Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah akan berlaku kerapuhan jika seseorang bergantung selain daripada Allah SWT?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مَثَلُ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَوْلِيَآءَ كَمَثَلِ ٱلْعَنكَبُوتِ ٱتَّخَذَتْ بَيْتًۭا ۖ وَإِنَّ أَوْهَنَ ٱلْبُيُوتِ لَبَيْتُ ٱلْعَنكَبُوتِ ۖ لَوْ كَانُوا۟ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Perumpamaan bagi orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan.”

(Surah al-‘Ankabut: 41)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini berkata, ini adalah perumpamaan yang Allah SWT letakkan bagi orang-orang musyrik yang bergantung kepada tuhan selain Allah SWT, kerana mengharapkan pertolongan serta rezeki dari tuhan-tuhan mereka itu, mereka berpaut pada tuhan-tuhan mereka itu ketika dalam keadaan susah. Mereka itu ibarat berpaut pada sarang labah-labah yang tidak kuat dan rapuh.

Sungguh tidaklah pada tangan-tangan mereka yang berpaut dengan tuhan-tuhan selain Allah SWT itu melainkan umpama orang yang berpaut pada sarang labah-labah. Ia langsung tidak bermanfaat buat mereka. Sekiranya mereka mengetahui akan hal ini, nescaya mereka tidak akan mengambil wali-wali sebagai tempat bergantung selain Allah SWT. Berbeza keadaannya dengan orang-orang Islam dan beriman yang hati-hati mereka bertaut pada Allah SWT, diikuti pula dengan amal kebaikan berlandaskan syara‘, mereka ini umpama bertaut pada simpulan tali yang utuh yang tidak akan putus, kerana kuat dan tetapnya ia. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/252)

Kisah umat terdahulu jelas memperlihatkan kerapuhan pergantungan mereka dengan mengambil tuhan-tuhan palsu dan manusia sebagai sembahan, sehingga akhirnya mereka dibinasakan. Perbuatan mereka saling tak tumpah seperti kerapuhan labah-labah yang membuat sarangnya sebagaimana yang telah dijelaskan dalam bayan tafsili. Antara i‘jaz al- Quran yang terdapat pada perumpamaan orang yang bergantung harap kepada sesuatu yang rapuh seperti pergantungan labah-labah pada sarangnya mempunyai beberapa mukjizat ilmiah, antaranya:

Pertama: Penggunaan kalimah (ٱلْعَنكَبُوتِ) iaitu labah-labah merujuk kepada labahlabah betina kerana kata kerja yang digunakan menunjukkan muannath (merujuk kepada betina) iaitu (ٱتَّخَذَتْ بَيْتًۭا). Justeru, yang mampu membina sarang sesawang hanya labah-labah betina, bukan jantan. Labah-labah jantan hanya menggunakan bebenangnya hanya untuk keperluan dirinya sendiri seperti melompat dari satu tempat dan beberapa pergerakan lain sahaja. Jelas mukjizat ilmiah dalam ayat ini merentas zaman dan ketepatan penggunaan bahasa al-Quran adalah mukjizat sepanjang zaman. Bayangkan ketika turunnya ayat ini, tidak ada siapapun yang mengetahui sarang labah-labah dibina oleh labah-labah betina sahaja.

Kedua: Bagi labah-labah jantan pula, mereka terpaksa menumpang di sesawang labah-labah betina. Semasa musim mengawan, labah-labah jantan merayu labah-labah betina tetapi selepas mengawan, labah-labah jantan akan dibunuh oleh labah-labah betina. Setelah anak-anak labah-labah menjadi dewasa, mereka pula yang akan membunuh ibunya dan mencampakkannya keluar daripada sarang. Dengan fenomena ini, jelaslah bawa perumpamaan ini sangat tepat ditujukan kepada manusia yang mengambil tuhan-tuhan palsu dan manusia sebagai sembahan. Betapa rapuhnya tempat mereka bergantung harap. Malah, ekologi kehidupan labah-labah menunjukkan kitaran kekeluargaan yang tidak sihat seawal pembunuhan dan penyingkiran labah-labah jantan. (Lihat Botani, Zoologi dan Tenaga dari Perspektif al-Quran, hlm. 25-26)

Ketiga: Profesor Fritz Vollrath yang mengetuai kumpulan penyelidikan Oxford Silk Group telah menjalankan penyelidikan khusus mengenai biologi sutera sarang labah-labah yang bertujuan membongkar rahsia evolusi, ekologi, fizik dan kimia bahan yang menghasilkan sarang labah-labah. Spesis labah-labah yang diberi tumpuan khusus dalam penyelidikan Dr Fritz ialah dari jenis Golden Orb Weaver (Nephila edulis) yang boleh menghasilkan enam jenis sutera yang berbeza.

Mereka berjaya mengumpulkan 80 meter sutera yang dihasilkan daripada kelenjar labah-labah spesis tersebut. Sememangnya diakui bahawa, struktur dan proses binaan sarang labah-labah adalah sangat unik dan mengkagumkan. Selain mempunyai kekuatan tertentu yang hebat serta mesra alam (bio-compatible), ia juga berfungsi sebagai bahan-bahan kegunaan perubatan.[1]

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan ini, benarlah bahawa sesiapa yang bergantung pada selain dari Allah SWT, mereka itu tidak ubah seperti bergantung pada sarang labah-labah yang sangat rapuh.

Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan umat Islam seluruhnya untuk sentiasa beriman dengan apa yang kita bacakan dalam solat. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Fatihah:

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Maksudnya: “Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”

(Surah al-Fatihah: 5)

Hendaklah kita bertaut pada Allah SWT yang Maha Memberi segala apa yang diperlukan serta dihajati oleh hamba-hamba-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

Wallahu a‘lam

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.majalahsains.com/tonton-bagaimana-saintis-mengumpul-sarang-labah-labah/. Diakses 22 November 2023.

Leave a Reply