#6374: Qunut ketika Masbuq Subuh

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya nak bertanya tentang qunut ketika solat subuh. Adakah perlu bagi seseorang menyertai imam pada rakaat ke-2, yakni masbuq, untuk membaca doa qunut pada rakaat ke-2 nya (bermaksud ketika dia berdiri setelah imam salam)? Adakah boleh 2 kali qunut dalam satu solat ataupun cukuplah sekali?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Qunut Subuh merupakan salah satu amalan sunat ab’ad, iaitu sunat yang amat dituntut untuk dilaksanakan. Masa perlaksanaannya adalah ketika i’tidal pada rakaat ke-2 Solat Subuh. Sesiapa yang tertinggal bacaan doa Qunut Subuh, hendaklah melaksanakan sujud sahwi sebelum memberi salam untuk menggantikannya.

Allah SWT berfirman:

حَـٰفِظُوا۟ عَلَى ٱلصَّلَوَ ٰ⁠تِ وَٱلصَّلَوٰةِ ٱلۡوُسۡطَىٰ وَقُومُوا۟ لِلَّهِ قَـٰنِتِینَ

Maksudnya: “Hendaklah kamu memelihara segala solat khususnya solat wusta. Berdirilah dalam solat kamu dalam keadaan qanit (berdoa) kepada Allah.”

(Surah al-Baqarah: 238)

Imam al-Syafi’i menafsirkan ayat di atas: “Ayat ini memberikan isyarat kepada kita bahawa perlu ada suatu keadaan khusus di dalam solat, kita berdiri khusus untuk berdoa sahaja, bukan membaca al-Quran seperti biasa. Inilah pendapat pilihan saya. Manakala, sunnah Rasulullah SAW pula mengajarkan kita untuk berdoa Qunut ketika berdiri i’tidal pada akhir rakaat Subuh.” (Lihat Ahkam al-Qur’an atau Tafsir al-Syafi’i, 1/413)

Dari sudut dalil Sunnah, amalan ini adalah berdasarkan kepada hadith Anas bin Malik R.A yang meriwayatkan dengan begitu jelas bahawa:

مَا زَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْنُتُ فِي الْفَجْرِ حَتَّى فَارَقَ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan Qunut Subuh sehingga baginda meninggal dunia.”

Riwayat Ahmad (12657) dan al-Baihaqi (3230)

Imam Ibn al-Mulaqqin mensyarahkan hadith di atas mengatakan: “Hadith ini merupakan dalil bagi doa Qunut Subuh adalah amalan sunnah Rasulullah SAW yang sentiasa baginda lakukan, dan baginda tidak meninggalkannya. (Lihat al-Taudhih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih, 8/203)

Makmum Masbuq Tetap Membaca Doa Qunut

Hendaklah seseorang tetap membaca doa Qunut pada rakaat ke-2, meskipun telah menuruti imam membacanya ketika mula-mula memasukinya menurut pendapat muktamad mazhab al-Syafi’i.

Hal ini kerana, ia tetap merupakan rakaat pertama bagi dirinya yang berstatus makmum masbuq. Posisi doa Qunut Subuh disunatkan adalah pada keadaan i’tidal di rakaat terakhir (rakaat ke-2).

Imam al-Nawawi berkata: “Rakaat yang sempat disertai oleh makmum yang masbuq adalah rakaat pertama bagi dirinya, maka dia hendaklah mengulang sekali lagi (bacaan doa) Qunut pada rakaat yang berbaki tersebut.” (Lihat Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, hal. 453)

Imam Ibn al-Naqib berkata: “Rakaat terakhir imam yang dia (makmum masbuq) sertai itu adalah rakaat pertama bagi dirinya, manakala rakaat yang akan dia bangun dan sempurnakan selepas imam selesai itu adalah rakaat kedua bagi dirinya (makmum masbuq), maka dia hendaklah mengulang bacaan doa Qunut.” (Lihat ‘Umdah al-Salik wa ‘Uddah al-Nasik, hal. 68)

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: “Rakaat terakhir imam yang sempat disertai oleh makmum ialah rakaat pertama si makmum. Maka, apabila makmum itu bangun menyempurnakan solatnya, dia hendaklah mengulang bacaan Qunut jika ketika solat Subuh, mengulang tasyahud jika ketika solat Maghrib.” (Lihat Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj al-Tullab, 1/80)

Mereka berdalilkan dengan hadith Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَمَا أَدْرَكْتُمْ فَصَلُّواْ وَمَا فَاتَكُمْ فَأَتِمُّواْ

Maksudnya: “(Rakaat) yang kalian sempat sertai, maka solatlah. Mana rakaat yang terlepas, maka sempurnakanlah selepas itu (selepas imam selesai).”

Riwayat al-Bukhari (908) dan Muslim (602)

Syeikh Muhammad Nawawi Jawi berkata mensyarahkan hadith di atas: “Perkataan fa atimmu mengarahkan agar melakukan al-itmam (menyempurnakan), dan menyempurnakan sesuatu itu bermaksud melaksanakannya dari awal semula mengikut turutan yang sewajarnya hingga selesai.” (Lihat Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in, hal. 119)

Kesimpulan

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan di atas, makmum masbuq solat Subuh tetap perlu mengulang bacaan doa Qunut apabila bangun menyelesaikan satu lagi rakaatnya, kerana itu merupakan rakaat ke-2 bagi dirinya dan barulah disunatkan bacaan doa Qunut ke atas dirinya.

Adapun bacaan doa Qunut pada rakaat pertama, makmum masbuq itu lakukan hanya kerana menuruti gerak-geri imam ketika solat semata-mata yang tidak boleh diselisihi.

Imam al-Ramli berkata: “Maka hendaklah dia mengulang bacaan doa Qunut Subuh ketika tempatnya yang sewajarnya iaitu i’tidal rakaat ke-2, kerana bacaan doa Qunut sebelumnya hanya dilakukan untuk mengikuti imam sahaja (Manakala dirinya pula belum disunatkan untuk membaca Qunut dan dikira belum melaksanakannya).” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/241)

Manakala, muktamad mazhab Maliki mengatakan tidak perlu membaca Qunut sekali lagi. Hal ini kerana di sisi mazhab Maliki, makmum masbuq tersebut telah pun membaca Qunut di rakaat kedua. Rakaat yang disempurnakan oleh makmum masbuq selepas imam memberi salam adalah qadha’ rakaat pertama yang terlepas. Mereka berdalilkan hadith Abu Hurairah R.A juga yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلِّ مَا أَدْرَكْتَ، وَاقْضِ مَا سَبَقَكَ

Maksudnya: “Solatlah setakat mana yang anda sempat (bersama imam), dan qadha’-lah rakaat yang anda terlepas itu.”

Riwayat Muslim (602)

Namun, ulama mazhab al-Syafi’i menjawab hujah penggunaan hadith ini, Imam al-Ramli turut mengatakan bahawa: “Lafaz qadha’ di sini dibawa kepada makna dari sudut perspektif lughawi (bahasa) sahaja, kerana ia merupakan majaz dan konteks seperti ini begitu popular digunapakai dalam bahasa. Maksud sebenarnya ialah “laksanakanlah,” bukannya “gantilah rakaat yang terlepas.” Kita juga sedia maklum akan kemustahilan untuk memahami lafaz qadha’ di sini dari sudut istilah syara’ kerana tiada perkaitan langsung antara pengertian tersebut dengan situasi di sini (kerana solat masih dilaksanakan di dalam waktunya, bukan di luar waktu).” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/241)

Semoga Allah mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat dan kefaqihan (kefahaman yang baik dan kekuatan beramal soleh) dalam beragama.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي لَكَ شَكَّارًا، لَكَ ذَكَّارًا، لَكَ رَهَّابًا، لَكَ مِطْوَاعًا، لَكَ مُخْبِتًا، إِلَيْكَ أَوَّاهًا مُنِيبًا

Maksudnya: “Tuhanku, jadikan aku sentiasa bersyukur kepada-Mu, sentiasa mengingati-Mu, sentiasa mencintai-Mu, sentiasa taat kepada-Mu, sentiasa patuh kepada-Mu, sentiasa mengadu dan kembali kepada-Mu.”

Wallahu a’lam.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *