#6070: Adakah Niat di Hati Dikira Sebagai Nazar? 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya soalan kepada ustaz. Saya telah berniat di dalam hati jika saya memperoleh lulus kesemua subjek, saya ingin hadiahkan ibu saya emas sempena hari lahir beliau. Alhamdulillah saya memperoleh lulus untuk kesemua subjek. Apabila saya memberitahu ibu saya bahawa saya ingin membelikan beliau emas, ibu menyuruh saya untuk menyimpan duit tersebut dan tidak perlu bersusah payah membeli emas walhal saya tidak mempunyai komitmen lain. Persoalannya, adakah saya perlu mengikuti saranan ibu saya atau meneruskan niat tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Nazar

Nazar dari sudut istilah ialah apa yang  telah ditakrifkan  oleh para ulama’ iaitu: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat  al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/501)

Firman Allah SWT:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.”

(Surah al-Hajj: 29)

Diriwayatkan daripada  Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.”

Riwayat al-Bukhari (6696)

Untuk menjadikan nazar itu wajib dilaksanakan perlu cukup rukun-rukun nazar.

  • Sighah
  • Orang yang bernazar
  • Perkara yang dinazarkan.
  • Nazar Mengikut Pandangan Mazhab

Pandangan Empat Mazhab Berkenaan Nazar Melalui Lintasan Hati

Secara umumnya, ia terbahagi kepada dua pandangan:

Pandangan Pertama: Mereka menganggap niat dan lintasan hati tidak dikira sebagai nazar. Ini merupakan pandangan mazhab Syafi’e dan Hanbali.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa pandangan yang paling sahih dalam isu ini yang menjadi kesepakatan dalam kalangan ulama mazhab Syafi’e ialah tidak sah nazar melainkan dengan melafazkannya dengan lisan dan kata-kata, dan tidak sah sekadar dengan niat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/451)

Hal yang sama juga dinyatakan Imam al-Mardawi al-Hanbali dimana jika seseorang itu berniat nazar tanpa kata-kata, nazar itu tidak sah, dan beliau mendapati tidak ada khilaf dalam kalangan ulama mazhab Hanbali pada hal ini. (Lihat al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 11/90)

Imam Jalaluddin al-Suyuti sewaktu mensyarahkan kaedah ‘Al-Umur bi Maqasidiha menyatakan bahawa nazar secara niat di dalam hati tidak dikira sebagai nazar. (Lihat al-Asybah wa al-Nazha’ir, 1/33)

Pandangan Kedua: Mereka mengambil kira niat sebagai nazar dan wajib ditunaikan. Ini merupakan pandangan mazhab Maliki, seperti mana yang disebut oleh Imam al-Hattab, Imam Ibnul ‘Arabi dan Imam Ibn Rusyd al-Hafid (Lihat Mawahib al-Jalil li Syarh Mukhtasar al-Khalil, 4/491, Ahkam al-Qur’an, 2/548 dan Bidayatul Mujtahid, 1/422)

Dalam isu ini kami mentarjihkan pandangan yang pertama iaitu tidak dikira nazar jika semata-mata berniat di dalam hati, dan nazar perlulah dilafazkan dengan lisan. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: “Allah telah memperkenankan permohonanku agar Dia memaafkan segala bisikan dalam hati dalam kalangan umatku, selagimana mereka tidak melakukannya atau melafazkannya.”

Sahih al-Bukhari (2528)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini ia tidak dikira nazar dengan mengambil pandangan yang pertama. Maka, anda tidak terikat dengan nazar yang dibuat. Kami juga mengesyorkan sekiranya anda benar-benar mahu membelanja ibu anda atas kejayaan yang telah dicapai, maka, anda boleh menjamu keluarga anda makan di luar atau bawa bersiar-siar.

Walaupun begitu, kami juga berpendapat bahawa alangkah baiknya anda membeli emas dan simpan bagi pihak ibu anda kerana nilaian emas, sifatnya stabil dan meningkat. Justeru, anda telah melakukan dua kebaikan iaitu menunaikan hasrat anda dan menjaga kehendak ibu anda.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.

Wallahu a’lam

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *