Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kisah golongan yang Nabi SAW katakan dari Timur membaca al-Quran tidak melepasi kerongkong mereka, tetapi mereka keluar agama bak anak panah yang keluar daripada busurnya, yakni pantas? Apakah tanda mereka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Golongan ini dikenali sebahagian ulama sebagai khawarij.

Dari segi sejarah, kemunculan Khawarij berkait rapat dengan suasana ketidakstabilan politik yang berlaku dalam kalangan umat Islam pada penghujung zaman Khulafa al-Rasyidin. Menurut Dr. Muhammad ‘Imarah, kumpulan Khawarij pada awalnya muncul kebanyakannya daripada kalangan golongan al-Qurra’ yang majoritinya terdiri daripada golongan ‘arab badwi yang tidak memahami selok belok percaturan politik. Mereka juga tidak mampu untuk menerima hakikat apabila kaum Quraish mengambil alih kepimpinan dan memiliki keistimewaan tertentu setelah Islam menyamaratakan antara kaum Muslimin.

Golongan al-Qurra’ berperanan besar sehingga tercetusnya pemberontakan terhadap Sayyiduna Uthman bin Affan, terutamanya ketika timbulnya isu yang melibatkan kaum kerabat Bani Umayyah pada enam tahun kedua pemerintahan Uthman. Selepas pembunuhan Uthman, golongan al-Qurra’ menjadi kumpulan teramai yang menyokong Sayyiduna Ali bin Abi Talib dalam memerangi penentang-penentang Ali. Bagaimanapun setelah perang Siffin dan peristiwa tahkim antara Ali dan Mu‘awiyah, golongan ini telah keluar daripada kumpulan Ali kerana tidak bersetuju dengan tindakan Ali untuk menerima tahkim. Kumpulan ini kemudiannya dikenali dengan gelaran Khawarij. (Lihat Tayyarat al-Fikr al-Islami, 15-19)

Ini sebahagian daripada tafsiran oleh para ulama’.

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, daripada Nabi SAW sabdanya:

يَخْرُجُ نَاسٌ مِنْ قِبَلِ المَشْرِقِ، وَيَقْرَءُونَ القُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ، ثُمَّ لاَ يَعُودُونَ فِيهِ حَتَّى يَعُودَ السَّهْمُ إِلَى فُوقِهِ»، قِيلَ مَا سِيمَاهُمْ؟ قَالَ: سِيمَاهُمْ التَّحْلِيقُ – أَوْ قَالَ: التَّسْبِيدُ.

Maksudnya: “Akan muncul manusia dari arah timur, mereka membaca al-Quran namun tidak melepasi kerongkong mereka (tidak meresap ke dalam hati mereka). Mereka keluar daripada agama sebagaimana keluarnya anak panah menembusi tubuh binatang yang dipanah, kemudian mereka tidak akan kembali semula (ke dalam agama) hingga anak panah kembali ke tali busur.” Lalu (Baginda SAW) ditanya: “Apakah tanda mereka?” Baginda SAW menjawab: “Tanda mereka adalah mencukur rambut,” – atau Baginda SAW bersabda dengan lafaz “التَّسْبِيدُ” yakni “…mencukur rambut hingga licin.”

Riwayat al-Bukhari (7562)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Sabda Baginda: ‘يَخْرُجُ نَاسٌ مِنْ قِبَلِ المَشْرِقِ’ (Akan muncul manusia dari arah Timur.) Dalam pembahasan tentang fitnah yang telah dikemukakan, bahawa mereka itu adalah golongan Khawarij. Selain itu, telah dipaparkan juga keterangan dengan bakal munculnya mereka dan riwayat-riwayat mengenai mereka yang mana permulaan keluarnya mereka dari Iraq, iaitu dari arah Timur apabila dilihat dari Makkah.

Sabda Baginda: ‘وَيَقْرَءُونَ القُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ’ (mereka membaca al-Quran, namun tidak melepasi kerongkong mereka). Kata Imam al-Nawawi: “Maksudnya, mereka tidak memperoleh pahala membaca al-Quran, dan hanya sekadar membacanya, dan tidak sampai ke kerongkong mereka, apatahlagi sampai ke hati mereka, kerana yang dituntut adalah memikirkan dan menghayatinya di dalam hati.”

Sabda Baginda: ‘التَّحْلِيقُ – أَوْ قَالَ: التَّسْبِيدُ’ (mencukur rambut,” – atau Baginda SAW bersabda dengan lafaz “التَّسْبِيدُ” yakni “…mencukur rambut hingga licin.”) Periwayat ragu, dan ini maknanya kebotakan. Ada juga yang mengatakan, bahawa maknanya lebih daripada itu, iaitu mencabut rambut hingga botak. Ada yang mengatakan, bahawa itu adalah keadaan rambut yang baru tumbuh beberapa hari (setelah dibotakkan). Ada juga yang mengatakan bahawa itu adalah tidak meminyakkan dan tidak mencuci rambut.

Al-Karmani berkata: Di sini ada kekeliruan, iaitu adanya tanda (ciri) menuntut adanya pemilik tanda (yang ditandai). Sehingga membawa maksud, setiap orang yang berkepala botak, maka dia dari golongan Khawarij, namun sebenarnya yang disepakati tidak demikian.”

Kemudian dia menjawab, bahawa para salaf tidak biasa membotakkan kepala mereka kecuali ketika haji atau kerana keperluan tertentu (seperti kerana penyakit di kepala yang memerlukan untuk dibotakkan), sedangkan kaum Khawarij menjadikannya sebagai kebiasaan sehingga menjadi simbol mereka dan mereka dikenali dengan itu. Mungkin juga yang dimaksud adalah membotakkan kepala dan mencukur habis janggut dan semua bulu. Itu dimaksudkan sebagai sikap berlebihan dalam perang dan ketika menyelisihi perkara agama.

Aku (Ibn Hajar) katakan, yang pertama jauh dari kebenaran, kerana tidak berlaku dalam kalangan Khawarij. Sedangkan yang kedua mungkin, namun jalur-jalur periwayatan hadithnya tampak jelas menyatakan bahawa maksudnya adalah membotakkan kepala. Yang ketiga seperti yang kedua. (Lihat Fath al-Bari, 36/1011)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Leave a Reply