Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami bagaimana bidadari syurga melayan penghuninya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ لِلْمُتَّقِينَ مَفَازًا ٣١ حَدَآئِقَ وَأَعْنَـٰبًۭا ٣٢ وَكَوَاعِبَ أَتْرَابًۭا ٣٣ وَكَأْسًۭا دِهَاقًۭا ٣٤ لَّا يَسْمَعُونَ فِيهَا لَغْوًۭا وَلَا كِذَّٰبًۭا ٣٥ جَزَآءًۭ مِّن رَّبِّكَ عَطَآءً حِسَابًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi orang bertakwa itu ada tempat yang menjadi habuan kemenangan. Iaitu syurga yang di dalamnya taman-taman dan buah-buahan. Juga bidadari-bidadari yang menarik tubuhnya dan sebaya umurnya. Gelas-gelas minuman yang sentiasa penuh. Mereka tidak mendengar di dalamnya perkara sia-sia yang menimbulkan ketidaksenangan ataupun pembohongan. Ganjaran daripada Tuhan mereka serta pemberian yang cukup seperti dijanjikan.”

(Surah al-Naba’: 31-36)

Allah SWT menceritakan keadaan orang yang berbahagia dan ganjaran pahala yang telah disediakan oleh Allah SWT buat mereka yang berupa kehormatan dan kenikmatan yang abadi. Sesungguhnya orang yang bertakwa mendapat kemenangan. Mujahid dan Qatadah mengatakan bahawa mereka beroleh kemenangan, maka mereka selamat daripada azab neraka.

Mereka berada dalam taman-taman yang dipenuhi dengan pohon-pohon kurma, buah anggur dan lain-lainnya, serta bidadari yang sebaya usianya dan gelas-gelas yang penuh berisi minuman. Di dalam syurga tidak terdapat perkataan yang sia-sia dan tiada faedah, tiada pula perkataan yang berdosa atau dusta, bahkan syurga adalah negeri kesejahteraan, dan semua yang ada di dalamnya bebas daripada segala bentuk kekurangan. Semua yang telah disebutkan di atas merupakan ganjaran daripada Allah SWT yang diberikan-Nya kepada mereka sebagai kurnia, kebaikan dan rahmat-Nya kepada mereka. Pemberian ini cukup dan memenuhi segala janji-janji-Nya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/170;  Tafsir al-Bayan, 6/323)

Layanan Bidadari di Syurga

Antara nikmat yang disediakan Allah kepada ahli syurga ialah para bidadari yang sangat cantik dan berusia muda. Mereka akan melayani segala kehendak ahli syurga sama ada makan, minum dan hubungan kelamin.

Ironinya, sebahagian masyarakat Islam memandang perkara ini sebagai suatu yang negatif, bahkan ada yang melemparkan tuduhan bahawa Islam adalah agama yang menggalakkan umatnya dengan tawaran seksual. Hakikatnya, orang yang berpandangan seperti ini lupa bahawa tawaran ini adalah di syurga, bukan di dunia.

Segala peraturan dunia tidak lagi terpakai di syurga, bahkan tiada lagi larangan seperti di dunia. Manusia juga tidak perlu malu mengakui bahawa hubungan seks adalah suatu nikmat, bahkan di dunia ini lagi terdapat orang yang melampaui batas melayani kehendak nafsu seksnya. Maka apakah menjadi sesuatu yang memalukan jika Allah SWT menawarkan nikmat ini di syurga sebagai hasil usaha keras mereka beriman dan beramal ketika di dunia, seperti nikmat lain yang juga ditawarkan oleh Allah SWT di syurga. (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/324-325)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply