Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan berkenaan susu yang terdapat dalam al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً ۖ نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهِ مِن بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَّبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِّلشَّارِبِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada binatang-binatang ternakan itu pasti terdapat pengajaran bagimu. Kami memberi kamu minum daripada susu yang berada di dalam perutnya yang keluar antara hampas makanan dan darah. Orang-orang yang meminumnya terasa sedap dan enak.”

(Surah al-Nahl: 66)

Syeikh al-Sa’di berkata: “Dan sesungguhnya bagi kamu pada binatang ternak itu terdapat pelajaran; kamu dapat mengambil pelajaran dari binatang ternak yang Allah jadikan tunduk untuk manfaat kamu. Pelajaran itu adalah bahwa Allah memiliki kekuasaan yang sempurna dan kemurahan-Nya yang luas, ketika Dia memberikan kamu minuman dari perut binatang ternak yang berisi tinja dan darah. Dari antara itu, Allah mengeluarkan susu yang suci dari kotoran, lezat untuk diminum dan menyenangkan bagi para peminum, selain itu, susu tersebut juga memberi minum dan memberi nutrisi. Apakah ini bukan kekuasaan Ilahi yang luar biasa, bukanlah hanya urusan alamiah semata? Seberapa banyak hal dalam alam yang dapat mengubah pakan yang dimakan oleh ternak, minuman yang diminum dari air tawar, dan garam menjadi susu yang suci dan nikmat untuk diminum?” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 443)

Susu Sebagai Minuman

Allah menentukan proses susu binatang berlaku di bahagian perut pertama binatang. Susu terhasil di dalam perut binatang berpunca daripada cernaan makanan dan gabungan darah yang datang daripada pembuluh darah. Kemudian air susu itu dialirkan ke dalam kantung susu. Susu yang terhasil tidak bercampur dengan kawasan kotoran perut dan darah yang lain. Keadaan ini membuktikan kebesaran Allah yang menjadikan hasil susu berkeadaan bersih dan suci.

Susu yang keluar daripada perut binatang menjadi sumber minuman yang cukup berkhasiat. Semua peringkat manusia terutama bayi memerlukan nutrisi yang terkandung di dalam susu. Susu menjadi makanan utama bayi untuk membantu proses pertumbuhan mereka. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/47-48)

Terdapat riwayat daripada  Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«مَنْ أَطْعَمَهُ اللَّهُ الطَّعَامَ فَـلْيَـقُلْ: اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْـرًا مِنْهُ، وَمَنْ سَقَاهُ اللَّهُ لَبَـنًا فَـلْيَـقُلْ: اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ». وَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «لَيْسَ شَيْءٌ يَجْزِي مَكَانَ الطَّعَامِ وَالشَّرَابِ غَيْـرُ اللَّبَنِ».

Maksudnya: Sesiapa yang diberikan makanan oleh Allah hendaklah dia berdoa: “Ya Allah, berkatilah makanan ini untuk kami dan berikanlah kami makanan yang lebih baik daripada makanan ini,” dan sesiapa yang diberikan susu oleh Allah, hendaklah dia berdoa: “Ya Allah, berkatilah susu ini untuk kami dan tambahkanlah susu kepada kami.” Baginda SAW bersabda lagi:“Tiada sesuatu pun dapat menggantikan makanan dan minuman melainkan susu.”

Riwayat al-Tirmizi (3455). Hadith ini dinilai hasan

Kesimpulan

Kesimpulannya, susu daripada sumber haiwan menjadi sebahagian daripada minuman manusia dan ia juga menjadi minuman Rasulullah SAW. Justeru, orang-orang yang beriman dapat mengamalkan minuman yang berkat ini selari dengan petunjuk Baginda SAW. Pada masa yang sama, dapat mengambil iktibar akan keunikan kejadiannya dan manfaat daripada khasiatnya.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply