#5950: Puasa Bagi Pesakit yang Mencuci Buah Pinggang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Puasa bagi orang yang cuci buah pinggang, adakah membatalkan puasa atau tidak?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dialisis sepertimana yang disebutkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, adalah rawatan yang mengambil alih tugas-tugas yang dilakukan oleh buah pinggang setelah berlakunya kegagalan buah pinggang di peringkat akhir.

Secara umumnya, terdapat 2 jenis dialisis yang dijalankan buat mereka yang menghidap masalah buah pinggang:

Pertama: Hemodialisis (HD)

Buah pinggang tiruan (haemodialyzer) disambung dengan mesin penapis yang berfungsi membuang sisa-sisa kotoran dan cecair yang berlebihan dari badan. Prosedur ini dijalankan di unit khas (unit hemodialisis) di hospital dan memakan masa sehingga empat jam setiap sesi untuk 3 sesi seminggu. Pesakit akan memerlukan fistula supaya darah dari badan dapat mengalir ke buah pinggang tiruan. Pakar bedah akan membuat fistula ini dengan menyambungkan salur darah arteri dengan vena sehingga menjadi salur darah yang lebih besar.

Diagram of hemodialysis blood flow from your arm into the tube, past a pressure monitor, a blood pump, and a heparin pump, which prevents clotting. Blood flows past another pressure monitor before entering the dialyzer, or filter. Filtered blood continues past a venous pressure monitor, an air trap and air detector, and an air detector clamp, and returns to your arm.

Rajah 1: Hemodialysis

https://www.niddk.nih.gov/health-information/kidney-disease/kidney-failure/hemodialysis 

Kedua: Peritoneal Dialisis (PD)

Kaedah dialisis ini memerlukan cecair dialisis dimasukkan melalui selaput perut (peritoneum) pesakit, menggunakan satu tiub plastik (tenckhoff catheter) yang dimasukkan ke dalam perut (abdomen) melalui pembedahan kecil. Hujung tiub akan keluar dari perut pesakit dan ia dipanggil saluran keluar (exit site) secara berkala.

Peritoneal Dialisis (PD) mempunyai dua bentuk:

  • Continuous Ambulatory Peritoneal Dialisis (CAPD): Kaedah ini melibatkan empat pertukaran (exchanges) sehari di rumah, tanpa menggunakan mesin. Proses ini boleh dilakukan oleh pesakit itu sendiri sekiranya dia sudah cukup matang. Pertukaran (exchanges) adalah satu proses di mana air dialisis yang steril dimasukkan ke dalam abdomen, dan apabila dikeluarkan ia turut membawa bahan kumuh dan lebihan air dari badan.

Drawing of a person reading during CAPD. A bag of fresh dialysis solution hangs from a pole and is connected to a tube that has a clamp. The tube connects to a transfer set, a disposable tube that connects to another tube that enters the person’s abdomen. Tubing also connects from the transfer set to the drain bag on the floor.

Rajah 2: Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis

https://www.niddk.nih.gov/health-information/kidney-disease/kidney-failure/peritoneal-dialysis#:~:text=Peritoneal%20dialysis%20is%20a%20treatment,call%20this%20lining%20the%20peritoneum

  • Continuous Cycling Peritoneal Dialisis (CCPD): Kaedah ini dilakukan di rumah menggunakan mesin yang dipanggil cycler. Cycler boleh membuat pertukaran selama lapan hingga sepuluh jam lamanya, biasanya di waktu malam semasa sedang tidur.[1]

Drawing of person in bed next to a nightstand with a heater bag, fluid meter, pump, and two solution supply sources. Lines connect the solution supplies to the person. A drain line connects from the person and out of the frame of the drawing.

Rajah 3: Continuous Cycling Peritoneal Dialysis

https://www.niddk.nih.gov/health-information/kidney-disease/kidney-failure/peritoneal-dialysis#:~:text=Peritoneal%20dialysis%20is%20a%20treatment,call%20this%20lining%20the%20peritoneum

Persoalan yang saudara ajukan ini berkait rapat dengan perbahasan jauf (rongga dalam), kerana ia melibatkan proses memasukkan sesuatu ke dalam rongga dalaman pesakit. Memasukkan ain (suatu jirim) ke rongga dalam melalui saluran yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/181)

Secara jelasnya, antara perkara yang membatalkan puasa adalah dengan memasukkan sesuatu ke rongga dalam (ruang selepas halkum hingga usus dan tali perut) melalui ruang yang sedia terbuka  (manfaz maftuh) iaitu mulut, telinga, qubul dan dubur sama ada lelaki mahupun perempuan. Rongga itu sama ada ia mempunyai kuasa memproses makanan dan ubat atau tidak. Puasa seseorang itu terbatal batal jika dia memasukkan sesuatu ke dalam rongga tersebut secara sengaja dan ikhtiarnya sendiri. Dan dia mengetahui perbuatan tersebut adalah dilarang ketika berpuasa. (Lihat Nihayah al-Zain, 1/187)

Perkara ini juga dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, katanya: “Antara perkara yang membatalkan puasa adalah masuknya sesuatu ke bahagian dalam rongga. Para ulama telah menentukan piawaian sesuatu yang masuk (ke dalam rongga) yang membatalkan puasa dengan ain (objek) yang sampai, iaitu (dari) had zahir ke dalam had batin melalui rongga terbuka dengan sengaja dan sedar dalam keadaan berpuasa.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/356)

Puasa Pesakit yang Melakukan Dialisis

Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ berkenaan status puasa bagi pesakit yang melakukan rawatan dialisis ini, sebahagiannya berpendapat bahawa ia membatalkan puasa, dan sebahagian lainnya mengatakan puasa tersebut terbatal.

  • Pertama: Tidak Membatalkan Puasa

Antara yang berpendapat bahawa rawatan dialisis tidak membatalkan puasa adalah Dar al-Ifta’ al-Misriyyah. Mereka mengeluarkan fatwa bahawa rawatan ini tidak memberikan kesan kepada puasa seseorang; kerana perkara yang membatalkan puasa itu apabila dimasukkan sesuatu dengan sengaja ke dalam rongga perut seseorang melalui mulut atau hidung. Adapun liang-liang pori, kapilari darah, urat dan juga arteri yang disuntik, pada asalnya tiada sebarang partikel pun yang masuk sehingga ke dalam rongga perut, meskipun yang disuntik itu adalah ubatan atau nutrien.

Menyamai prosedur suntikan ini, prosedur yang dilakukan untuk rawatan dialisis, begitu juga rawatan kateter yang dilakukan dengan memasukkan kamera ke dalam salur darah atau arteri sehingga ke jantung; yang bertujuan untuk mengenalpasti keadaan kesihatan jantung dan arteri. Kesemua ini tidaklah membatalkan puasa.[2]

Badan-badan berautoriti agama di Malaysia juga lebih cenderung kepada fatwa yang mengatakan puasa pesakit yang melakukan rawatan dialisis tidak terbatal. Antara badan tersebut adalah:

  1. Jabatan Mufti Negeri Selangor: “Rawatan dialisis bagi pesakit buah pinggang sama ada hemodilisis atau peritonealdialisis adalah termasuk rawatan perubatan yang tidak membatalkan puasa.”[3]
  2. Jabatan Mufti Negeri Perak: Rawatan dialisis untuk masalah pesakit buah pinggang sama ada hemodialisis atau peritonealdialisis termasuk dalam kategori penggunaan alatan yang tidak membatalkan puasa.[4]
  • Jabatan Mufti Johor: Mereka memutuskan bahawa rawatan dialysis peritoneal dan hemodealysis yang dilakukan oleh orang yang berpuasa pada siang hari bulan ramadhan tidak membatalkan puasa.[5]
  • Membatalkan Puasa

Fatawa al-Lajnah al-Da’imah antara badan berautoriti yang berpendapat rawatan dialisis ini menjejaskan puasa pesakit, tanpa mengambil kira bagaimana prosedur dan bentuk dialisis itu dijalankan. Hal yang demikian kerana rawatan ini pasti akan memasukkan sesuatu yang membatalkan puasa ke dalam tubuh pesakit; kerana ia membekalkan tubuh pesakit dengan darah bersih yang telah dicampur dengan bahan nutrisi lain. Maka dalam proses rawatan ini, terdapat dua perkara yang membatalkan puasa pesakit tersebut:

  1. Darah bersih yang dibekalkan untuk tubuh pesakit.
  2. Nutrien tambahan yang dicampur ke dalam darah bersih. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 10/189)

Ini juga pandangan yang dipersetujui oleh Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz ketika ditanya tentang rawatan dialisis. Beliau menjawab: “Pesakit itu wajib mengganti semula puasanya, kerana darah bersih yang dimasukkan ke dalam tubuhnya telah ditambah bahan lain, dan ia merupakan perkara lain yang membatalkan puasa.” (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 15/274-275)

Kesimpulan

Kami lebih cenderung memilih pandangan yang mengatakan rawatan dialisis tidak membatalkan puasa ramadhan. Hal yang demikian kerana rawatan ini merupakan perkara darurat yang mesti dilakukan oleh pesakit demi memastikan kelangsungan hidup, dengan mengembalikan fungsi buah pinggang bagi membersihkan darah dalam tubuhnya. Pandangan ini hanya terpakai untuk orang yang berada dalam keadaan darurat sahaja dan sangat memerlukan rawatan dialisis. Adapun selain daripada pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis sedangkan ia bukan satu darurat baginya, maka dihukumkan batal puasa.

Kaedah fiqh ada menyebut:

أَحْكَامُ الشَّارِعِ مُعَلَّلَةٌ بِالأَسْبَابِ مُرْتَبِطَةٌ بِالمصَالِحِ

Maksudnya: “Hukum-hukum syara‘ itu di‘illahkan dengan sebab-sebab, diikat dengan maslahah.”

Ini secara tidak langsung dapat memberikan peluang kepada pesakit buah pinggang untuk terus berpuasa mengikut kadar kemampuan mereka dengan mengharapkan penerimaan ibadat puasa mereka yang menatijahkan taqwa. Sesungguhnya rahmat Allah SWT amat luas kepada hamba-Nya yang ingin mengabdikan diri kepada-Nya kerana mencari keredhaan-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/dialisis/. Diakses pada 30 April 2024.

[2] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/16250/%D8%A7%D8%AB%D8%B1-%D8%A7%D8%AC%D8%B1%D8%A7%D8%A1-%D8%A7%D9%84%D8%BA%D8%B3%D9%8A%D9%84-%D8%A7%D9%84%D9%83%D9%84%D9%88%D9%8A-%D8%B9%D9%84%D9%89-%D8%B5%D8%AD%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D8%B5%D9%88%D9%85. Diakses pada 6 Mei 2024.

[3] Lihat https://emusykil.muftiselangor.gov.my/index.php/site/jawapan?id=941. Diakses pada 15 Mei 2024.

[4] Lihat https://mufti.perak.gov.my/artikel-khas/496-penggunaan-alatan-yang-boleh-membatalkan-puasa. Diakses pada 15 Mei 2024.

[5] Lihat https://said.johor.gov.my/perkhidmatan/paparan_detail_fatwa.php?id=550. Diakses pada 15 Mei 2024.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *