Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada pertanyaan. Seorang pekerja telah digaji oleh majikannya untuk melakukan pekerjaannya termasuk menjalankan penyelidikan. Untuk melakukan penyelidikan, pekerja tersebut perlu mencari dana daripada pihak luar dan bekerjasama dengan pihak luar tersebut. Semasa berunding dengan pihak luar, pihak luar tersebut bersetuju untuk memberi honorarium kepada pekerja tersebut. Kadar honorarium yang diberikan kepada pekerja tersebut akan diletakkan dalam kontrak yang telah dipersetujui. Dalam polisi majikan pekerja tersebut, tidak pernah ada berkaitan dengan honorarium melakukan penyelidikan dan kadar honorarium yang dibenarkan majikan. Adakah pekerja tersebut boleh menerima honorarium daripada pihak luar tersebut? Selain itu, jika boleh, bolehkan pekerja menerima honorarium tanpa ia dinyatakan dalam kontrak dengan pihak luar tersebut.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلَالَا اسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ ، وَسَعْيَا عَلَى أَهْلِهِ ، وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)

Definisi Honorarium

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, honorarium bermaksud sagu hati yang dibayar sebagai membalas jasa kepada pengarang dan seumpamanya.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini ia perlu bergantung kepada akad kontrak. Keduanya, perkara yang perlu diambil kira adalah perasaan pekerja lain yang tidak mendapat sumbangan dari pihak ketiga tersebut. Cadangan kami adalah sebaiknya semua perkara yang penting perlu dijelaskan di dalam kontrak dari sudut apa yang dibenarkan dan apa yang tidak. Misalnya dari segi pembahagian percent (peratus) dan seumpamanya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Leave a Reply