#3708: Hak Penjagaan Anak yang Masih Kecil

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Siapakah yang lebih layak mendapatkan hak penjagaan anak yang masih kecil, ayah atau ibu?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Penjagaan anak atau dari segi istilah syara’ disebut sebagai hadhanah (حَضَانَةٌ). Menurut istilah syara‘, ia didefinisikan sebagai menunaikan (hak-hak) dengan menjaga orang yang belum mumayyiz dan tidak pandai berdikari untuk urusan diri sendiri, mengasuhnya dengan apa yang layak untuknya dan memeliharanya daripada perkara yang boleh menyakitinya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 9/98)

Penjagaan anak merupakan suatu tanggungjawab yang tidak boleh diambil ringan kerana mereka memerlukan bimbingan dari orang dewasa dalam banyak perkara. Oleh yang demikian, kerajaan negeri telah mengeluarkan akta yang khusus berkenaan syarat-syarat orang yang layak mendapatkan hak penjagaan. Sebagai contoh, kami memetik dari Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, dalam bahagian 7 pada membincangkan tentang Hadhanah atau jagaan kanak-kanak. Disebutkan dalam seksyen 82:

“Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika:

  1. dia adalah seorang Islam;
  2. dia adalah sempurna akal;
  3. dia berumur yang melayakkan dia memberikan kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
  4. dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
  5. dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.”

Di dalam akta yang sama, disebutkan dalam seksyen 81 bahawa orang yang paling layak mendapatkan hak penjagaan anak kecil adalah ibu, sama ada dia masih dalam perkahwinan yang sah atau dia telah bercerai.[1]

Hukum ini thabit berdasarkan riwayat ‘Abdullah bin ‘Amru R.A, katanya bahawa suatu ketika datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ ابْنِي هَذَا كَانَ بَطْنِي لَهُ وِعَاءً وَثَدْيِي لَهُ سِقَاءً وَحِجْرِي لَهُ حِوَاءً وَإِنَّ أَبَاهُ طَلَّقَنِي وَأَرَادَ أَنْ يَنْتَزِعَهُ مِنِّي فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, payudaraku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah rumahnya, dan ayahnya pula telah menceraikanku lalu ingin merampasnya dariku. Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum berkahwin lain’.”

Riwayat Abu Dawud (2276), Ahmad (6707), al-Hakim (2830) dan al-Baihaqi (16181)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata ketika mensyarahkan faedah-faedah yang diperoleh dari hadith di atas, ia merupakan dalil bahawa ibu adalah orang yang paling layak mendapat hak penjagaan anak kecil berbanding ayahnya. Dia kekal mendapat hak ini selama mana dia tidak melangsungkan perkahwinan yang baharu.

Ini juga adalah dalil, sekiranya ibu itu berkahwin dengan lelaki lain, lalu digauli oleh suaminya yang baharu, maka gugur hak penjagaan anak darinya. Hal ini kerana dia telah disibukkan dengan bermesra bersama suaminya itu. Dan suami adalah orang yang paling utama bagi isteri berdasarkan persepakatan ulama’.

Dan hadith ini juga menunjukkan sisi syara‘ yang meraikan hak anak kecil itu, dan hak suami baharu yang dikahwini. Seorang ibu itu sebelum dia berkahwin lagi, dia hanya menumpukan kepada anaknya sahaja, menjaga urusannya, maka hak anak ke atas ibu ketika itu masih ada. Akan tetapi, setelah ibu itu berkahwin lagi, maka dia akan dibebankan dengan dua hak yang berterusan; hak suami baharu dan hak anak.  (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/59)

Fuqaha’ Islam berpendapat, antara sebab mengapa ibu lebih diutamakan pada hak penjagaan anak, kerana anak itu bergantung harap kepada ibu dan nutrien dari tubuh ibu selama di dalam kandungan, dan sepanjang tempoh belum putus susu untuk menggalakkan lagi proses tumbesaran dalam keadaan yang sihat. Ini merupakan tempoh yang amat panjang, iaitu paling kurang 2 tahun 6 bulan, sepertimana disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا

Maksudnya: “(Dan ibunya) mengandungkan serta menyusukannya (anak) selama tiga puluh bulan.”

(Surah al-Ahqaf: 15)

Ia adalah suatu tanggungjawab besar yang berada di luar kemampuan seorang suami. Oleh yang demikian, ibu lebih didahulukan berbanding ayah dalam bab hak penjagaan anak ini. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan, Ibu lebih berhak daripada ayah dalam menjaga anak kecil kerana:

  • Kasih dan kesabaran ibu menanggung beban menjaga dan mendidik anak kecil.
  • Ibu lebih berlemah-lembut dalam menjaga dan mendidik anak-anak, di samping mampu memberikan kasih sayang dan belaian yang diperlukan oleh anak-anak kecil. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/181-182)

Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan sedikit maklumat bagi mereka diluar sana dalam memahami isu hak jagaan anak yang masih kecil sekiranya berlaku perceraian. Hadhanah ini tidak lain dan tidak bukan adalah bagi menguruskan tanggungjawab berkaitan kemaslahatan anak kecil tersebut sehingga tidak berlaku kezaliman ke atas mereka dan juga tidak terabai.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://www.kpwkm.gov.my/kpwkm/uploads/files/Dokumen/Akta/Akta%20Undang-Undang%20Keluarga%20Islam%20(Wilayah-Wilayah%20Persekutuan)%201984%20(Akta%20303).pdf. Diakses pada 19 Oktober 2023.

Bertarikh: 20 Oktober 2023 bersamaan 5 Rabiulakhir 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *