ.

Maksudnya: “Lebih baik setiap hari aku memecat seorang wali (gabenor) daripada aku membiarkan seseorang melakukan kezaliman dalam tempoh masa yang pendek.”

Seterusnya, beliau menegaskan:

أَيُّمَا عَامِلٍ لِي ظَلَمَ أَحَدًا فَبَلَّغَنِي مَظْلَمَتَهُ فَلَمْ أُغَيِّرْهَا، فَأَنَا ظَلَمْتُهُ.

Maksudnya: “Sesiapa yang ditugaskan bagi pihakku, lalu diberikan pengaduan dia berlaku zalim dan sekiranya aku tidak mengubahnya, nescaya aku sendiri yang berlaku zalim terhadapnya.”

Selanjutnya, beliau bertanyakan orang ramai:

 أَرَأَيْتُمْ إِنِ اسْتَعْمَلْتُ عَلَيْكُمْ خَيْرَ مَنْ أَعْلَمُ ثُمَّ أَمَرْتُهُ بِالْعَدْلِ، أَقَضَيْتُ مَا عَلَيَّ؟

Maksudnya: “Apa pendapat kalian, sekiranya aku menugaskan seseorang yang baik supaya berlaku adil, adakah bermakna aku telah melaksanakan tanggungjawabku?”

Mereka menjawab: “Ya!”

‘Umar RA menegaskan:

 لَا، حَتَّى أَنْظُرَ فِي عَمَلِهِ، أَعَمِلَ بِمَا أَمَرْتُهُ أَوْ لَا

Maksudnya: “Tidak! Sehinggalah aku melihat akan perbuatannya terlebih dahulu, adakah dia melaksanakan tugasnya dengan baik atau tidak.” (Lihat al-Idarah al-‘Askariyyah fi ‘Ahd ‘Umar ibn al-Khattab, hlm. 215)

Polisi Khalifah ‘Umar RA ialah melaksanakan hisbah dengan memberikan kebebasan kepada seseorang pegawai itu untuk melaksanakan tugasnya mengikut kebijaksanaan, kemudian memantau akhlak dan budi bicaranya.

Khalifah ‘Umar RA secara khusus menugaskan individu untuk melawat ke

seluruh daerah supaya mengawasi dan merisik daripada maklumat setempat. Selain itu, hisbah dilaksanakan apabila diminta kepada penduduk tempatan agar menghantar rombongan dengan membawa apa-apa yang perlu dihantar ke Madinah.

Pada masa itu, beliau akan mengambil kesempatan bertanya kepada mereka berkenaan pegawai yang telah diamanahkan di daerah masing-masing; adakah pegawai tersebut menjalankan tugas dengan baik atau sebaliknya. Khalifah ‘Umar RA meneliti, menyoal siasat sendiri, dan meminta pandangan para sahabat utama yang menjadi ahli mesyuaratnya.

Sesudah itu, barulah tindakan diambil terhadap sesiapa yang dilaporkan melakukan kesilapan atau mempunyai kelemahan dalam mengendalikan urusan rakyat di daerah mereka. Ahli sejarah Islam mencatatkan beberapa peristiwa mengenai beberapa tindakan Khalifah ‘Umar RA terhadap para ketua pentadbir wilayah dan pegawai kanan yang telah dilantik oleh beliau. (Lihat Fiqh Siasah Khalifah ‘Umar RA, hlm. 455-457)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *