#6408: Syaitan Terkentut

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah syaitan terkentut berlari-lari ketika azan kerana takut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَلَمْ أَعْهَدْ إِلَيْكُمْ يَا بَنِي آدَمَ أَن لَّا تَعْبُدُوا الشَّيْطَانَ ۖ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

Maksudnya: “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!”

Surah Yasin (60)

Ibn Jarir al-Tabari berkata: Allah SWT menyatakan: “Bukankah Aku memberikan perintah kepada kamu dan menyuruh kamu di dunia untuk tidak menyembah syaitan, supaya kamu tidak mentaatinya dalam maksiat kepada Allah (sesungguhnya dia adalah musuh yang nyata bagi kamu)? Aku katakan kepada kamu: Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang jelas bagi kamu. Dia telah menampakkan kebencian terhadap kamu dengan menolak untuk sujud kepada kamu, iaitu kepada nenek moyang kamu, sebab iri hati terhadap nikmat yang diberikan Allah kepada mereka, seperti kemuliaan dan kesombongan yang diberikan Allah kepada mereka, sehingga dia berhasil mengeluarkan mereka (Adam dan Hawa) dari syurga. (Lihat Jami’ al-Bayan, 19/470)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أُذِّنَ بِالصَّلاَةِ أَدْبَرَ الشَّيْطَانُ لَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ التَّأْذِينَ، فَإِذَا سَكَتَ المُؤَذِّنُ أَقْبَلَ، فَإِذَا ثُوِّبَ أَدْبَرَ، فَإِذَا سَكَتَ أَقْبَلَ، فَلاَ يَزَالُ بِالْمَرْءِ يَقُولُ لَهُ: اذْكُرْ مَا لَمْ يَكُنْ يَذْكُرُ حَتَّى لاَ يَدْرِيَ كَمْ صَلَّى ” قَالَ أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ: «إِذَا فَعَلَ أَحَدُكُمْ ذَلِكَ، فَلْيَسْجُدْ سَجْدَتَيْنِ وَهُوَ قَاعِدٌ»، وَسَمِعَهُ أَبُو سَلَمَةَ، مِنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ

Maksudnya: “Apabila telah dikumandangkan azan untuk solat, maka syaitan bertempiaran lari sehingga terkentut sampailah dia tidak mendengar azan. Apabila muazzin telah diam, maka syaitan akan datang kembali. Apabila dilaungkan (iqamah) dia lari, apabila muazin diam dia datang. Dia akan sentiasa mengganggu seseorang dan mengatakan kepadanya: ‘Ingatlah sekian sekian’ (yakni sesuatu yang dia tidak mengingatinya), sehingga dia tidak mengetahui berapa rakaat solat yang telah dia lakukan.” Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman berkata: “Apabila salah seorang daripada engkau melakukan perkara tersebut, maka hendaklah dia sujud dua kali (sujud sahwi) dalam keadaan duduk.” Abu Salamah mendengarnya daripada Abu Hurairah R.A.

Riwayat al-Bukhari (608) (1222)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan:

Al-Qadhi Iyadh mengatakan bahawa hal ini mungkin difahami sebagaimana makna zahirnya, kerana syaitan adalah jism yang juga makan (seperti manusia) sehingga boleh saja mengeluarkan angin. Namun ada kemungkinan hal ini sebagai ungkapan ketakutannya. Kemungkinan ini didukung oleh riwayat Imam Muslim dengan lafaz, ‘لَهُ حُصَاصٌ’ dimana al-Asma’i dan yang lainnya mengatakan bahawa maknanya adalah lari lintang-pukang. Al-Thaibi berkata, “Sikap syaitan yang menyibukkan dirinya agar tidak mendengar suara azan diserupakan dengan suara yang memenuhi pendengarannya sehingga tidak dapat mendengarkan suara yang lain, kemudian dinamakan kentut untuk menghinakannya.”

Secara zahir, yang dimaksudkan dengan syaitan adalah iblis. Hal inilah yang disebut oleh pendapat majoriti ulama yang mensyarahkan seperti yang akan disebutkan. Ada juga kemungkinan yang dimaksudkan adalah jenis syaitan, yakni semua penentang dari kalangan jin dan manusia. Namun yang dimaksud dalam hadis ini adalah khusus syaitan dari kalangan jin.

Mengenai ungkapan, ‘ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ التَّأْذِينَ’ (hingga tidak mendengar azan). Secara zahirnya, syaitan sengaja mengeluarkan kentut sama ada dengan maksud menyibukkan diri dengan mendengar bunyi kentutnya agar tidak mendengar suara azan, atau untuk meremehkannya seperti yang biasa dilakukan oleh orang-orang dungu. Tapi ada juga kemungkinan hal itu tidak dilakukan dengan sengaja, kerana terdorong rasa takut ketika mendengar suara azan. Kemungkinan lain adalah ia sengaja buang angin untuk mendatangkan sesuatu yang berlawanan dengan kesucian solat, iaitu hadas.

Hadis ini dijadikan dalil bahawa disukai menguatkan suara azan, kerana secara zahir, kalimat, “Hingga tidak mendengar” menunjukkan bahawa syaitan menjauhkan dirinya sehingga tidak dapat mendengar suara azan. Adapun batasan jarak tersebut telah dijelaskan dalam riwayat Muslim, yang menyebutkan, “Hingga sampai ke Rauha’.”

Al-A’masy meriwayatkan daripada Abu Sufyan, daripada Jabir yang menerangkan bahawa antara Madinah dengan Rauha’ berjarak tiga puluh enam batu. Demikian juga riwayat Qutaibah daripada Jarir yang dinukil oleh Imam Muslim. Kemudian Imam Muslim meriwayatkan pula daripada lshaq dan Jarir tanpa menyebutkan lafaznya. Adapun riwayat Ishaq dalam Musnad-nya menyebutkan, “Hingga sampai ke Rauha’ yang berjarak tiga puluh batu dari Madinah.” Beliau menyertakan kalimatnya dalam hadis. Namun yang menjadi pegangan adalah riwayat Qutaibah. Sedangkan hadis Abu Sa’id akan disebutkan pada bab tentang “Keutamaan menguatkan suara azan”. (Lihat Fath al-Bari, 2/405)

Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *