Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tafsan Surah al-Najm ayat 11?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَىٰ

Maksudnya: “Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya.”

(Surah al-Najm: 11)

Al-Tabari berkata: Makna ayat ini adalah, hati Muhammad tidak berdusta kepada Muhammad atas apa yang dilihat oleh hatinya, kerana penglihatan hatinya itu benar adanya.

Para ulama berbeza pendapat mengenai apa yang dilihat oleh hati Nabi SAW:

Pertama: Sebahagian mengatakan bahawa yang dilihat oleh hati Baginda adalah Rabbul ‘Izzah, Allah SWT. Mereka mengatakan bahawa pada saat itu, penglihatan Nabi SAW telah dipindahkan ke dalam hatinya, lalu Nabi SAW melihat Allah SWT melalui hatinya, bukan melalui mata kepala.

Para ulama tersebut memperkuat penafsiran mereka dengan menyebutkan beberapa riwayat, antaranya:

  • Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, mengenai firman Allah SWT, ‘مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَىٰ’ (Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya), beliau berkata: “Nabi SAW melihat Allah melalui hatinya.”
  • Daripada ‘Abbad (Ibn Mansur), bahawa dia pernah bertanya ‘Ikrimah mengenai firman Allah SWT, ‘مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَىٰ’ (Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya), lalu dia berkata: “Apakah kamu ingin aku mengatakan kepadamu bahawa Nabi SAW telah melihat-Nya? Ya, memang Baginda telah melihat-Nya, Baginda telah melihat-Nya, Baginda telah melihatnya…” ‘Ikrimah terus mengatakannya sehingga dia kehabisan nafas.
  • Daripada Isa bin ‘Ubaid, katanya: Ketika ‘Ikrimah ditanya: “Apakah Nabi SAW pernah melihat Tuhan?” Dia menjawab: “Ya, Baginda telah melihat-Nya.” Daripada Yahya bin Wadhih, katanya: Salim (maula Mu‘awiyah) menceritakan kepada kami daripada ‘Ikrimah, riwayat yang sama.
  • Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَأَيْتُ رَبِّيَ فِي أَحْسَنِ صُورَةٍ فَقَالَ لِي : يَا مُحَمَّدُ هَلْ تَدْرِي فِيمَ يَخْتَصِمُ الْمَلَأُ الأَعْلَى ؟ فَقُلْتُ : لاَ يَا رَبِّ ، فَوَضَعَ يَدَهُ بَيْنَ كَتِفَيَّ ، فَوَجَدْتُ بَرْدَهَا بَيْنَ ثَدْيَيَّ فَعَلِمْتُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ ، فَقُلْتُ : يَا رَبِّ فِي الدَّرَجَاتِ وَالْكَفَّارَاتِ وَنَقْلِ الأَقْدَامِ إِلَى الْجُمُعَاتِ ، وَانْتِظَارِ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصَّلاَةِ ، فَقُلْتُ : يَا رَبِّ إِنَّكَ اتَّخَذْتَ إِبْرَاهِيمَ خَلِيلاً ، وَكَلَّمْتَ مُوسَى تَكْلِيمًا ، وَفَعَلْتَ وَفَعَلْتَ ؟ فَقَالَ : أَلَمْ أَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ ؟ أَلَمْ أَضَعْ عَنْكَ وِزْرَكَ ؟ أَلَمْ أَفْعَلْ بِكَ ؟ أَلَمْ أَفْعَلْ قَالَ : فَأَفْضَى إِلَيَّ بِأَشْيَاءَ لَمْ يُؤْذَنْ لِي أَنْ أُحَدِّثُكُمُوهَا ؛ قَالَ : فَذَلِكَ قَوْلُهُ فِي كِتَابِهِ يُحَدِّثُكُمُوهُ : {ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّى فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَى ، فَأَوْحَى إِلَى عَبْدِهِ مَا أَوْحَى مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَى} ، فَجَعَلَ نُورَ بَصَرِي فِي فُؤَادِي ، فَنَظَرْتُ إِلَيْهِ بِفُؤَادِي.

Maksudnya: “Aku pernah melihat Tuhanku dengan gambaran yang sangat sempurna. Dia berkata kepadaku, ‘Wahai Muhammad, apakah engkau mengetahui apa yang dibicarakan oleh para malaikat-Ku di mala’ul a‘la?’ Aku menjawab, ‘Tidak, wahai Tuhanku.’ Allah SWT lalu meletakkan tangan-Nya di kedua bahuku, dan aku merasakan hawa dingin hingga ke dadaku, dan setelah itu, aku mengetahui (apa yang dibicarakan oleh mereka dan) apa yang terjadi di langit dan di bumi. Lalu aku katakan, ‘Wahai Tuhanku, (aku telah mengetahuinya), mereka membicarakan mengenai darjat manusia dan penghapusan dosa tatkala mereka melangkahkan kaki (ke masjid) untuk melakukan solat Jumaat dan tatkala mereka sudah menunggu waktu solat berikutnya sedangkan mereka baru sahaja menyelesaikan solatnya.’ Aku kemudian bertanya, ‘Wahai Tuhanku, Engkau telah memberikan keistimewaan kepada Ibrahim dengan menjadikannya sebagai khalil-Mu. Engkau juga telah memberikan keistimewaan kepada Musa dengan berbicara langsung kepada-Mu. Engkau telah melakukan, dan Engkau telah melakukan…’ Allah menjawab, ‘Bukankah Aku telah melapangkan dadamu? Bukankah Aku telah menghilangkan bebanmu? Bukankah Aku telah melakukan ini, bukankah Aku telah melakukan itu…?’ Setelah itu, Allah juga memberitahukan kepadaku beberapa perkara, namun aku tidak dibolehkan membicarakan hal tersebut kepada kamu semua.”

Nabi SAW melanjutkan, “Itulah yang diberitahukan oleh Allah dalam Kitab-Nya:

ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّىٰ (8) فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَىٰ (9) فَأَوْحَىٰ إِلَىٰ عَبْدِهِ مَا أَوْحَىٰ (10) مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَىٰ

Maksudnya: “Kemudian dia mendekat, lalu bertambah dekat lagi. Maka jadilah dia dekat (pada Muhammad sejarak) dua hujung busur panah atau lebih dekat (lagi). Lalu dia menyampaikan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan. Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya.”

Ketika itu, Allah telah memindahkan penglihatan pada mataku ke dalam hatiku, hingga aku dapat melihat-Nya melalui mata hatiku.”[1]

Riwayat al-Tirmizi (3234) dan beliau menilainya sebagai hasan gharib.

  • Daripada Abu Ishaq, daripada seseorang yang mendengar langsung daripada Ibn Abbas, mengenai firman Allah SWT, ‘مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَىٰ’ (Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya), beliau berkata: “Muhammad SAW pernah melihat Tuhannya.”
  • Daripada Abu Ja‘far, daripada al-Rabi‘, mengenai firman Allah SWT, ‘مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَىٰ’ (Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya), katanya: “Hati Nabi SAW tidak menipu Nabi SAW ketika Baginda melihat Tuhannya.”
  • Daripada Abu Ja‘far, daripada al-Rabi‘, mengenai firman Allah SWT, ‘مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَىٰ’ (Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya), katanya: “Muhammad SAW telah melihat Tuhannya melalui hatinya.”

Kedua: Sebahagian ulama lain berpendapat bahawa yang dilihat oleh Nabi SAW adalah Malaikat Jibril. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 24/105).

Para ulama yang berpendapat demikian memperkuat penafsiran mereka dengan menyebutkan beberapa riwayat, antaranya:

  • Daripada ‘Abd al-Rahman bin Yazid, daripada Abdullah, mengenai firman Allah SWT, ‘مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَىٰ’ (Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya), beliau berkata: “Rasulullah SAW melihat Malaikat Jibril secara langsung, dan pada saat itu, Malaikat Jibril mengenakan dua pakaian yang melekat di tubuhnya yang menutupi antara langit dan bumi.”
  • Daripada ‘Asim, daripada Zirr, daripada Abdullah, katanya bahawa Nabi SAW pernah bersabda: ‘رَأَيْتُ جِبْرِيلَ عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى ، لَهُ سِتُّ مِئَةِ جَنَاحٍ ، يَنْفُضُ مِنْ رِيشِهِ التَّهَاوِيلَ الدُّرَّ وَالْيَاقُوتَ’ (Aku melihat Jibril ketika naik ke atas Sidratul Muntaha. Ia memiliki enam ratus sayap, dan ketika sayapnya dikepakkan, bertaburanlah mutiara dan yaqut yang beraneka ragam warnanya).
  • Daripada Abu Wa’il, daripada Abdullah, katanya: Rasulullah SAW pernah bersabda: ‘رَأَيْتُ جِبْرِيلَ عِنْدَ سِدْرَةِ الْمُنْتَهَى لَهُ سِتُّ مِئَةِ جَنَاحٍ’ (Aku melihat Jibril ketika naik ke atas Sidratul Muntaha, ia memiliki enam ratus sayap). Al-Rifa‘i (salah seorang perawi hadith ini) menambahkan dalam riwayatnya, “Lalu aku bertanya kepada ‘Asim tentang sayap yang disebutkan pada hadith ini, namun dia tidak memberitahukannya kepadaku. Maka aku bertanya kepada kawan-kawanku, lalu mereka menjawab, “Setiap sayapnya membentang dari hujung Timur ke hujung Barat.”
  • Daripada Qatadah, mengenai firman Allah SWT, ‘مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَىٰ’ Hatinya tidak mendustakan apa yang telah dilihatnya), dia berkata: “Nabi SAW melihat malaikat Jibril dalam bentuk yang sesungguhnya, dan pada saat itu, Nabi SAW melihat Malaikat Jibril untuk kedua kalinya (نَزْلَةً أُخْرَى). (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 22/24-26).

Al-Qurtubi berkata: Ayat 11 ini bermaksud hati Nabi Muhammad SAW tidak mendustakan peristiwa yang dilihat Baginda sewaktu malam Mi‘raj. Ini kerana Allah SWT telah mengurniakan keistimewaan kepada Baginda di mana hati Baginda mampu melihat, sehingga Baginda mampu melihat Allah SWT sendiri. Salah satu wajah bacaan (qira’at) melalui jalur Hisyam daripada Ibn ‘Amir membaca “مَا كَذَبَ” dengan “مَا كَذَّبَ”, iaitu dengan tasydid pada huruf Zal (ذ), namun kedua-duanya membawa kepada maksud yang sama. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/92-93).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Nota hujung:

[1] Riwayat al-Tirmizi (3234) dan katanya, “Hadith ini hasan gharib.”

Leave a Reply