#3830: Kematian atau Kecederaan yang Dilakukan Orang yang Menipu Sebagai Doktor

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ada seorang pakcik di kampung saya yang mengaku sebagai doktor, sedangkan dia tidak berkeahlian. Pernah berlaku, orang yang dirawatnya mati dan ada juga yang mengalami kecacatan anggota. Apakah hukum ke atas pakcik ini menurut Islam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاللَّهُ أَخْرَجَكُم مِّن بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لَا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ ۙ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.”

(Surah al-Nahl: 78)

Di dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa dia menciptakan manusia itu dan menyediakan buat mereka medium atau alat yang boleh membantu mereka untuk menuntut ilmu pengetahuan dengan baik, kerana itulah diciptakan manusia ini dengan pendengaran, penglihatan, dan akal fikiran. Ini juga merupakan bukti bahawa Islam itu ialah agama yang amat menitikberatkan perihal ilmu pengetahuan, maka ayat pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW ialah tuntutan untuk membaca yang merupakan kunci kepada banyak ilmu.

Firman Allah SWT:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ ‎﴿١﴾‏ خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ ‎﴿٢﴾‏ اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ ‎﴿٣﴾‏ الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ ‎﴿٤﴾‏ عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ‎﴿٥﴾‏

Maksudnya: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

(Surah al-‘Alaq: 1-5)

Melihat kepada persoalan yang diajukan, kami katakan terlebih dahulu bahawa ilmu pengetahuan di dalam Islam ini mendahului amal perbuatan. Tidak wajar sesuatu perbuatan itu dilakukan melainkan atas dasar ilmu yang telah dipelajari terlebih dahulu. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا

Maksudnya: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

(Surah al-Isra’: 36)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan firman Allah SWT (وَلَا تَقْفُ), beliau menukilkan kalam Qatadah, katanya: “Jangan kamu katakan ‘Aku nampak’ sedangkan kamu tidak nampak pun, dan jangan kamu katakan ‘aku dengar’ sedangkan kamu tidak dengar, dan jangan kamu katakan ‘aku tahu’ sedangkan kamu tidak tahu. Beginilah yang disebutkan oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 10/257)

Oleh itu, tidak sepatutnya mana-mana individu yang tidak berkeahlian atau berkelayakan mengakui dirinya itu seorang doktor perubatan, sedangkan dia tidak pernah mengetahui ilmu perubatan yang sepatutnya ada pada seorang doktor. Sesungguhnya ini merupakan perkara yang sangat berbahaya kerana ia melibatkan nyawa dan kesihatan seseorang. Dan agama Islam pula disyari‘atkan untuk menjaga 5 maqasid yang utama, salah satunya adalah memelihara nyawa.

Berkenaan hukuman ke atas orang yang mengaku sebagai doktor ini pula, telah datang sebuah riwayat daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَطَبَّبَ وَلَمْ يَكُنْ بِالطِّبِّ مَعْرُوفًا فَأَصَابَ نَفْسًا فَمَا دُونَهَا فَهُوَ ضَامِنٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengaku pandai berubat, sedangkan dia tidak tahu tentang perubatan, lalu dia menyebabkan kehilangan nyawa atau selainnya, maka dia perlu bertanggungjawab memberi jaminan.”

Riwayat al-Nasa’ie (4830), Ibn Majah (3466), al-Baihaqi (16530) dan al-Daruqutni (3439)

Syeikh ‘Abdullah bin Soleh al-Fauzan mengatakan, para fuqaha menyimpulkan daripada hadith ini bahawa sesiapa yang mendakwa dirinya doktor sedangkan dia tidak berilmu tentangnya, lalu dia memperdaya orang dan merawat mereka. Kemudian berlakunya masalah sehingga orang mati dari dari rawatannya atau rosak sebahagian anggota tubuh seseorang itu, maka dia bertanggungjawab atas apa yang berlaku, dan wajib membayar diyah kerana dia sengaja menawarkan diri untuk mengubati orang.

Ulama’ telah bersepakat untuk mempertanggungjawabkan doktor yang jahil. Ibn Rusyd menyebutkan bahawa tidak ada perselisihan pendapat di kalangan ulama’ bahawa jika dia bukan ahli perubatan, dia bertanggungjawab memberi jaminan kerana sengaja menawarkan diri untuk mengubati orang. Demikian juga yang disebutkan oleh al-Khattabi dan Ibn al-Qayyim.

Ibarat-ibarat fuqaha’ dalam kitab-kitab mereka tanpa mengira mazhab menguatkan lagi pandangan ini, iaitu mempertanggungjawabkan doktor yang jahil. Ibn Rusyd bahkan menyebutkan bahawa jika mereka yang mengaku doktor sedangkan tidak ada ilmu ini melakukan kesilapan, maka dia perlu dihukum dengan pukulan, penjara serta membayar diyah.

Dan mafhum hadith ini juga, apabila seorang doktor yang berkeahlian melakukan kesilapan, dia tidak dipertanggungjawabkan memberi jaminan atas apa yang berlaku. Begitu juga jika doktor tersebut menghadapi kesukaran kerana pembedahan (yang boleh membawa kepada kematian atau cacat), maka dia tidak perlu bertanggungjawab menjamin berdasarkan persepakatan ulama’. Ini kerana pembedahan itu adalah perbuatan yang diizinkan dari sudut syara‘ dan dari pihak pesakit itu sendiri. Jika tidak ada keizinan pesakit, maka jika berlaku sebarang masalah, dia perlu bertanggungjawab. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 8/303)

Jika diperhatikan, Syeikh ‘Abdullah bin Soleh al-Fauzan menekankan keizinan sebagai penentu sama ada doktor itu perlu bertanggungjawab memberi jaminan jika berlaku masalah atau dia tidak perlu bertanggungjawab. Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin mengatakan, difahami melalui hadith di atas beberapa faedah; yang pertamanya adalah apa yang berlaku atas dasar keizinan, maka tidak perlu memberi jaminan.

Difahami juga dari hadith ini bahawa doktor adalah pekerjaan yang diizinkan syara‘ kerana tidak diwajibkan ke atas mereka yang berkeahlian untuk bertanggungjawab apabila berlaku kemalangan jiwa atau kecacatan anggota tubuh. Sekiranya pekerjaan ini tidak diizinkan syara‘, maka semua doktor pasti akan diwajibkan untuk bertanggungjawab apabila berlaku kemalangan. (Lihat Fath zi al-Jalal wa al-Ikram, 5/275)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menyebutkan beberapa faedah dari hadith di atas:

  • Hadith ini menunjukkan bahawa sesiapa yang mengaku ada ilmu perubatan, padahal tidak berilmu tentangnya, dan tidak pandai dalam bidang itu, maka dia telah memperdaya orang dan merawat mereka, dan dengan rawatannya dia membahayakan jiwa, atau mana-mana organ tubuh orang yang dirawat, maka dia bertanggungjawab. Ini kerana dia adalah orang yang melampaui batas, kerana dia menipu orang dan dia sengaja menawarkan diri untuk perkara yang dia tidak ada ilmu tentangnya.
  • Hukum pekerjaannya: Haram ke atasnya dakwaan palsu, memperdaya orang, dan mempermainkan jasad orang lain dengan kejahilan dan penipuannya.
  • Hukum upah yang diambilnya: Upah tersebut adalah haram, kerana ia dikira memakan harta orang lain dengan cara yang batil, hasil dari penipuan, hasil penipuan, dan kesan dari penyamarannya.
  • Cara ini kebiasaannya dilakukan oleh mereka yang mengaku mempunyai pengetahuan tentang perubatan tradisional, dengan cara menonjolkan diri pada khalayak bahawa dia ini berpengetahuan. Mereka merawat luka dengan cara menggunakan besi panas, kemudian memberikan mereka beberapa amalan, yang mana apabila tidak diikuti nescaya perubatan itu tidak akan menjadi. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/148)

Syaraf al-Din al-Tibi menyebutkan: “Aku tidak mengetahui khilaf dalam bab perubatan, apabila seseorang sengaja menawarkan diri untuk mengubati orang, lalu pesakit itu menjadi lebih teruk, maka orang itu perlu bertanggungjawab memberi jaminan. Begitu juga jika dia mendakwa ilmu atau beramal dengan sesuatu yang dia sebenarnya tidak tahu, dia juga dikira melampaui batasan. Jika berlaku masalah dari perbuatannya, maka dia perlu membayar diyah, tetapi tidak dikenakan qisas kerana dia tidak melakukan perkara tersebut tanpa izin pesakit tersebut.” (Lihat Syarh al-Misykat, 8/483)

Kesimpulan

Berdasarkan penerangan ringkas di atas, sekiranya ada seseorang yang mengaku dirinya mahir dalam bidang perubatan, sedangkan dia tidak mempunyai kepakaran atau ilmu tentangnya, kemudian orang yang dirawatnya mati atau mengalami kecacatan anggota, maka wajib ke atasnya untuk bertanggungjawab atas apa yang berlaku dengan membayar diyah.

Kami menasihatkan agar masyarakat lebih bijak memilih doktor sebelum mendapatkan rawatan darinya, kerana perkara ini boleh melibatkan nyawa dan fungsi tubuh badan kita. Seseorang itu mungkin mengaku dia memahiri ilmu perubatan meskipun tanpa sebarang sijil atau kelayakan, akan tetapi kita jua yang akan membuat pilihan sama ada ingin mendapatkan rawatan dengan orang tersebut atau memilih yang lebih berkelayakan.

Semoga Allah SWT memelihara diri kita dari sebarang unsur khianat dan penipuan individu-individu yang tidak bertanggungjawab. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *