#6242: Sujud Sahwi Tanpa Sebab

\Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum sengaja melakukan sujud sahwi?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan jawapan ini dengan hadith Malik bin al-Huwairith R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: “Dan solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat.”

Riwayat al-Bukhari (631) dan Muslim (674)

Dalam riwayat Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha pula, beliau menceritakan secara terperinci bagaimana solat Rasulullah SAW. Katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَفْتِحُ الصَّلَاةَ بِالتَّكْبِيرِ، وَالْقِرَاءَةَ بِـ {الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ}، وَكَانَ إِذَا رَكَعَ لَمْ يُشَخِّصْ رَأْسَهُ وَلَمْ يُصَوِّبْهُ، وَلَكِنْ بَيْنَ ذَلِكَ، وَكَانَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ لَمْ يَسْجُدْ حَتَّى يَسْتَوِي قَائِمًا، وَكَانَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ السَّجْدَةِ لَمْ يَسْجُدْ حَتَّى يَسْتَوِيَ جَالِسًا، وَكَانَ يَقُولُ فِي كُلِّ رَكْعَتَيْنِ التَّحِيَّةَ، وَكَانَ يَفْرِشُ رِجْلَهُ الْيُسْرَى وَيَنْصِبُ رِجْلَهُ الْيُمْنَى، وَكَانَ يَنْهَى عَنْ عُقْبَةِ الشَّيْطَانِ، وَيَنْهَى أَنْ يَفْتَرِشَ الرَّجُلُ ذِرَاعَيْهِ افْتِرَاشَ السَّبُعِ ، وَكَانَ يَخْتِمُ الصَّلَاةَ بِالتَّسْلِيمِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW membuka (memulakan) solat dengan takbir (takbiratul ihram), kemudian membaca: ‘الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ’ (membaca al-Fatihah). Apabila Baginda rukuk, kepalanya tidak diangkat dan tidak juga ditundukkan, akan tetapi berada di antara keduanya. Apabila Baginda mengangkat kepalanya dari rukuk (iktidal), nescaya Baginda tidak akan bersujud melainkan Baginda akan berdiri betul terlebih dahulu. Semasa mengangkat kepala dari sujud, Baginda tidak akan kembali sujud (kali kedua) sehinggalah Baginda duduk betul (antara dua sujud). Baginda akan membaca tahiyyat pada setiap dua rakaat. Baginda menghamparkan kaki kirinya dan menegakkan kaki kanannya. Baginda melarang cara duduk sebagaimana syaitan duduk, dan Baginda melarang seseorang itu melekapkan keseluruhan lengannya seperti binatang buas. Baginda menutup solatnya dengan salam.”

Riwayat Muslim (498)

Apabila seseorang itu terlupa salah satu dari rukun solat di atas, dia dituntut untuk melakukan sujud sahwi. Ini berdasarkan hadith  Abu Hurairah R.A beliau berkata:

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صلى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم الظُّهْرَ أَو الْعَصْرَ، فَسَلَّم، فَقَالَ لَهُ ذُو الْيَدَينِ: الصَّلَاةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنقصت؟ فَقَال النبيُّ صلى الله عليه وسلم: أَحَقٌّ مَا يَقُول؟ قالوا نعمْ، فصلَّى ركْعَتَينِ أُخْرَيَتين، ثمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْن

Maksudnya: “Nabi SAW mengimamkan solat Zohor atau Asar bersama kami. Kemudian Baginda memberi salam. Maka berkata Zul Yadain kepada Nabi: ‘Solat wahai Rasulullah, adakah kau telah mengurangkannya?’ Maka Nabi SAW bersabda: ‘Benarkah apa yang dia katakan?’ Maka para sahabat pun berkata: ‘Ya.’ Lalu Baginda melakukan dua solat yang berbaki, kemudian sujud sebanyak dua kali.”

Riwayat al-Bukhari (1169)

Tetapi, bagaimana pula sujud sahwi yang dilakukan tanpa sebab-sebab tertentu yang menuntut kita untuk melakukannya?

Al-Khatib al-Syirbini menjelaskan, sekiranya seseorang yang muwafiq (sembat takbiratul ihram bersama imam) melakukan penambahan rukun selain dari apa yang telah ditetapkan oleh syara‘ mengikut tertib solat, seperti penambahan rukuk, sujud, duduk, atau berdiri, maka solatnya batal kerana dia sengaja hendak bermain-main dalam solat.  (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/417)

Perbuatan menambah-nambah rukun fi‘li dengan sengaja ini juga memang termasuk dalam salah satu perkara yang membatalkan solat. Syeikh Muhammad Nawawi bin ‘Umar al-Jawi al-Syafi‘i mengatakan, sengaja menambah rukun fi‘li itu membatalkan solat, meskipun ia tidak dilakukan dalam kadar tamakninah; kerana ia ibarat hendak bermain-main dalam solat. Kemudian, ditambahkan beberapa pengikat sebelum betul-betul dihukum solat tersebut batal, iaitu:

  • Perbuatan itu bukanlah suatu perkara yang biasa dalam solat, seperti duduk sebentar sebelum bangun untuk berdiri dari posisi sujud.
  • Orang yang sengaja menambah-nambah itu tahu akan pengharamannya.
  • Penambahan itu bukan atas dasar mengikut imam.
  • Penambahan itu tanpa sebarang sebab. (Lihat Kasyifah al-Saja Syarh Safinah al-Naja, hlm. 315)

Kita dapat fahami dari penjelasan ini, mereka yang melakukan penambahan rukun kerana dia seorang masbuq (tidak sempat takbiratul ihram bersama imam), solatnya tidaklah dihukumkan batal, kerana penambahan tersebut dilakukan atas dasar mengikut imam. Begitu juga duduk istirahah semasa hendak bangun dari posisi sujud untuk berdiri betul, ia tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan solat ini.

Kesimpulan

Sekiranya jelas perbahasan ini, kami katakan bahawa sujud sahwi yang sengaja dilakukan tanpa sebarang sebab itu adalah haram dan boleh membatalkan solat seseorang; kerana ia termasuk dalam menambah-nambah rukun fi‘li dengan sengaja.

Akan tetapi, keuzuran diberikan kepada mereka yang tidak tahu akan pengharamannya. Hal yang demikian kerana keuzuran bagi mereka yang jahil ini telah disebutkan oleh syara‘, sepertimana dalam tafsiran Ibn ‘Abbas R.A apabila turunnya ayat 284 dari Surah al-Baqarah:

وَإِن تُبْدُوا مَا فِي أَنفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُم بِهِ اللَّهُ

 Maksudnya: “Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu.”

(Surah al-Baqarah: 284)

Ibn ‘Abbas R.A berkata:

دَخَلَ قُلُوبَهُمْ مِنْهَا شَيْءٌ لَمْ يَدْخُلْ قُلُوبَهُمْ مِنْ شَيْءٍ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ “قُولُوا: سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَسَلَّمْنَا” قَالَ، فَأَلْقَى اللَّهُ الإِيمَانَ فِي قُلُوبِهِمْ. فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لا تؤاخذنا إن نسينا أو أخطأنا (قَالَ: قَدْ فَعَلْتُ) رَبَّنَا وَلا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا (قَالَ: قَدْ فَعَلْتُ) وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مولانا (قال: قد فعلت) [٢/ البقرة/ آية-٢٨٦].

Maksudnya: “‘Maka masuklah suatu kesedihan dari ayat tersebut ke dalam hati mereka, yang mana tidak pernah masuk ke dalam hati mereka sedikit pun sebelum ini.’ Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Katakanlah: Kami dengar, patuh dan berserah diri.’ Ibn ‘Abbas berkata: ‘Lalu Allah meletakkan iman pada hati mereka, kemudian menurunkan ayat:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ ۗ رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ

(Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah.)’ Allah menjawab: ‘Sungguh aku telah melakukannya.’

‘Kemudian ayat:

رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ

(Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.)’ Allah menjawab: ‘Sungguh aku telah melakukannya.’

‘Kemudian ayat:

وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا

(Dan berilah rahmat kepada kami, Engkaulah Penolong kami)’ Allah menjawab: ‘Sungguh aku telah melakukannya.’”

Riwayat Muslim (126)

Semoga Allah SWT berikan kemaafan dan keampunan buat mereka yang terlanjur menambah sujud sahwi tanpa sebarang sebab; kerana tidak tahu akan pengharamannya. Kami berdoa agar umat Islam keseluruhannya sentiasa berada di bawah bimbingan Allah SWT dalam setiap amal ibadah yang dilakukan. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اجْعَلْنَا مُقِيمِي الصَّلَاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِنَا، رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءَنَا

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah kami orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunan kami. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonan kami.”

Wallahu a‘lam

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *