#6260: Tujuh Golongan Mendapat Lindungan Arasy Allah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Siapakah tujuh golongan yang mendapat lindungan Arasy Allah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadith daripada Abu Hurairah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللَّهُ يَوْمَ القِيَامَةِ فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: إِمَامٌ عَادِلٌ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ اللَّهِ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ فِي خَلاَءٍ فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي المَسْجِدِ، وَرَجُلاَنِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ إِلَى نَفْسِهَا، قَالَ: إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا صَنَعَتْ يَمِينُهُ

Maksudnya: “Ada tujuh golongan manusia yang Allah menaungi mereka pada Hari Kiamat dengan naungan-Nya; pemimpin yang adil, seorang pemuda yang menyibukkan dirinya beribadah kepada Allah, seorang lelaki yang berzikir kepada Allah di kala sendirian sehingga mengalir air matanya, seorang lelaki yang hatinya selalu terikat kepada masjid, dua orang lelaki yang saling mengasihi kerana Allah, seorang lelaki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan kecantikan, (namun dia menolaknya) dan berkata: Sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan seorang lelaki yang bersedekah dengan suatu sedekah lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui perkara yang dilakukan (diinfaqkan) oleh tangan kanannya.”

Riwayat al-Bukhari (6806)

Antara yang disebut di atas, adalah berkenaan sedekah, di mana, hadith ini mengandungi keutamaan dan kelebihan sedekah, dan ia merupakan sebab kebahagian di hari akhirat. Selain itu, hadith ini juga mengandungi keutamaan dalam menyembunyikan pemberian sedekah dan menjaga atau bersungguh-sungguh dalam menyembunyikannya, agar pemiliknya (pemberi sedekah itu) termasuk dalam tujuh golongan yang mendapat kebahagiaan iaitu mereka yang mendapat naungan Allah SWT pada hari kiamat, hari di mana tidak ada naungan yang dapat melindungi mereka daripada terik matahari yang membakar, kecuali naungan daripada Allah SWT. Firman Allah SWT:

إِن تُبْدُوا۟ ٱلصَّدَقَـٰتِ فَنِعِمَّا هِىَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا ٱلْفُقَرَآءَ فَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ

Maksudnya: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu.”

Ertinya, menyembunyikan sedekah lebih baik daripada mengumumkannya (yakni bersedekah secara terang-terangan), kecuali jika ada kepentingan yang lebih besar dalam mengumumkannya, seperti menjadi teladan bagi orang lain dalam berbuat kebaikan, dan seseorang yakin bahawa dirinya terhindar daripada sifat riya’.

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hikmah dalam menyembunyikan pemberian sedekah adalah untuk menjauhkannya daripada sifat riya’, yang merupakan salah satu sebab yang menghapuskan amal perbuatan, dan penolakannya ke atas pelakunya. Mungkin juga ini sebagai tanda menghormati perasaan orang miskin, malah satu bentuk penghormatan terhadap maruah mereka yang mungkin berasa rendah diri dan terhina. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/385-386).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلكَ رِضَاكَ وَالجَنَّةَ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ سَخَطِكَ واَلنَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu keredhaan-Mu dan syurga, dan kami berlindung kepada-Mu daripada kemurkaan-Mu dan neraka.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *