Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah makmum perlu sujud sahwi jika imam meninggalkannya? Sebagai contoh, imam tertinggal qunut Subuh, dan tidak melakukan sujud sahwi atau sengaja meninggalkannya. Adakah kita wajib sujud sahwi selepas imam memberi salam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji: Al-Sahwu adalah suatu kekurangan yang berlaku pada orang yang sedang solat di dalam solatnya. Sama ada ia berlaku secara sengaja ataupun secara terlupa. Dan sujud – tempatnya di penghujung solat – sebagai menguatkan kekurangan tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/172).

Perbuatan sujud sahwi ini adalah bersumberkan kepada sebuah kisah yang masyhur sebagai kisah Zul Yadain, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata:

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم الظُّهْرَ أَو الْعَصْرَ ، فَسَلَّم ، فَقَالَ لَهُ ذُو الْيَدَينِ : الصَّلَاةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَنقصت ؟ فَقَال النبيُّ صلى الله عليه وسلم : أَحَقٌّ مَا يَقُول ؟ قالوا نعمْ ، فصلَّى ركْعَتَينِ أُخْرَيَتين ، ثمَّ سَجَدَ سَجْدَتَين

Maksudnya: “Nabi SAW mengimamkan solat Zohor atau Asar bersama kami. Kemudian Baginda memberi salam. Lalu Zul Yadain berkata kepada Nabi SAW: “Solat wahai Rasulullah, adakah kau telah mengurangkannya?” Maka Nabi SAW bersabda: “Benarkah apa yang dia katakan?” Maka para sahabat pun menjawab: “Ya.” Lalu Baginda melakukan dua solat yang berbaki, kemudian sujud sebanyak dua kali.

Riwayat al-Bukhari (1169)

Antara sebab yang menuntut kepada sujud sahwi adalah: Seseorang itu meninggalkan salah satu dari sunat ab’adh di dalam solat. Sunat-sunat ab’adh di dalam solat adalah beberapa perkara berikut:

  • Tasyahhud Awal
  • Selawat ke atas Nabi SAW selepas tasyahhud yang pertama.
  • Duduk untuk tasyahhud awal.
  • Selawat ke atas ahli keluarga Nabi SAW selepas tasyahhud akhir.
  • Qunut semasa i’tidal pada rakaat kedua solat fajar.

Antara dalil yang menguatkannya adalah sebuah riwayat daripada Al-Mughirah bin Syu’bah, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُم مِنَ الرّكْعَتَينِ فَلَمْ يَسْتَتِمَّ قَائِمًا فَلْيَجْلِسْ ، وَإِذَا اسْتَتَمَّ قَائِمًا فَلَا يَجْلِسْ ، وَيَسْجُدْ سَجْدَتَي السَّهْوِ

Maksudnya: “Apabila salah seorang dari kamu bangun daripada dua rakaat, dan masih belum berdiri sempurna maka hendaklah dia duduk. Dan apabila telah berdiri dalam keadaan sempurna, janganlah dia duduk serta dia sujud sebanyak dua kali sujud sahwi.”

Riwayat Ibn Majah (1208)

Riwayat di atas menunjukkan bahawa sekiranya seseorang itu terus bangun daripada tasyahhud awal, sekiranya dia telah berdiri dalam keadaan sempurna, hendaklah dia teruskan dan jangan duduk semula. Sebaliknya dia perlu melakukan sujud sahwi.

Berdasarkan beberapa penjelasan dan hujah yang kami kemukakan di atas, seseorang imam yang tertinggal atau sengaja meninggalkan doa qunut semasa solat Subuh, adalah disunatkan untuk dia melakukan sujud sahwi. Namun sekiranya dia tidak melakukannya, ini tidaklah membatalkan solatnya. Ini kerana, sujud sahwi hukumnya adalah sunat apabila berlakunya sebab-sebab yang tertentu seperti yang telah kami sebutkan.

Manakala bagi makmum pula, adalah menjadi tuntutan untuk dia mengikut imamnya dalam pergerakan solat. Sekiranya imam melakukan sujud sahwi, hendaklah dia turut melakukannya. Namun sekiranya imam tidak melakukan sujud sahwi (apabila telah berlaku sebab yang menuntut), maka tidak perlu untuk makmum melakukannya setelah imam memberi salam.

Wallahu a’lam.

 

Bertarikh: 13/11/2021 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1443H

0 thoughts on “#113 Sujud Sahwi Jika Imam Tidak Melakukannya

Leave a Reply