#6399: Ulang Semula Solat Jumaat: Khutbah Perlu atau Tidak?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Saya solat Jumaat sebentar tadi, imam tertinggal rukun solat. Oleh itu, kami solat Jumaat semula tanpa baca semula khutbah. Adalah sah solat ini? Adakah khutbah perlu dibacakan semula? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Allah SWT berfirman:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِذَا نُودِیَ لِلصَّلَوٰةِ مِن یَوۡمِ ٱلۡجُمُعَةِ فَٱسۡعَوۡا۟ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَذَرُوا۟ ٱلۡبَیۡعَۚ ذَ ٰ⁠لِكُمۡ خَیۡرࣱ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Apabila kamu diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat maka hendaklah kamu bergegas menuju untuk mengingati Allah dan tinggalkan segala jenis jual-beli. Demikian itu lebih baik buat kamu jika kamu mengetahuinya.”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini mengajar kita bahawa Allah SWT menyuruh hamba-hamba-Nya yang beriman supaya bersegera hadir ke masjid untuk solat Jumaat sejurus azan dikumandangkan, dan menjadikan solat Jumaat itu sebagai keutamaan dan urusan yang paling utama. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/863)

Selain itu, para ulama menafsirkan ayat ‘فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ’ dengan maksud segera untuk mendengar khutbah jumaat dan melakukan solat Jumaat selepasnya. (Lihat Tafsir Ayat al-Ahkam oleh Syeikh Ali al-Sabuni, 2/362).

Dalam menjawab soalan di atas, menunaikan solat Jumaat adalah suatu kewajipan ke atas lelaki yang berakal, baligh, mukallaf dan bermastautin. Kita wajib memenuhi semua syarat sah dan rukun solat apabila melaksanakannya untuk memastikan solat kita sah dan diterima di sisi Allah SWT.

Sepatutnya, jika imam tertinggal rukun solat, hendaklah makmum menegur dengan mengucapkan kalimat Tasbih (Subhanallah); supaya imam menyedari kesilapan itu dan segera memperbetulkannya. Jika imam tidak membetulkannya, salah seorang makmum haruslah naik menggantikan imam tersebut.

Perkara ini berdasarkan hadith Sahl bin Sa ‘d R.A yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَابَهُ شَيْءٌ فِي صَلَاتِهِ، فَلْيُسَبِّحْ فَإِنَّهُ إِذَا سَبَّحَ الْتُفِتَ إِلَيْهِ، وَإِنَّمَا التَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ

Maksudnya: “Sesiapa yang melihat sebarang keralatan di dalam solatnya, maka hendaklah dia bertasbih, tepukan tangan pula ada untuk wanita (menegur).”

Riwayat al-Bukhari (684)

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menfatwakan: “(Imam Ibn al-Muqri kata di dalam al-Raudh al-Talib: Sekiranya terbatal) solat tersebut (kerana imam, atau terbatalnya solat itu kerana sengaja, sama ada solat Jumaat atau lain-lain solat kerana hadas atau lain-lain sebab maka hendaklah ada orang lain dalam kalangan makmum menggantikannya sebelum melakukan rukun yang lain) sesiapa sahaja (yang layak untuk menjadi Imam) mengimamkan solat berjemaah untuk sekalian makmum tersebut.” (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh al-Raudh al-Talib, 1/252)

Kesimpulannya

Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa tidak boleh membiarkan imam meneruskan solat berlarutan dalam keadaan sudah batal. Solat itu dikira tidak sah, dan semua pihak (sama ada imam mahupun makmum) dianggap belum melaksanakan solat Jumaat.

Oleh itu, semua pihak (sama ada imam dan makmum) wajib mengulangi solat Jumaat tersebut, tanpa perlu mengulang khutbah sekiranya kesilapan yang membatalkan itu disedari ketika itu juga dan khutbah tadi dilaksanakan dalam keadaan sempurna memenuhi semua rukun-rukunnya. Hal ini, jika masih dalam waktu dan di masjid, kerana syarat solat Jumaat hendaklah didirikan secara jemaah dan dalam waktu zohor. Adapun jika sudah terlepas, maka hendaklah diqadha’ solat Zohor sahaja, dengan syarat yakin akan batalnya solat imam tersebut.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ ٱجۡعَلۡنِي مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِيۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikan aku orang yang mendirikan solat, begitu juga dengan zuriatku. Tuhanku, kabulkanlah doa kami.”

Wallahu a‘lam.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *