Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya pernah mendengar bahawa di Masjidil Haram Makkah kita boleh solat pada bila-bila masa sahaja yang kita mahu kerana tiada waktu larangan untuk solat di sana? Adakah benar di Masjidil Haram tiada waktu haram untuk menunaikan solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, di sana terdapat waktu-waktu yang diharamkan untuk seseorang itu mendirikan solat. Syeikh Taqiyuddin al-Hisni ada menyebutkan tentang beberapa waktu tersebut iaitu:

  • Selepas solat subuh sehingga matahari terbit.
  • Ketika matahari terbit sehingga sempurna dan meninggi dengan kadar tombak.
  • Selepas asar sehingga matahari terbenam.
  • Ketika matahari terbenam sehingga sempurna terbenamnya.

(Lihat Kifayah al-Akhyar, hlm. 126)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya, para ulama berselisih pendapat berkenaan hal ini kepada sekurang-kurangnya dua pendapat:

Pendapat pertama: Tiada waktu larangan untuk solat di Masjidil Haram. Ini merupakan pendapat yang sahih lagi masyhur di sisi ulama al-Syafi‘iyyah.

Ini dapat dilihat melalui kenyataan daripada al-Syirazi dalam kitabnya bahawa tidak dihukumkan sebagai makruh (yakni haram) untuk mendirikan solat pada waktu-waktu yang dilarang di Makkah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Zar, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ وَلَا بَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ الشَّمْسُ إلَّا بِمَكَّةَ

Maksudnya:Tidak ada solat selepas solat Subuh sehingga terbitnya matahari dan tidak ada solat selepas Asar sehingga terbenamnya matahari kecuali di Makkah.”

Riwayat Ibn Khuzaimah secara ringkasnya (2748); riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat dengan sedikit perbezaan lafaz (847); riwayat al-Baihaqi dalam Ma‘rifah al-Sunan wa al-Athar (5207) dan lafaz hadith ini daripadanya; al-Mubarakfuri menilai sanad hadith ini sebagai dhaif dalam Tuhfah al-Ahwazi (3/301).

Selain itu, Nabi SAW juga pernah bersabda:

الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ

Maksudnya:Tawaf di Baitullah itu adalah solat.”

Riwayat al-Darimi (1889); riwayat Ibn Hibban (3836); riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (10955); Ibn Taimiyyah menyebutkan bahawa hadith ini tidak thabit daripada Nabi SAW, akan tetapi ia thabit daripada Ibn Abbas. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa (26/126).

Kemudian, al-Syirazi menyimpulkan, tiada khilaf bahawa tawaf dibolehkan — untuk dilakukan pada waktu yang dilarang — dan demikianlah juga dengan solat. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi‘i, 1/175).

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan kenyataan al-Syirazi ini menyebutkan, hadith Abu Zar ini adalah dhaif. Ia diriwayatkan oleh Imam al-Syafi‘i, Ahmad, al-Daraqutni dan al-Baihaqi, serta mereka menilainya sebagai dhaif. Sekalipun begitu, terdapat hadith lain yang dapat dijadikan sebagai hujah iaitu hadith daripada Jubair bin Mut‘im R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

يا بَنِي عَبْدِ مَنَافٍ لَا تَمْنَعُوا أَحَدًا طَافَ بِهَذَا الْبَيْتِ وَصَلَّى أَيَّ سَاعَةٍ شَاءَ مِنْ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ

Maksudnya:Wahai Bani ‘Abd Manaf, janganlah kamu melarang siapapun yang hendak tawaf di rumah ini (Kaabah) dan mendirikan solat pada mana-mana waktu yang dikehendakinya, baik malam ataupun siang hari.

Riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya (1553); dan Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanad hadith ini sebagai sahih mengikut syarat Imam Muslim.

Kemudian Imam al-Nawawi menyatakan, hadith di atas diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi dalam kitab al-Hajj, al-Nasa’i dan Ibn Majah, serta selain daripada mereka berdua dalam kitab solat. Lafaz hadith ini daripada al-Tirmizi dan beliau menyebutkan, hadith ini adalah hasan sahih. Seterusnya, al-Baihaqi menyatakan, terdapat kebarangkalian bahawa solat yang dimaksudkan di sini merujuk kepada solat tawaf secara khusus ataupun merujuk kepada semua jenis solat. Imam al-Nawawi menyatakan pendapat yang pertama — yakni ia merujuk solat tawaf secara khusus — dikuatkan oleh riwayat Abu Daud.

Adapun hadith “الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ صَلَاةٌ” pula, ia telah diriwayatkan daripada Ibn Abbas daripada Nabi SAW. Selain itu, ia diriwayatkan juga secara mauquf daripada Ibn Abbas dan inilah pendapat yang lebih sahih. Demikianlah juga pendapat al-Hafiz dalam hal ini.

Selanjutnya, Imam al-Nawawi menyebutkan pula mengenai hukumnya iaitu ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, tidak dihukumkan sebagai makruh (yakni haram) untuk solat di Makkah pada waktu-waktu ini (yakni waktu-waktu yang dilarang untuk solat), tidak kira solat tersebut adalah solat tawaf atau selainnya. Inilah pendapat yang sahih lagi masyhur di sisi mereka. Namun, terdapat pendapat dalam kalangan mereka yang berpendapat bahawa solat yang dibenarkan itu hanyalah solat tawaf sebagaimana dinukilkan oleh ulama dari Khurasan dan sebahagian ulama dari ‘Iraq. Di antara mereka ialah al-Syeikh Abu Hamid, al-Bandaniji dan pengarang al-Hawi menukilkannya daripada Abu Bakar al-Qaffal al-Syasyi. Walau bagaimanapun, pendapat muktamad ialah pendapat yang pertama. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/179-180).

Pendapat kedua: Tidak dibolehkan untuk solat di Masjidil Haram pada waktu-waktu yang dilarang untuk solat padanya. Ini merupakan pendapat jumhur ulama. Ini dapat dilihat melalui kenyataan Imam al-Nawawi yang menyatakan bahawa Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat, tidak dibenarkan untuk mendirikan solat di Makkah pada waktu-waktu yang dilarang solat berdasarkan kepada keumuman hadith-hadith yang melarangnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/180).

Menurut Ibn Qudamah, tidak ada beza antara Makkah dan selain Makkah berkenaan larangan mendirikan solat sunat pada waktu-waktu yang dilarang solat padanya. Dalilnya adalah keumuman larangan untuk solat pada waktu-waktu tersebut. Maknanya, menghalang daripada solat. Oleh itu, sama sahaja sama ada di Makkah mahupun tempat selainnya seperti haid. (Lihat al-Mughni, 2/535).

Begitu juga al-Ruhaibani dalam kitabnya, Matalib Uli al-Nuha (1/595) turut menyatakan bahawa Makkah sama sahaja hukumnya seperti mana tempat-tempat selainnya dalam hal larangan untuk mendirikan solat (sunat) pada waktu-waktu yang dilarang solat padanya, melainkan solat tawaf dua rakaat.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa perkara ini termasuk dalam perkara yang diperselisihi dalam kalangan ulama. Kami berpendapat bahawa tidak ada larangan untuk mendirikan solat sunat pada mana-mana waktu di Masjidil Haram, tidak kira ia solat sunat tawaf mahupun solat sunat yang lain. Ini adalah sebagaimana pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafi‘i.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Leave a Reply