Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan kenapa kita perlu buat baik dan berbakti pada ibu bapa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ ٱلْكِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّۢ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًۭا كَرِيمًۭا (٢٣) وَٱخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرًۭا

Maksudnya:Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan hanya kepada-Nya sahaja; dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang antara mereka atau kedua-duanya meningkat usia tua dalam jagaanmu, maka janganlah sesekali engkau mengucapkan sebarang kata-kata kasar kepada mereka. Dan janganlah engkau menengking mereka sebaliknya ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan hendaklah kamu merendah diri terhadap mereka berdua dengan kasih sayang dan doakanlah mereka, “Wahai Tuhanku! Rahmatilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidikku semasa kecil.”

(Surah al-Isra’: 23-24)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. (Lihat Tafsir al-Munir, 15/54)

Tambahan pula, seseorang yang sempat bersama atau berbakti kepada kedua ibu bapanya merupakan orang yang sangat bertuah dan beruntung. Ini kerana, Nabi SAW pernah menyatakan orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibubapanya tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkan dia untuk dimasukkan ke dalam syurga. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ.‏ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: ‏‏مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ ‏‏

Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”

Riwayat Muslim (2551)

Berbakti kepada Ibu bapa

Ibu bapa adalah individu yang paling berhak untuk dilimpahi kebaikan tanpa sempadan dan disantuni dengan penuh hormat. Merekalah individu yang sanggup bersusah payah asalkan anak-anak bahagia. Mereka wajib dikasihi, disayangi dan dihormati hingga hujung nyawa. Justeru, anak-anak yang gagal menyantuni ibu bapa sebagaimana yang sepatutnya menyebabkan mereka dihina di akhirat.  Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA, sabda Rasulullah SAW:

ثَلَاثٌ لَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ، وَلَا يَنْظُرُ اللهُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: الْعَاقُّ بِوَالِدَيْهِ، وَالْمَرْأَةُ الْمُتَرَجِّلَةُ، وَالدَّيُّوثُ

Maksudnya: “Tiga golongan yang tidak akan masuk syurga dan tidak dilihat oleh Allah pada hari akhirat kelak: Orang yang menderhaka terhadap ibu bapa, wanita yang menyerupai lelaki dan seorang lelaki yang dayus.”

Riwayat Ahmad (6180). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan sanadnya hasan

Namun, terdapat segelintir anak-anak yang tidak mahu membalas jasa kedua orang tua terutama ketika mereka sudah lanjut usia dan perlukan perhatian yang khusus. Ibu atau bapa yang uzur dihantar ke pusat jagaan orang tua dan mereka dibiarkan di situ tanpa dijenguk. Amat rugi sekiranya ada anak-anak yang mengambil keputusan sebegini kerana Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA:

«رَغِمَ أَنْفُ، ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ، ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ»، قِيلَ: مَنْ؟ يَا رَسُولَ اللهِ قَالَ: «مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ، أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ»

Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: Siapa (yang tuan maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang masih mempunyai orang tuanya ketika mereka sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun dia tidak masuk syurga (menerusi amal solehnya terhadap ibu bapanya).”

Riwayat Muslim (2551)

Justeru, santunilah ibu bapa selagi hayat dikandung badan kerana redha Allah SWT terletak pada redha ibu bapa. Berbaktilah kepada mereka ketika mereka masih hidup mahupun selepas mereka telah meninggal dunia. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/122)

Kesimpulan

Ibu bapa mempunyai kedudukan paling istimewa bagi diri setiap manusia. Oleh itu, mereka hendaklah dihormati, dimuliakan dan dipenuhi segala keperluan terutama ketika mereka sedang meniti hari tua di bawah jagaan anak-anak. Kaum kerabat juga mempunyai kedudukan yang istimewa bagi seseorang. Oleh itu, mereka adalah orang yang paling patut untuk seseorang berbuat baik, terutama dalam memberikan sumbangan, kerana jika seseorang baik hubungannya dengan kaum kerabatnya, biasanya hubungannya dengan orang lain juga adalah baik.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Leave a Reply