#5940: Adab Musafir

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami beberapa adab musafir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara adab musafir ialah mengucapkan selamat tinggal. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW, seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذا أرَاد أحَدُكُم سَفَراً فَلْيُوَدّعْ إخْوَانَهُ، فإنَّ اللَّهَ تَعالى جاعِلٌ فِي دُعائِهِمْ خَيْراً

Maksudnya: “Apabila salah seorang kamu bermusafir, maka hendaklah dia mendoakan saudara-saudaranya yang akan ditinggalkan kerana sesungguhnya Allah SWT menjadikan kebaikan dalam doa mereka.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (2842) dan Abu Ya‘la dalam Musnadnya (6686)

Syeikh Sa’id al-Qahtani menyatakan, hendaklah orang bermusafir berdoa untuk kaum keluarga dan orang yang dikasihinya, “Semoga Allah menjaga kamu dan aku jadikan kamu dalam hifzillah (pemeliharaan Allah) dan ri‘ayah-Nya.” (Lihat Syarh Hisn al-Muslim min Azkar al-Kitab wa al-Sunnah, hlm. 239).

Terdapat beberapa hadith yang menggalakkan perjalanan pada waktu malam. Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:

عَلَيْكُمْ بِالدُّلْجَةِ فَإِنَّ الْأَرْضَ تُطْوَى بِاللَّيْلِ

Maksudnya:Hendaklah kamu melakukan perjalanan pada waktu malam kerana sesungguhnya bumi itu dilipatkan di malam hari.

Riwayat Abu Dawud (2571)

Mulla ‘Ali al-Qari menyatakan bahawa makna kata Duljah (ﺍﻟﺪُّﻟْﺠَﺔُ) dalam hadith ialah perjalanan safar di awal malam. Dalam erti kata lain, jangan merasa cukup dengan perjalanan pada siang hari sahaja, tetapi mulakan juga perjalanan pada malam hari kerana ia lebih mudah, yang mana seseorang itu akan menyangka bahawa dia baru berjalan sedikit, sedangkan perjalanannya sudah jauh. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Mirqah al-Masabih, 6/517).

Begitu juga, afdhalnya memulakan perjalanan pada waktu malam. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda:

عَلَيْكُمْ بِالدُّلْجَةِ فَإِنَّ الْأَرْضَ تُطْوَى بِاللَّيْلِ

Maksudnya:Hendaklah kamu melakukan perjalanan pada waktu malam kerana sesungguhnya bumi itu dilipatkan di malam hari.

Riwayat Abu Dawud (2571)

Mulla ‘Ali al-Qari menyatakan bahawa makna kata Duljah (ﺍﻟﺪُّﻟْﺠَﺔُ) dalam hadith ialah perjalanan safar di awal malam. Dalam erti kata lain, jangan merasa cukup dengan perjalanan pada siang hari sahaja, tetapi mulakan juga perjalanan pada malam hari kerana ia lebih mudah, yang mana seseorang itu akan menyangka bahawa dia baru berjalan sedikit, sedangkan perjalanannya sudah jauh. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Mirqah al-Masabih, 6/517).

Kami ringkaskan di sini beberapa adab musafir, antaranya seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi melalui kitabnya Manasik al-Haj. Antara adab tersebut seperti berikut:

  • Berwasiat kepada keluarga dan sahabat supaya bertaqwa kepada Allah SWT.
  • Menulis hutang yang perlu dibayar dan mempersaksikannya.
  • Bertaubat dengan taubat nasuha.
  • Mohon kemaafan daripada manusia.
  • Menggunakan nafkah yang halal.
  • Menjauhi daripada meminta-minta.
  • Membetulkan niat kerana Allah SWT atau ibadat kepada Allah SWT.
  • Menjauhi sifat-sifat mazmumah seperti riak, sum‘ah, takabbur dan lain-lain.
  • Mencari sahabat yang baik di kalangan ahli taqwa dan ilmu.
  • Memperbanyakkan zikir dan istighfar.
  • Memperbanyakkan doa dan munajat.
  • Membaca al-Quran dan tadabbur maknanya.
  • Menjaga solat lima waktu secara berjemaah.
  • Menjaga lidah daripada mengumpat.
  • Kurangkan bergurau dan menghina rakan.
  • Memberi bantuan kepada sahabat.
  • Mesyuarat sebelum musafir dengan orang yang thiqah dari segi agama, pengalaman dan ilmunya.
  • Beristikharah ketika berazam untuk musafir.
  • Minta keredhaan kedua ibu bapa.
  • Membekali untuk keluarga nafkah yang secukupnya supaya tidak bergantung kepada orang lain serta menyusahkan mereka.
  • Sunat musafir pada hari Khamis dan kalau tidak pada hari Isnin serta sunat pada awal pagi.
  • Sunat sebelum keluar musafir solat dua rakaat, di baca surah al-Kafirun dan al-Ikhlas selepas al-Fatihah. Seterusnya membaca ayat Kursi dan surah Quraisy selepas salam.
  • Melantik ketua jika musafir ramai yang dipilih yang terbaik pandangan dan agamanya.
  • Sunat kepada musafir apabila selesai hajatnya supaya segera pulang ke rumahnya dan memberitahu tentang kepulangannya.
  • Sunat membawa hadiah untuk keluarganya dan menggembirakan mereka.
  • Sunat menyambut orang musafir.
  • Sunat apabila seseorang sampai ke kampungnya didahulukan datang ke masjid yang berhampiran dengan melakukan solat dua rakaat sebagai niat solat kembali.
  • Sunat melakukan jamuan yang dikenali sebagai naqiah untuk menyambut orang musafir.
  • Menegakkan amar makruf dan nahi mungkar.
  • Saling nasihat menasihati. (Lihat al-Taudhih Syarah al-Idhah, hlm. 2-48)

Kami akhiri dengan doa musafir seperti berikut:

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر {سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ * وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ} اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ، وَإِذَا رَجَعَ قَالَهُنَّ، وَزَادَ فِيهِنَّ: آيِبُونَ، تَائِبُونَ، عَابِدُونَ، لِرَبِّنَا حَامِدُونَ

Maksudnya:Allah Maha Besar (diulang sebanyak tiga kali) Maha Suci Tuhan yang menundukkan kenderaan ini untuk kami sedang kami sebelumnya tidak mampu mengawalnya. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami. Ya Allah kami memohon kebaikan dan ketaqwaan dalam perjalanan kami, dan perbuatan yang diredhaimu, Ya Allah permudahkanlah perjalanan kami ini, dan dekatkanlah jarak perjalanan ini, Ya Allah Engkaulah penemanku dalam perjalanan ini, dan pengurus hartaku, Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kepenatan dalam perjalanan ini, dan dari pemandangan yang tidak baik, serta perkara-perkara buruk keatas harta dan keluargaku, dan apabila telah kembali pulang maka ucapkanlah: Kami kembali, kami bertaubat, kami beribadah, dah kepada Tuhan kami segala pujian.”

Riwayat Muslim (1342)

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *