Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah Nabi SAW ada menyembunyikan atau meninggalkan sesuatu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami dengan tegas mengatakan bahawa jawapannya adalah tidak. Nabi SAW tidak ada menyembunyikan apa-apa mahupun ada meninggalkan sesuatu daripada pedoman agama daripada disampaikan kepada umatnya.

Bahkan salah satu sifat yang wajib bagi Rasul adalah tabligh yakni menyampaikan. Benarlah firman Allah SWT:

وَمَا عَلَى الرَّسُولِ إِلَّا الْبَلَاغُ الْمُبِينُ

Maksudnya: dan (ingatlah) tugas Rasul hanya menyampaikan dengan penjelasan yang terang nyata”.

(Surah al-Ankabut: 18)

Syeikh al-Sa’di berkata: Yakni menyampaikan kepada kamu semua secara jelas.

Hal ini dikuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya, daripada ‘Abd al-‘Aziz bin Rufai‘, katanya: Aku dan Syaddad bin Ma‘qil masuk menemui Ibn Abbas R.Anhuma, lalu Syaddad bin Ma‘qil bertanya kepadanya:

أَتَرَكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ شَيْءٍ؟ قَالَ: مَا تَرَكَ إِلَّا مَا بَيْنَ الدَّفَّتَيْنِ. قَالَ: وَدَخَلْنَا عَلَى مُحَمَّدِ ابْنِ الحَنَفِيَّةِ، فَسَأَلْنَاهُ، فَقَالَ: مَا تَرَكَ إِلَّا مَا بَيْنَ الدَّفَّتَيْنِ.

Maksudnya: “Adakah Nabi SAW ada meninggalkan sesuatu?” Beliau menjawab: “Baginda tidak meninggalkan sesuatu, kecuali apa yang ada terkandung di antara dua kulit, iaitu mushaf al-Quran.” Dia berkata: “Kami turut menemui Muhammad bin al-Hanafiyyah lalu bertanyakan kepadanya, maka beliau berkata: ‘Baginda tidak meninggalkan sesuatu, kecuali apa yang ada terkandung di antara dua kulit, iaitu al-Quran.’

Riwayat al-Bukhari (5019)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply