#4618: Hukum Bertukar Tawanan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah dibenarkan dalam Islam untuk bertukar tawanan perang seperti apa yang berlaku di Gaza antara pasukan Palestin dan Israel?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْعَقَبَةُ (12) فَكُّ رَقَبَةٍ

Maksudnya: “Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui: apa dia amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu? (Di antara amal-amal itu – bagi orang yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi.”

(Surah al-Balad: 12-13)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: Kemudian kesukaran di atas dijelaskan oleh firman-Nya: ‘فَكُّ رَقَبَةٍ’, yakni melepaskan daripada perhambaan dan membantunya melunaskan bayaran untuk membebaskan diri daripada perhambaan. Dan tentu lebih utama lagi membebaskan tawanan Muslim daripada tangan-tangan orang kafir. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 443)

Termasuk dalam melepaskan perhambaan adalah pada zaman kita ini melepaskan tawanan perang. Justeru, kami katakan, langkah yang dibuat adalah yang terbaik kerana ada tawanan yang sudah begitu lama terpenjara, seolah-olah tiada sinar dalam hidupnya untuk mengecap kebebasan. Tetapi dengan cara pertukaran telah memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak. Manusia yang asalnya dilahirkan dalam keadaan merdeka dan bebas, perlu dikekalkan kebebasannya bak kata Saidina Umar al-Khattab:

مَتَى اسْتَعبَدْتمُ النَّاسَ وَقَدْ وَلَدَتْهم أُمَّهَاتُهم أَحْرَارًا

Maksudnya: “Sejak bila kamu memperhambakan manusia? Sedangkan mereka dilahirkan oleh ibu mereka sebagai manusia merdeka!”

(Lihat Futuh Misr oleh Ibn ‘Abd al-Hakam, hlm. 195 dan al-Wilayah ‘ala al-Buldan fi ‘Asr al-Khulafa’ al-Rasyidin oleh ‘Abd al-‘Aziz bin Ibrahim, hlm. 45)

Dengan cara pertukaran ini juga boleh mengeluarkan ramai tawanan Islam dari penjara mereka. Semoga Allah memberi pertolongan kepada golongan mustadh’afin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *