#6388: Terlepas Solat Hari Raya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya pulang ke kampung dan menyangkakan solat hari raya pada pukul 8.30. Semasa sampai sudah selesai solat hari raya. Bagaimana sepatutnya saya lakukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

(Surah al-Kauthar: 2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556)

Hukum Solat Hari Raya

Solat Aidilfitri dan Aidiladha telah disyariatkan pada tahun kedua Hijrah. Solat hari raya pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah solat Aidilfitri pada tahun yang kedua Hijrah tersebut. Sementara dalil pensyariatannya pula ialah firman Allah SWT yang ditujukan kepada Nabi SAW:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, solatlah kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kauthar: 2)

Ulama tafsir menyatakan maksud solat dalam ayat tersebut ialah solat Aidiladha. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَىْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ، فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَىْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pergi ke musalla  (tempat sembahyang) pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Perkara pertama yang Baginda lakukan ialah solat. Kemudian, Baginda berpaling menghadap orang ramai yang masih duduk di dalam saf mereka, lalu Baginda memberikan nasihat dan menyampaikan apa-apa arahan kepada mereka. Jika hendak menghantar pasukan pejuang atau menyampaikan apa-apa arahan, Baginda membuat keputusan dan mengarahkannya pada masa itu. Selepas itu, Baginda pun bersurai.”

 Riwayat al-Bukhari (956) dan Muslim (889)

Solat hari raya hukumnya ialah sunat muakkad. Hal ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat.

Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu. Solat hari raya disyariatkan secara berjemaah. Namun, sah dilakukan secara bersendirian. Begitu juga, ia disyariatkan berjemaah kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang merdeka atau hamba kecuali perempuan yang menghiasi diri atau yang memungkinkan fitnah. Mereka hendaklah bersolat di rumah sahaja.

Menjawab persoalan di atas, sunat qadha dan dilakukan di rumah bersama kaum keluarga atau dia berseorangan. Hal ini berdasarkan kepada kata-kata Imam al-Bukhari ketika meletakkan tajuk bab seperti berikut:

بَابٌ: إِذَا فَاتَهُ العِيدُ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ، وَكَذَلِكَ النِّسَاءُ، وَمَنْ كَانَ فِي البُيُوتِ وَالقُرَى

Maksudnya: “Bab: Apabila Seseorang Terlepas Solat Hari Raya, Hendaklah Dia Solat Dua Rakaat, Begitu Juga Kaum Wanita Dan Orang Yang Berada Di Rumah Dan Kampung.”

Hal ini kerana berdasarkan sabda Nabi SAW:

هَذَا عِيدُنَا يَا أَهْلَ الإِسْلاَمِ». وَأَمَرَ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ مَوْلاَهُمْ ابْنَ أَبِي عُتْبَةَ بِالزَّاوِيَةِ، فَجَمَعَ أَهْلَهُ وَبَنِيهِ، وَصَلَّى كَصَلاَةِ أَهْلِ المِصْرِ وَتَكْبِيرِهِمْ. وَقَالَ عِكْرِمَةُ: أَهْلُ السَّوَادِ يَجْتَمِعُونَ فِي العِيدِ، يُصَلُّونَ رَكْعَتَيْنِ كَمَا يَصْنَعُ الإِمَامُ. وَقَالَ عَطَاءٌ: إِذَا فَاتَهُ العِيدُ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ.

Maksudnya: “Ini hari raya kita wahai orang-orang Islam.” Anas bin Malik R.A menyuruh maulanya Ibn Abi ‘Utbah di Zawiyah mengumpulkan ahli keluarganya dan kaumnya, dan menunaikan solat seperti solat dan takbir yang dilakukan penduduk kota. ‘Ikrimah berkata: “Penduduk di luar bandar (al-Sawad) berkumpul pada hari raya, mereka menunaikan solat dua rakaat seperti yang dilakukan imam.” ‘Ata’ berkata: “Apabila dia terlepas solat raya (berjemaah) dia solat dua rakaat.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/46)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan: Maksud tajuk bab ini adalah, jika seseorang tidak sempat menunaikan solat hari raya bersama imam, maka dia hendaklah menunaikan solat sendiri dua rakaat. (Lihat Fath al-Bari, 5/331)

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *