#4009: Mimpi al-Hasan al-Basri Yang Dita’bir Oleh Ibnu Sirin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat mimpi al-Hasan al-Basri yang dita’bir oleh Ibnu Sirin?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dua tokoh ini cukup terkenal dalam Islam. Kami kemukakan secara ringkas kedua-duanya.

  • Ibnu Sirin

Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Sirin al-Ansari. Beliau merupakan seorang ahli fiqh yang zuhud dan tekun beribadah.

Ayah Muhamamd bin Sirin ialah bekas hamba kepada Anas bin Malik yang membelinya dari Khalid bin al-Walid yang menawannya di Ain al-Tamr di gurun pasir Iraq berhampiran al-Anbar[1]. Sebelum itu, Anas bin Malik telah menjanjikan kebebasan bagi hambanya Sirin jikalau Sirin membayar sejumlah wang. Sirin kemudian berusaha mengumpul wang dan dan bebaslah ia. Ibu Muhammad bin Sirin bernama Soffiyah yang pernah menjadi hamba sahaya Abu Bakar.

Muhammad bin Sirin dilahirkan pada tahun 33 H semasa pemerintahan Saidina Uthman iaitu 2 tahun sebelum Saidina Uthman bin Affan wafat. Akan tetapi, mengikut riwayat Anas bin Sirin iaitu saudaranya berkata, “Saudaraku Muhammad lahir 2 tahun berbaki pada zaman peemrintahan Umar ibn al-Khattab.”

Muhammad bin Sirin adalah seorang penuntut ilmu yang tekun dan bersungguh-sungguh. Sepanjang perjalanannya sebagai penuntut ilmu, beliau pernah bertemu dengan 30 orang sahabat Rasulullah SAW, tetapi tidak sempat bertemu atau melihat Abu Bakar dan Abu Zar al-Ghifari.

Beliau juga tidak mendengar hadith secara langsung dari Ibnu Abbas atau Abu Darda’ atau Imran bin Husain, atau Saidatina Aisyah. Tetapi beliau ada meriwayatkan beberapa hadith musnad dari Zaid bin Thabit RA, Anas bin Malik RA, Abu Hurairah RA, Hudzaifah bin al-Yaman RA dan beberapa lainnya.

Beliau banyak mendengar daripada Abu Hurairah RA dan juga Ibn Abbas, termasuk sahabat yang masih hidup ketika itu. Beliau seorang faqih, muhaddith, dan mneguasai banyak ilmu. Antaranya, ilmu berkenaan hisab, faraid dan juga qadab.

Beliau wafat pada 9 Syawal tahun 110 H selepas wafatnya al-Hasan al-Basri selama 100 hari. Sedangkan usianya ketika itu 77 tahun. Beliau dikebumikan di Basrah. Kuburnya sekarang berada pada binaan Marqad al-Hasan al-Basri.

Ibnu Aun berkata, “Antara wasiat Muhammad bin Sirin kepada keluarga dan anak-anaknya supaya bertaqwa kepada Allah, menjaga hubungan sesama mereka, mentaati Allah dan rasul-Nya jika sekiranya mereka beriman kemudian memetik ayat al-Quran al-Karim.

Begitu juga beliau nasihatkan supaya jangan meninggalkan saudara-saudara Ansar serta golongan Mawali. Sesungguhnya menjaga maruah dan bercakap benar adalah lebih baik dan kekal serta lebih mulia dariapda berzina dan dusta.”

  • Al-Hasan al-Basri

Nama penuhnya ialah Abu Saʿid ibn Abi al-Hasan Yasar al-Basri. Tokoh yang terkemuka ini merupakan anak kepada hamba kepada Zaid bin Tsabit iaitu Yasar yang berasal dari daerah Maisan satu daerah di pinggiran kota Basrah di Iraq. Beliau akhirnya dimerdekakan atau dibebaskan, kemudian berkahwin dengan seorang hamba milik Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW pada zaman pemerintahan Umar. Ibu al-Hasan al-Basri bernama Khairah.

Suwaid bin Sa’id berkata, “Adalah Hasan al-Basri dan Ibnu Sirin kedua-duanya maula kepada Abdullah bin Rawahah dan kemudian datang ke kota Basrah bersama Anas ibn Malik.”

Al-Hasan al-Basri dilahirkan pada tahun 21 H iaitu 2 tahun sebelum berakhirnya pemerintahan Saidina Umar di Rabadzah, sebuah dataran yang terletak 170 km dari kota Madinah al-Munawwarah yang kemudian dibawa oleh kedua ibu bapanya ke Madinah dan tinggal di rumah Ummu Salamah. Beliau membesar dan dididik di dalam suasana yang penuh berkat kerana dekat dengan keluarga Baginda Rasulullah SAW.

Pernah pada satu ketika, Ummu Salamah R.Anha telah menghantar atau mengutuskan ibu al-Hasan untuk satu hajat. Kemudian, al-Hasan al-Basri menangis. Sedangkan ketika itu beliau masih bayi. Lalu, Ummu Salamah menyusukannya bagi mendiamkannya.

Pada asalnya al-Hasan al-Basri membesar di perkampungan Wadi al-Qura. Beliau sempat mengahadir solat Jumaat yang dipimpin oleh Saidina Uthman dan mendengar Saidina Uthman berkhutbah serta menyaksikan hari kematian Saidina Uthman yang usianya ketika itu, 14 tahun.

Ketika al-Hasan al-Basri masih kecil, satu hari, ketika ibunya sedang sibuk bekerja, beliau menangis kerana tidak dipedulikan. Mendengar tangisan al-Hasan, Ummu Salamah datang dan mendukung dan menyusukan beliau. al-Hasan juga pernah didoakan oleh Saidina Umar bin Khattab dengan doa:

 اللهم فقهه في الدين وحببه إلى الناس

Maksudnya: “Ya Allah, ajarkanlah ilmu agama kepada anak kecil ini dan buatlah umat mencintainya.” (Lihat Siyar A’lam an-Nubala’, jilid 4, hlm. 565).

Beliau wafat pada tahun 110 H di Basrah Iraq di mana penduduk Basrah beramai-ramai solat jenazah dan mengebumikannya pada hari Jumaat.

 

Mimpi al-Hasan al-Basri

Satu malam, al-Hasan al-Basri bermimpi seolah-olah dia telanjang dan dia berdiri di tempat sampah atau kandang haiwan dan memukulnya dengan tongkat. Pada keesokan pagi, al-Hasan al-Basri amat dukacita dengan mimpinya seraya berkata kepada rakan taulannya, ‘Pergilah salah seorang daripada kamu kepada Ibnu Sirin dan ceritakan mimpi tersebut.’ Sedangkan ketika itu, Hasan al-Basri tidak menyukai Ibnu Sirin dan seolah-olah hubungan keduanya amat dingin.

Selepas wakil tersebut menceritakan mimpinya, Ibnu Sirin terus berkata, ‘Orang macam kamu tidak layak mimpi seperti ini. Ini bukan mimpi kamu. Bagi tahu kepadanya (tuan mimpi tersebut).’

Selepas diberitakan kepada Hasan al-Basri, maka terpaksalah beliau datang seraya berkata, ‘Jom, kita menemui Ibnu Sirin.’ Bila mana Ibnu Sirin melihat al-Hasan al-Basri datang ke rumahnya, dia terus bangun dan bersalaman. Tetapi kedua-dua duduk dalam keadaan sedikit berjauhan.

Seterusnya, al-Hasan al-Basri terus bertanya, seraya berkata, ‘Tinggallah antara kami isu remeh-temeh itu. Yang menyibukkan hatiku ialah mimpiku.’ Lantas, jawab Ibnu Sirin, ‘Hati kamu janganlah rasa takut dan runsing. Telanjang itu memebri makna dunia iaitu kamu tidak bergantung atau cenderung kepada dunia. Adapun, tempat najis atau kandang haiwan itu, itulah dunia ayng telah mendedahkan kepada kamu keadaannya. Kamu melihatnya dengan secara yang nyata. Adapun, pukulan kamu dengan tongkat kamu, itu bermakna hikamh, di mana kamu berpidato dengannya sehingga orang ramai dapat manfaat.’

Lantas, kemudian al-Hasan al-Basri bertanya, ‘Bagaimana kamu tahu aku bermimpi secara begitu?’ Jawab Ibnu Sirin, ‘Bila mana orang tadi datang, menceritakan kepadaku mimpinya, lantas, aku berfikir, dan aku tidak lihat seorang pun yang sesuai dengan mimpi seperti ini kecuali kamu.’

Mengakhiri kisah ini, kami nukilkan kisah seorang lelaki bertemu dengan Ibnu Sirin seraya berkata, ‘Sesungguhnya, aku bermimpi seekor burung datang kepada al-Hasan al-Basri dan mengambilnya di masjid.’ Lantas, kata Ibnu Sirin, ‘Jika sekiranya benar mimpi kamu ini, maksudnya al-Hasan al-Basri akan meninggal dunia.’

Tidak lama selepas itu, datang berita al-Hasan al-Basri telah meninggal dunia pada malam Jumaat.

Iktibar dan Pengajaran

Mengambil beberapa iktibar daripada kisah ini adalah seperti berikut:

  • Sifat berlawanan atau berlumba-lumba di kalangan orang-orang hebat pada satu-satu zaman adalah perkara biasa.
  • Sikap Hasan al-Basri yang bertanya kepada orang yang berkeahlian adalah tanda kematangan yang sebenar.
  • Sikap Ibn Sirin yang sambut, memeluk rakannya itu tanda persahabatan yang hakiki dan sejati.
  • Sifat para ulama sekali pun mereka bertelingkah tetapi mereka tidak lupa akan kebaikan yang dilakukan oleh rakannya dan tidak mengingkari keistimewaannya.

Kekuatan Kisah Ini

Sebahagian ulama menganggap kisah ini adalah kisah yang mungkar pada matannya dan juga asal kekuatannya. Kisah ini juga telah disebut dalam kitab al-Wafiy bi al-Wafayat oleh al-Safadi. Ini kerana perawi kisah ini bernama Abu Ali al-Wahazi lahir pada tahun 362 H sedangkan Ibnu Sirin dan al-Hasan al-Basri meninggal dunia pada tahun 110 H.

Kami berpendapat ini secara hikayat semata-mata. Yang bersifat mauizzah dan istifadah yang dapat kita perolehi. Wallahu a’lam.

Semoga Allah SWT merahmati kedua-duanya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

[1] Pentadbiran Al Anbar merupakan salah satu pentadbiran di Iraq. Ibu kotanya ialah Ramadi. Pentadbiran ini terletak di bahagian barat daya di negara itu. Pentadbiran ini memiliki keluasan wilayah 138,501 km² dengan memiliki jumlah penduduk sebanyak 1,432,717 orang pada tahun 1999.

Bertarikh: 1 November 2023 bersamaan 17 Rabiulakhir 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *