Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada soalan. Jika sudah mandi hadas besar, selepas dari itu masih ada keluar lendir dan air mani, adakah kena mandi semula atau macam mana ya? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Mandi hadas atau mandi wajib diwajibkan ke atas orang-orang yang mengalami inzal (keluar air mani). ‘Abdullah bin  ‘Abbas R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّمَا الْمَاءُ مِنَ الْمَاءِ فِي الاِحْتِلَامِ

Maksudnya: “Sesungguhnya air (mandi wajib) itu diwajibkan kerana air (air mani yang keluar) hasil daripada mimpi basah (atau jua selainnya).”

Riwayat al-Tirmizi (112)

Mulla ‘Ali al-Qari mensyarahkan hadith di atas: “Hadith ini adalah dalil kewajiban melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang mengalami inzal (keluar air mani), jika tiada, maka tidak wajib mandi. Namun, sesiapa yang bersetubuh (bertemu dua kemaluan), maka wajib mandi walaupun tidak mengeluarkan mani, sepertimana fatwa Ibn ‘Abbas R.Anhuma.” (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 2/422)

Imam al-‘Imrani berkata: “Hadith ini adalah dalil wajib mandi setiap kali keluar mani, tanpa mengira disertai syahwat atau tidak.” (Lihat al-Bayan Syarh al-Muhazzab, 1/240)

Pendapat Muktamad Mazhab al-Syafi‘i

Dalam menjawab soalan yang diajukan, menurut mazhab al-Syafi‘i, seseorang itu tetap diwajibkan untuk mandi wajib buat kali yang kedua apabila ada saki-baki air mani yang keluar meskipun setelah selesai mandi wajib.

Imam Taqiyyuddin al-Hisni menfatwakan: “Dan jikalau seseorang itu mandi (wajib) kemudian keluar darinya sisa baki air mani nescaya wajib mandi kali yang kedua tanpa khilaf samada keluar sebelum kencing atau selepasnya.” (Lihat Kifayah al-Akhyar fi halli Ghayah al-Ikhtisar, hlm. 41)

Imam Abu al-Qasim al-Rafi‘i berkata: “Sekiranya seseorang itu mandi wajib kerana keluar air mani kemudian masih ada lagi saki baki air mani yang keluar, maka wajib dia mandi sekali lagi kerana kewujudan bau mani tersebut; sama ada ia keluar selepas kencing atau sebelumnya.” (Lihat al- ‘Aziz Syarh al-Wajiz atau al-Syarh al-Kabir, 1/182)

Imam Yahya bin Syaraf al-Nawawi juga berkata: “Apabila seorang itu mimpi sehingga  keluar air mani dan mandi kemudian keluar daripadanya air mani sekali lagi selepas selesai mandi dengan waktu yang berdekatan; nescaya wajib atasnya mandi kali yang kedua sama ada keluar mani itu sebelum dia kencing atau selepas kencing.” (Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 1/84)

Pendapat Mazhab Lain

Namun, di sana terdapat juga pendapat-pendapat mazhab lain berkenaan permasalahan di atas. Di antaranya:

Tidak wajib untuk mandi hadas semula kerana mani yang baru keluar itu adalah saki-baki air mani yang lama sahaja.

Hal ini kerana, sebab yang mendorong ia keluar adalah satu, tidak ada sebarang sebab baharu yang lain dan ia keluar tanpa sebarang syahwat. Maka tidak perlu mandi wajib sekali lagi, sama ada ia keluar sebelum kencing atau selepas kencing.

Imam al-Ruyani berkata: “Yang mengatakan tidak perlu mandi wajib sekali lagi jika air mani keluar lagi sama ada sebelum kencing atau selepas kencing; kerana ia merupakan saki-baki mani yang pertama kali keluar tadi; adalah mazhab Malik, al-Thauri, Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahawaih dan al-Qadhi Abu Yusuf.” (Lihat Bahr al-Mazhab, 1/167)

Sekiranya air mani keluar lagi sebelum kencing, maka wajib mandi hadas. Jika air mani keluar lagi selepas kencing, tidak wajib mandi hadas.

Manakala muktamad mazhab Hanafi pula mengatakan, sekiranya air mani yang keluar selepas mandi wajib itu; keluar sebelum kencing, maka wajib mandi hadas sekali lagi. Jika air mani itu keluar lagi selepas kencing, maka tidak perlu ulang mandi wajib.

Imam al-Husain bin Muhammad al-Samnaqi berkata: “Seorang lelaki apabila sudah mandi wajib sebelum dia kencing; kemudian keluar air mani sekali lagi daripada saki-baki manir yang sebelumnya, maka dia hendaklah mandi wajib kali kedua. Sekiranya dia sudah kencing sebelum mandi, atau tidur, kemudian keluar lagi saki-baki mani; maka dia tidak wajib ulang mandi hadas.” (Lihat Khazanah al-Muftin, hlm. 114)

Begitu juga yang difatwakan oleh Imam Burhanuddin Abu al-Ma‘ali (Lihat al-Muhit al-Burhani, 1/85) dan juga Imam al-Zaila‘i (Lihat Tabyin al-Haqa’iq Syarh Kanz al-Daqa’iq, 1/16), semua ini merupakan fatwa muktamad mazhab Hanafi.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan kenyataan di atas, kami cenderung kepada pendapat mazhab yang menyatakan bahawa seseorang itu tidak perlu mengulangi mandi wajib sekali lagi jika terdapatnya lendir atau mani yang keluar sejurus selepas itu. Hal ini kerana itu adalah saki-baki mani yang lama dan tidak keluar kerana nafsu syahwat, sama ada ia keluar selepas buang air kecil atau pun sebelumnya; namun dalam masa yang sama, yang lebih baik dan berhati-hati (ihtiyat) adalah mengulangi mandi wajib sekali lagi.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنِي مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Ya Allah jadikanlah aku dalam kalangan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah aku dalam kalangan orang-orang yang bersuci.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply