Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya terlewat hadir solat berjemaah di masjid semasa ketika solat Subuh. Selepas membaca tahiyat, imam melakukan sujud sahwi. Adakah wajib untuk saya ikut imam sujud sahwi atau bangun menambah rakaat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Sujud sahwi merupakan sujud yang dilakukan kerana kecacatan solat yang dilakukan seseorang ketika bersolat sama ada disengajakan atau terlupa. Ia dilakukan pada akhir solat sebelum salam dengan cara sujud sebanyak dua kali sepertimana sujud-sujud di dalam solat dengan niat sujud sahwi.[1]

Dalam isu di atas, boleh ikut sujud sahwi kerana tujuan makmum ialah mengikut imam. Imam itu adalah untuk diikuti. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ

Maksudnya“Sesungguhnya dijadikan imam untuk diikuti.”[2]

Guru kami, al-Syeikh ‘Atiyyah Salim berkata: Pada permasalahan sujud sahwi, ketika mana imam sujud dan makmum sujud bersamanya, sedangkan imam sujud kerana lupanya tetapi makmum tidak lupa, mereka juga hendaklah sujud bersama imam.[3]

Dalam menjawab isu ini, kami kemukakan hadis yang diriwayatkan daripada Umar R.A, daripada Nabi SAW, sabda Baginda:

لَيْسَ عَلَى مَنْ خَلْفَ الإِمَامِ سَهْوٌ فَإِنْ سَهَا الإِمَامُ فَعَلَيْهِ وَعَلَى مَنْ خَلْفَهُ

MaksudnyaTiadalah seseorang yang sembahyang di belakang imam sujud sahwi. Jika sekiranya imam lupa, maka hendaklah imam dan makmum sujud sahwi.[4]

Hadis ini menjadi dalil bahawa imam menanggung di atas lupanya makmum. Jika makmum lupa, sedangkan imam tidak lupa, maka makmum tidak perlu sujud sahwi. Inilah yang dinyatakan oleh Ibn al-Munzir secara ijma’. Usul syariat menyokong hukum ini. Ini kerana makmum hendaklah mengikut imam sehingga mutaba’ah (ikutan hendaklah didahulu mengatasi tasyahhud awal).[5]

Hadis ini juga menunjukkan jika sekiranya makmum tidak lupa tetapi yang lupa ialah imam sedangkan makmum hanya sempat pada tahiyyat akhir, maka hendaklah dia sujud bersama imam ketika sujud sahwi kerana nas menyebut:

وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا

Maksudnya: “Apabila imam sujud, maka hendaklah kamu (makmum) bersujud.”[6]

Ibn Munzir telah menyebutnya secara ijma’.

Kadang-kadang makmum itu tidak melakukan kesilapan manakala imam melakukan kesilapan. Sebagai contoh, imam terlupa membaca doa qunut sedangkan makmum tidak terlupa dan sempat membaca doa qunut walaupun yang ringkas. Kemudian di akhir solat, imam sujud sahwi kerana tidak membaca qunut, maka makmum mesti sujud bersama imam. Ianya tidak menjadi masalah dan tidak semestinya makmum juga lupa baru perlu sujud sahwi bersama imam.

Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 13/11/2021 bersamaan 8 Rabiul Akhir 1443H

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/443

[2] Riwayat al-Bukhari (378) dan Muslim (948)

[3] Lihat Syarh Bulugh al-Maram oleh Syeikh ‘Atiyyah Muhammad Salim, 1/464

[4] Riwayat al-Baihaqi (2/532) dan al-Daraqutni (1/377). Hadis ini seperti kata al-Baihaqi adalah dha’if. Kata al-Syaukani, salah seorang pada sanadnya Kharijah bin Mus’ab, sedangkan beliau dha’if. Dan juga Abu al-Husin al-Madini sedangkan beliau majhul.

[5] Lihat Taudhih al-Ahkam oleh al-Bassam, 2/351

[6] Riwayat al-Bukhari (378)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *