Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh dato jelaskan berkenaan syarat-syarat hadhanah? Mohon pencerahan Dato. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Hadhanah

Penjagaan anak atau dari segi istilah syara’ disebut sebagai hadhanah (حَضَانَةٌ). Menurut istilah syara‘, ia didefinisikan sebagai menunaikan (hak-hak) dengan menjaga orang yang belum mumayyiz dan tidak pandai berdikari untuk urusan diri sendiri, mengasuhnya dengan apa yang layak untuknya dan memeliharanya daripada perkara yang boleh menyakitinya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 9/98)

Penjagaan anak merupakan suatu tanggungjawab yang tidak boleh diambil ringan kerana mereka memerlukan bimbingan dari orang dewasa dalam banyak perkara. Oleh yang demikian, kerajaan negeri telah mengeluarkan akta yang khusus berkenaan syarat-syarat orang yang layak mendapatkan hak penjagaan. Sebagai contoh, kami memetik dari Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, dalam bahagian 7 pada membincangkan tentang Hadhanah atau jagaan kanak-kanak. Disebutkan dalam seksyen 82:

“Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika:

  1. dia adalah seorang Islam;
  2. dia adalah sempurna akal;
  3. dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
  4. dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
  5. dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.”

Di dalam akta yang sama, disebutkan dalam seksyen 81 bahawa orang yang paling layak mendapatkan hak penjagaan anak kecil adalah ibu, sama ada dia masih dalam perkahwinan yang sah atau dia telah bercerai.[1]

Hukum ini thabit berdasarkan riwayat ‘Abdullah bin ‘Amru R.A, katanya bahawa suatu ketika datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ ابْنِي هَذَا كَانَ بَطْنِي لَهُ وِعَاءً وَثَدْيِي لَهُ سِقَاءً وَحِجْرِي لَهُ حِوَاءً وَإِنَّ أَبَاهُ طَلَّقَنِي وَأَرَادَ أَنْ يَنْتَزِعَهُ مِنِّي فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, payudaraku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah rumahnya, dan ayahnya pula telah menceraikanku lalu ingin merampasnya dariku. Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum berkahwin lain’.”

Riwayat Abu Dawud (2276), Ahmad (6707), al-Hakim (2830) dan al-Baihaqi (16181)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata ketika mensyarahkan faedah-faedah yang diperoleh dari hadith di atas, ia merupakan dalil bahawa ibu adalah orang yang paling layak mendapat hak penjagaan anak kecil berbanding ayahnya. Dia kekal mendapat hak ini selama mana dia tidak melangsungkan perkahwinan yang baharu.

Ini juga adalah dalil, sekiranya ibu itu berkahwin dengan lelaki lain, lalu digauli oleh suaminya yang baharu, maka gugur hak penjagaan anak darinya. Hal ini kerana dia telah disibukkan dengan bermesra bersama suaminya itu. Dan suami adalah orang yang paling utama bagi isteri berdasarkan persepakatan ulama’.

Dan hadith ini juga menunjukkan sisi syara‘ yang meraikan hak anak kecil itu, dan hak suami baharu yang dikahwini. Seorang ibu itu sebelum dia berkahwin lagi, dia hanya menumpukan kepada anaknya sahaja, menjaga urusannya, maka hak anak ke atas ibu ketika itu masih ada. Akan tetapi, setelah ibu itu berkahwin lagi, maka dia akan dibebankan dengan dua hak yang berterusan; hak suami baharu dan hak anak.  (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/59)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat enam syarat yang perlu dipenuhi sebelum dikira layak mendapat hak penjagaan anak yang masih kecil:

1. Berakal

Hak hadhanah tidak diberikan kepada orang gila, sama ada lelaki perempuan, sekalipun ia terjadi sekali-sekala. Ini kerana hadhanah merupakan hak kekuasaan (wilaye sedangkan orang gila bukan daripada golongan yang layak berku disebabkan tidak mampu menjaga dan mengawal, bahkan diri sendiri memerlukan penjagaan dan pengawasan orang lain.

2. Islam

Jika kanak-kanak tersebut seorang Islam walaupun pada hukum sahaja, iaitu ibu atau bapanya seorang Islam, maka dia mesti mengikut ibu atau bapanya yang beragama Islam. Oleh itu, orang ka tidak berhak menjaga kanak-kanak Islam kerana hadhanah merupakan hak kekuasaan (wilayah), sedangkan orang kafir tidak berkuasa ke an orang Islam. Hal ini kerana orang kafir mungkin mempengaruhi an jagaannya dengan pelbagai cara supaya meninggalkan Islam. Wal bagaimanapun, jika kanak-kanak itu seorang kafir, maka dia bol dipelihara sama ada oleh orang Islam atau orang kafir.

3. Iffah dan amanah

‘Iffah dan amanah bermaksud penjaga kanak-kanak, bukan seorang yang fasiq. Ini kerana orang yang fasiq tidak boleh diberi kuasa da tidak boleh diberi kepercayaan untuk menjaga sesuatu amanah. Ole itu, penjaga kanak-kanak seharusnya bersifat adil, menjaga maruah di dan kuat pegangan agamanya. Namun keadilan itu hanya berdasarkan pandangan zahir sahaja. Ia tidak memerlukan saksi dan keterangan kecuali jika kelayakan dan keadilannya dipertikaikan. Ketika itu, hakim hendaklah menthabitkan keadilan tersebut berdasarkan bukti dan keterangan.

4. Bermukim

Orang yang berhak menjaga kanak-kanak hendaklah bermukim di tempat kanak-kanak tersebut menetap. Jika ibu yang menjaga anaknya keluar bermusafir kerana sesuatu keperluan, seperti menunaikan haji, berniaga, melancong dar sebagainya dan tidak mampu membawa anaknya bersama-sama, maka orang yang tinggal di tempat anaknya menetap lebih berhak menjaga anak tersebut sehinggalah dia pulang. Oleh itu, dia hendaklah menyerahkan anak tersebut kepada neneknya semasa ketiadaannya.

Jika musafir bermaksud berpindah ke tempat lain tanpa niat untuk kembali, keadaan ini tidak menggugurkan hak penjagaan anak sekiranya jalan yang dilalui dan tempat yang dituju selamat. Begitu juga jika kedua-dua ibu bapa terpaksa bermusafir kerana sesuatu keperluan, hak penjagaan anak terus kekal kepada ibu dan musafir itu tidak menghalang hak penjagaan tersebut.

5. Ibu tidak berkahwin lain

Hak penjagaan anak gugur jika ibunya berkahwin lain, sekalipun belum disetubuhi oleh suaminya atau suami itu redha anak tersebut tinggall bersama-samanya. Rasulullah SAW bersabda:

أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي

Maksudnya: “Kamu berhak menjaga anakmu selagi kamu tidak berkahwin.”

Riwayat Abu Daud (2276)

Dalil akal juga menunjukkan bahawa hak penjagaan anak gugur apabila ibunya berkahwin lain kerana kesibukannya menunaikan hak suami. Dengan ini, tiada jaminan bahawa ibu akan terus menjaga dan memberi perhatian kepada anaknya.

Walau bagaimanapun, terdapat dua keadaan yang dikecualikan, iaitu:

  • Bapa kepada kanak-kanak itu dan bapa tirinya bersetuju supa anak itu tinggal bersama-sama ibunya. Keadaan ini mengekalkan hak ibu menjaga anak tersebut dan menggugurkan hak nenek.
  • Suami yang baru kepada ibu ialah kaum keluarga anak itu d termasuk di kalangan mereka yang mempunyai hak penjaga terhadapnya, sekalipun susur jalur kekeluargaannya jauh. Dalam keadaan ini, hak ibu menjaga anaknya tidak gugur jika suar bersetuju menjaganya. Ini kerana suami mempunyai ha penjagaan terhadap anak tersebut. Di samping itu, dia juga mempunyai perasaan kasih sayang yang mendorongnya bekerjasama dengan isteri bagi menjaga dan memberikan perhatian kepada anak tersebut.

6. Tidak menghidap penyakit yang berpanjangan dan yan menjejaskan penjagaan

Jika seorang ibu menghidap penyakit yang sukar sembuh, seper batuk kering, lumpuh separuh anggota badan, buta atau pekak, dia tidak berhak menjaga anaknya. Ini kerana keuzuran dirinya menjejaskan penjagaan terhadap anaknya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji,4/196)

Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan sedikit maklumat bagi mereka diluar sana dalam memahami isu hak jagaan anak yang masih kecil sekiranya berlaku perceraian. Hadhanah ini tidak lain dan tidak bukan adalah bagi menguruskan tanggungjawab berkaitan kemaslahatan anak kecil tersebut sehingga tidak berlaku kezaliman ke atas mereka dan juga tidak terabai.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply