#5122: Nabi Tidak Solat Dhuha Kecuali Pulang Dari Musafir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah, ada hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah bahawa Nabi tidak solat Dhuha kecuali ketika pulang dari Musafir? Jika ada bagaimana kami yang melazimi solat Dhuha?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab isu di atas, kami katakan benar. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abdullah bin Syaqiq, katanya:

قُلتُ لِعائِشَةَ: أَكانَ النبيُّ ﷺ يُصَلِّي الضُّحى؟ قالَتْ: لا، إلّا أَنْ يَجِيءَ مِن مَغِيبِهِ.

Maksudnya: “Aku berkata kepada Aisyah, adakah Nabi SAW solat Dhuha? Jawab Aisyah, tidak kecuali dia pulang dari musafir.”

Riwayat Muslim (717), Abu Daud (1292), al-Nasa’ie (2184) dan Ahmad (25385)

Syeikh Mustafa al-Nadwi berkata: “Ala kulli hal, hadis-hadis yang banyak lagi sahih, riwayat selain daripada Aisyah sudah memadai untuk mengisbatkan sunat solat Dhuha, sehingga kata Ibn Jarir al-Tabari, ia telah mencapai had mutawatir.”

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Al-Hakim iaitu pengarang al-Mustadrak telah menghimpunkan banyak hadis yang datang tentang Solat Dhuha dalam juzuk yang khusus dan disebut pendapat yang paling banyak di kalangan aqwal secara bersanad dan telah mencapai bilangan perawi hadis dalam mengisbatkan solat dhuha sekitar 20 orang sahabat Nabi.” (Lihat Jawab al-Sa’il ‘an Syarh al-Syama’il, hlm. 319)

Kami kemukakan di sini beberapa hadith tentang galakan solat Dhuha:

Pertama: Mendapat Banyak Kelebihan

Daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA katanya:

أَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى أَقْرَبَ مِنْهُمْ مَغْزًى، وَأَكْثَرَ غَنِيْمَةً، وَأَوْشَكَ رَجْعَةُ؟ مَنْ تَوَضَّأَ ثُمَّ غَداً إِلَى الْمَسْجِدِ بِسُبْحَةِ الضُّحَى، فَهُوَ أَقْرَبُ مغزى، وَأَكْثَرُ غَنِيْمَةٌ، وَأَوْشَكَ رَجْعَةٌ

Maksudnya:  “Apakah kamu suka aku tunjukkan kamu atas sesuatu ibadah yang lebih menguntungkan kamu, banyak ghanimah dan kelebihannya? Siapa yang berwuduk kemudian mengunjungi masjid untuk solat Duha, maka ia lebih menguntungkan; banyak ghanimah dan kelebihan.

Riwayat Ahmad (6638) dan al-Tabarani (14684)

Kedua: Dicukupkan oleh Allah SWT

Daripada Uqbah bin Amir al-Jahnim RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT berfirman di dalam hadis qudsi:

يا ابنَ آدمَ اكْفِنِي أَوَّلَ النَّهَارِ بِأَربَعِ رَكَعَاتٍ، أَكفِكَ بِهِنَّ آخِرَ يَومِكَ

Maksudnya: “Hai anak Adam cukupkan bagi-Ku pada awal hari dengan empat rakaat Duha nescaya Aku cukupkan bagimu dengannya seluruh harimu.

Riwayat Ahmad (17390) dan Abu Ya’la (1757). Al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (2/235) berkata: “Para rijalnya ialah thiqah.” Berkata Abdul Qadir al-Arnaut dalam tahqiq al-Ittihafat (ms. 10): “Hadis ini sahih.”

Daripada Abu al-Darda RA[1]: Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah berfirman dalam hadis qudsi:

يا ابنَ آدمَ لا تَعْجِزَنَّ مِن أربَعِ ركعاتٍ مِنْ أوّلِ النّهارِ أكفِكَ آخرَهُ

Maksudnya: “Hai anak Adam jangan kamu lemah daripada empat rakaat Duha daripada awal hari nescaya Aku cukupkan bagimu hingga akhir hari tersebut.”

Riwayat Ahmad (27550) dan al-Nasa’i dalam Sunan al-Kubra (468)

Daripada Abu Umamah RA[2] katanya, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah SWT berfirman dalam sebuah hadis qudsi:

يَا ابْنُ آدَمَ إرْكَعْ لِي أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ أَكْفِكَ آخِرُهُ

Maksudnya: “Hai anak Adam rukuklah kerana-Ku dengan empat rakaat Duha pada awal hari, nescaya Aku cukupkan bagimu hingga akhir hari tersebut.”

Riwayat al-Tirmizi (475) daripada Abu al-Darda’ dan Abu Zar, beliau berkata: “Hadis ini hasan gharib”; Al-Nasa’i (466) dan Ibn Hibban (2533 & 2534) dalam al-Sunan al-Kubra daripada Nu ‘aim bin Hammar; Al-Tabarani (7746) dalam al-Mu ‘jam al-Kabir daripada Abu Umamah.

Berkenaan lafaz ‘أَكْفِكَ’, al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: Ditafsirkan dengan dicukupkan daripada ditimpa kecelakaan dan berbuat dosa.” (Lihat Qut al-Mughtadhi, 1/202 oleh Jalaluddin al-Suyuti)

Syeikh al- ‘Azim al-Abadi menambah: “Diberikan keampunan bagi dosa yang dilakukan pada tempoh berkenaan.” (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 4/118)

Syeikh al-Munawi berkata: “Terpelihara daripada kejahatan yang diciptakan Allah Taala pada hujung hari itu, seperti ujian dan bala musibah. Oleh sebab itu, Allah memerintahkan anak Adam untuk melakukan suatu perbuatan atau meninggalkannya, semata-mata demi maslahat yang kembali kepada hamba; adapun bagi Zat-Nya maka ketaatan tidak memberi-Nya apa-apa manfaat, dan maksiat juga langsung tidak memudaratkan-Nya.” (Lihat Faidh al-Qadir, 4/615)

Ketiga: Mendapat jaminan Allah SWT

Daripada Ibn Umar[3] R.Anhuma katanya, Rasulullah SAW bersabda: Firman Allah dalam hadis qudsi:

ابنَ آدمَ صَلِّ لِيْ رَكْعَتَيْنِ أَوَّلَ النَّهَارِ أَضْمَنْ لَكَ آخِرَهُ

Maksudnya: “Hai anak Adam, solatlah kerana-Ku dua rakaat Duha pada awal hari nescaya Aku jamin hingga akhir hari tersebut.”

Riwayat al-Darimi (1492). Syeikh Husain al-Darani berkata: “Sanadnya hasan.” ; Al-Nasa’i meriwayatkan dalam Sunan al-Kubra daripada Nu‘aim bin Hammar (467) dan daripada Abu Murrah al-Ta’ifi (470); Al-Baihaqi (4901) dalam al-Sunan al-Kubra daripada Nu‘aim bin Hammar al-Ghatafani.

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda kepadanya:

يَا أَبَا هُرَيْرَةَ، صَلِّ رَكْعَتَيْنِ أَوَّلَ النَّهَارِ أَضْمَنُ لَكَ آخِرَهُ

Maksudnya: “Wahai Abu Hurairah! Solatlah dua rakaat pada awal pagi nescaya Aku menjamin bagimu pada hujung hari itu.”

Riwayat al-Tabarani (4926) dalam al-Mu‘jam al-Ausat. Al-Haithami berkata: “Sebahagian hadis ini ada dalam Sahih al-Bukhari. Pada sanadnya terdapat Umar bin ‘Abd al-Jabbar dan dia adalah seorang yang dhaif (lemah).”

 

Keempat: Mendapat Keampunan Allah SWT

Daripada Abu Hurairah, sabda Nabi SAW:

مَنْ حَافَظَ عَلَى شُفْعَةِ الضُّحَى غُفِرَ لَهُ ذُنُوْبُهُ وإنْ كَانتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Maksudnya: “Siapa yang memelihara solat Dhuha dua rakaat nescaya diampunkan dosanya sekalipun seperti buih di laut.”

Riwayat al-Tirmizi (476), Ahmad (10102) dan Ibn Majah (1380)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Ungkapan ‘شُفْعَةِ الضُّحَى’ di sini bermaksud dua rakaat Dhuha. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/478)

Daripada Uqbah bin Amir RA, bahawa beliau berkata:

مَنْ قَامَ إِذَا اسْتَقْبَلَتْهُ الشَّمْسُ فَتَوضَّأَ فَأَحْسَنَ وُضُوْءَهُ، ثُمَّ قَامَ فَصَلِّى رَكْعَتَيْنِ، غُفِرَ لَهُ خَطَايَاهُ، وَكَانَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: “Siapa yang bangun melaksanakan wuduk dengan sesempurnanya ketika matahari sedang naik kemudian solat dua rakaat nescaya diampun baginya segala dosanya dan adalah dia sama seperti baru dilahirkan ibunya.”

Riwayat Abu Ya‘la (1763) dalam Sunan-nya. Syeikh Hakam Husain Salim Asad berkata: Sanadnya daif.

Kelima: Pelbagai Kelebihan Mengikut Jumlah Rakaat

Daripada Ibn Umar R.Anhuma katanya, aku berkata kepada Abu Zar: Hai pakcik, wasiatkan aku! Jawabnya: Kamu telah bertanya kepadaku sebagaimana aku bertanya kepada Rasulullah SAW. Lantas Baginda SAW bersabda:

إِنْ صَلَّيْتَ الضُّحَى رَكْعَتَيْنِ لَمْ تُكْتَبْ مِنَ الْغَافِلِيْنَ، وَإِنْ صَلَّيْتَ أَرْبَعاً كُتِبْتَ مِنَ الْعَابِدِيْنَ، وَإِنْ صَلَّيْتَ  سِتًّا لَمْ يُلْحَقْكَ ذَنْبٌ، وَإِنْ صَلَّيْتَ ثَمَانِيًا كُتِبْتَ مِنَ الْقَانِتِيْنَ، وَإِنْ صَلَّيْتَ اثْنَتَى عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَكَ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ، وَمَا مِنْ يَوْمٍ وَلاَ لَيْلَةٍ  وَلاَ سَاعَةٍ إِلاَّ وَلِلَّهِ فِيْهَا صَدَقَةٌ  يَمُنُّ  بِهَا عَلَى مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ، وَمَا مَنَّ عَلَى عَبْدٍ مِثْلَ أَنْ يَلْهِمَهُ ذِكْرُهُ

Maksudnya: “Jika kamu laksanakan solat Duha dua rakaat, nescaya tidak ditulis di kalangan orang yang lalai, dan jika kamu laksanakan solat Duha empat rakaat, nescaya ditulis di kalangan Abidin, jika kamu laksanakan solat Duha enam rakaat, nescaya kamu tidak diikuti dengan dosa dan jika kamu laksanakan solat Duha lapan rakaat nescaya kamu ditulis di kalangan Qanitin (sentiasa berdiri untuk beribadat) dan jika kamu laksanakan solat Duha dua belas rakaat nescaya dibina bagimu istana dalam syurga dan tiada sehari semalam dan waktu kecuali bagi Allah padanya sedekah yang dikurniakan dengannya atas siapa yang dikehendaki atas hambanya dan tiada daripada mana-mana hamba seumpama diilhamnya untuk zikir kepada-Nya.

Riwayat al-Bazzar (3890) dalam Musnad. al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (2/237) berkata: al-Tabarani meriwayatkannya di dalam al-Kabir (daripada Abu al-Darda’) dan dalam sanadnya ada Musa bin Ya‘qub al-Zam‘i yang dihukum thiqah oleh Ibn Ma ‘in dan Ibn Hibban tetapi dihukum daif oleh Ibn al-Madini dan ulama lain. Selain beliau, para rijal lain adalah thiqah.

Daripada Abu al-Darda’ RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى الضُّحَى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُكْتَبْ مِنَ الْغَافِلِيْنَ، وَمَنْ صَلَّى أَرْبَعاً كُتِبَ مِنَ الْعَابِدِيْنَ، وَمَنْ صَلَّى سِتًّا كُفِيَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَمَنْ صَلَّى ثَمَانِياً كُتِبَهُ الله مِنَ الْقَانِتِيْنَ، وَمَنْ صَلَّى ثِنْتَيْ عَشْرَةً بَنَى الله لَهُ بَيْتاً فِي الْجَنَّةِ، وَمَا مِنْ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ إِلاَّ للهُ مِنَّ بِهِ عَلَى عِبَادِهِ وَصَدَقَةٌ، وَمَا مِنَّ اللهُ عَلَى أَحَدٍ مِنْ عِبَادِهِ أَفْضَلُ مِنْ أَنْ يُلْهِمَهُ ذِكْرَهُ

Maksudnya: “Siapa yang solat Duha dua rakaat, nescaya tidak ditulis di kalangan yang lalai dan siapa yang solat Duha empat rakaat, nescaya ditulis di kalangan Abidin. Siapa yang solat Duha enam rakaat, nescaya dicukupkan hari tersebut dan siapa yang solat Duha lapan rakaat, nescaya Allah menulis baginya di kalangan Qanitin (sentiasa berdiri untuk beribadat). Siapa yang solat Duha dua belas rakaat, nescaya dibina istana baginya dalam syurga dan tiada berlalu hari dan malam kecuali bagi Allah kurniaan yang dikurniakan baginya atas hamba-hamba-Nya dan sedekah dan tiada kurniaan Allah ke atas seorang hambanya lebih baik daripada diilham kepadanya untuk berzikir kepada-Nya.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir sepertimana dinyatakan dalam al-Targhib wa al-Tarhib oleh al-Munziri (1/266)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

 

Nota kaki:

[1]   Abu Darda’ iaitu Uwaimir Abu Darda’. Beliau masyhur dengan kuniyahnya dan  juga masyhur dengan namanya. Ulama berselisih mengenai namanya. Ada yang mengatakan Amir. Uwaimir adalah laqab kepada dirinya. Amr bin al-Ghalas telah berkata: Ulama telah berselisih mengenai nama ayahnya. Ada yang mengatakan Amir atau Tha’labah atau Abdillah atau Zaid dan ayahnya Ibn Qais bin Umaiyah bin Amir bin Adi bin Kaab bin al-Khazraj al-Ansari al-Khazraji. Abu Syahr berkata daripada Said bin Abdul Aziz: Beliau memeluk Islam pada peperangan Badar dan menyertai peperangan Uhud. Ibn Hibban mengatakan bahawa Muawiyah menyuruh Abu Darda’ menjadi qadi di kota Damsyiq pada zaman pemerintahan Umar. Beliau meriwayatkan hadis daripada Nabi SAW, Zaid bin Thabit, Aisyah, Abi Umamah dan Fudhalah bin Ubaid. Yang meriwayatkan hadis daripadanya pula ialah anaknya, Bilal dan juga isterinya, Ummu al-Darda’, Abu Idris al-Khaulani, Suwaid bin Ghaflah, Jubair bin Nufair, Zaid bin Wahab, Alqamah bin Qais dan lain-lain lagi. Abu Syahr mengatakan beliau meninggal dunia pada zaman pemerintahan Uthman. Ibn Abd al-Bar berkata: Beliau meninggal selepas peperangan Siffin. Yang rajah di sisi ahli hadis, beliau meninggal pada zaman pemerintahan Uthman.

[2]   Nama sebenarnya ialah Suday, al-Bahili pula dinisbahkan kepada Bahilah. Di dalam al-Qamus, Bahilah merupakan sebuah kaum. Nama ayahnya ialah Ajlan. Beliau menetap di Mesir kemudian berpindah ke Hims. Meninggal dunia di sana pada tahun 81 Hijrah, ada pendapat menyatakan pada tahun 86 Hijrah. Beliau merupakan sahabat yang terakhir meninggal dunia di kota Syam dan salah seorang daripada mereka yang banyak meriwayatkan hadis.

[3]   Abu Abdul Rahman Abdullah Ibn Umar Ibn al-Khattab al-Adawi. Dilahirkan di Kota Mekah selepas Rasulullah SAW diutuskan seketika. Telah memeluk Islam ketika masih kecil dan menyertai hijrah bersama ayah dan ibunya yang bernama Zainab binti Maz’un. Masih dianggap kecil dalam peperangan Uhud iaitu usianya 14 tahun. Dan diizinkan menyertai peperangan Khandak ketika usianya melebihi 14 tahun, seterusnya menyertai semua peperangan bersama Rasulullah SAW. Beliau banyak mengambil daripada persahabatannya dengan Rasulullah SAW ilmu, di samping mulazamah di masjid dan menghafaz al-Quran al-Karim. Salah seorang ahli feqah di kalangan sahabat yang banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW iaitu sebanyak 1630 hadis. Terkenal sebagai sahabat yang amat kuat mengikut athar Rasulullah SAW, sehingga Baginda bersabda kepadanya: “Sesungguhnya Abdullah merupakan seorang lelaki yang soleh.” Beliau meninggal dunia pada tahun 73 Hijrah di Kota Mekah dalam usia 84 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *