Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada membaca bahawa minyak hidrogenasi (hydrogenated oil) adalah berbahaya kepada kesihatan manusia, dan ia terdapat dalam banyak makanan. Apakah hukum memakan makanan ini, jika terbukti ia berbahaya kepada kesihatan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Minyak Hidrogenasi
Kami mulakan dengan menerangkan secara ringkas berkenaan minyak hidrogenasi terlebih dahulu. Minyak hidrogenasi adalah sejenis lemak yang digunakan oleh pengeluar makanan untuk memastikan makanan kekal segar lebih lama. Hidrogenasi ialah proses di mana pengeluar menambahkan hidrogen kepada lemak cair, seperti minyak sayuran, untuk menukarkannya menjadi lemak pepejal pada suhu bilik.
Terdapat dua jenis minyak hidrogenasi: Minyak Hidrogenasi Separa (partially hydrogenated) dan Minyak Hidrogenasi Penuh (fully hydrogenated).
Minyak Hidrogenasi Separa (lemak trans)
Pada masa lalu, pengeluar makanan menambah minyak hidrogenasi separa ke dalam makanan yang diproses. Menurut FDA, makanan yang dahulunya mengandungi jumlah lemak trans buatan yang banyak termasuklah:
- Kebanyakan makanan yang dibakar.
- Marjerin batang.
- Aising kek.
- Krimer kopi.
- Makanan ringan.
Pada tahun 2015, FDA mengisytiharkan bahawa lemak trans tidak “secara umumnya diiktiraf sebagai selamat” dan perlu dihapuskan secara berperingkat menjelang tahun 2018. Namun begitu, lemak trans mungkin masih terdapat dalam beberapa makanan. Menurut Persatuan Jantung Amerika (AHA), lemak trans berlaku secara semula jadi dalam haiwan tertentu, seperti lembu.
Minyak Hidrogenasi Penuh
Minyak hidrogenasi penuh juga melalui proses yang mengubah minyak cecair menjadi pepejal pada suhu bilik. Seperti namanya, minyak ini dihidrogenasikan sepenuhnya atau hampir sepenuhnya, yang mengurangkan jumlah lemak trans dalam produk akhir.
Berbeza dengan minyak hidrogenasi separa, FDA masih membenarkan produk menggunakan minyak hidrogenasi penuh bermula dari tahun 2018. Pada tahun 2020, FDA mengeluarkan sijil yang menyatakan bahawa minyak rapeseed[1] hidrogenasi penuh adalah selamat untuk digunakan dalam jumlah yang sedikit dalam produk makanan.
Walaupun minyak hidrogenasi mungkin selamat, ini tidak bermakna ia semestinya baik untuk dimakan. Produk yang mengandungi minyak ini sering kali diproses tinggi dengan gula dan garam tambahan. Seseorang seharusnya mengelakkan/menjauhi makanan yang menggunakan minyak hidrogenasi dan memilih buah-buahan segar, sayur-sayuran, bijirin penuh, dan protein tanpa lemak sebagai ganti.
Kesan Sampingan Minyak Hidrogenasi
Minyak hidrogenasi, terutamanya minyak hidrogenasi separa, mempunyai beberapa kesan sampingan yang berpotensi menjejaskan kesihatan seseorang.
Menurut FDA, lemak trans boleh meningkatkan tahap kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) dalam darah. Ini juga dikenali sebagai “kolesterol jahat.” Tahap kolesterol LDL yang lebih tinggi meningkatkan risiko seseorang menghidap penyakit jantung, yang merupakan punca utama kematian di Amerika Syarikat.
AHA menambah bahawa lemak trans juga boleh mengurangkan tahap kolesterol lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL), yang dikenali sebagai “kolesterol baik.” Peningkatan kolesterol LDL dan penurunan kolesterol HDL boleh meningkatkan risiko seseorang mengalami serangan jantung, strok, dan diabetes jenis 2.
Satu kajian terdahulu yang melibatkan lebih 400 wanita mendapati bahawa pengambilan lemak trans meningkatkan risiko mereka menghidap kerintangan insulin (insulin resistance).[2]
Makanan yang Mengandungi Minyak Hidrogenasi
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa secara umumnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).
Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudharatan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan — dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).
Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ
Maksudnya: “Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”
Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)
Selain itu, al-Qarafi juga ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal — berlepas daripada hukum haram.
Begitulah juga sememangnya syariat mewajibkan pemeliharaan nyawa dan mengharamkan pengambilan sesuatu yang boleh memudaratkannya dengan jelas atau dalam kebanyakan kes; berdasarkan firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)
Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)
Begitu juga firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضٍۢ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًۭا ٢٩ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوَٰنًۭا وَظُلْمًۭا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًۭا ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu (29). Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).”
(Surah al-Nisa’: 29-30)
Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di menyebutkan, maksudnya adalah janganlah sebahagian daripada kamu membunuh sebahagian yang lain, dan janganlah seseorang membunuh dirinya sendiri. Ini termasuk juga mendedahkan diri kepada kebinasaan dan melakukan perkara-perkara yang berisiko membawa kepada kematian dan kebinasaan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 175).
Selain itu, terdapat hadith Nabi SAW, Baginda bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak ada mudharat dan tidak juga membalas kemudharatan.”
Riwayat Ibn Majah (2341) dan dinilai sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah.
Dalam hadith di atas, mudharat itu dapat dibahagikan kepada beberapa pecahan:
Pertama: Mudharat Secara Fizikal dan Emosi
- Kemudharatan secara fizikal. Bermaksud, mudharat itu kesannya pada tubuh seseorang dengan apa jua bentuk serangan, atau mudharat pada hartanya, atau apa jua yang terkait dengan perkara fizikal.
- Kemudharatan secara emosi. Mudharat ini kesannya berkait dengan psikologi seseorang, sama ada kerana qazaf (tuduhan zina), penghinaan, memburukkan nama baiknya, dan lain-lain.
Kedua: Mudharat Berdasarkan Kesannya
- Mudharat yang kesannya segera. Sebagai contoh, membuka kedai makan atau restoran di tengah-tengah gedung menjual baju, sedangkan dia tahu baju-baju di kawasan itu akan berbau kerana restorannya.
- Mudharat yang kesannya lewat. Mudharat ini amat jelas dalam masyarakat kita, seperti merokok. Perokok itu mungkin akan menghidapi kanser akibat ketagihan rokoknya, tetapi kesannya tidaklah berlaku serta-merta. (Lihat al-Mufassal fi al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 346-347).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, jelaslah bahawa jika sesuatu makanan itu terbukti memberikan mudharat yang jelas atau dalam kebanyakan kes secara langsung, maka haram untuk mengambilnya dalam kuantiti yang boleh menyebabkan kemudharatan tersebut. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:
الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.” (Lihat Nihayah al-Sul Syarh Minhaj al-Wusul, hlm. 360).
Namun, minyak-minyak ini digunakan dalam kadar tertentu, yang berbeza-beza dari satu makanan ke makanan lain, dan mudharatnya mungkin tidak kelihatan dengan serta-merta. Mungkin ramai yang mengambilnya tanpa mengalami mudharat kerana mereka bersukan atau melakukan pelbagai aktiviti fizikal. Oleh sebab itu, kami tidak menemui sesiapa yang mengharamkan pengambilan makanan yang mengandungi minyak-minyak ini kerana mengambil kira hukum asal makanan iaitu halal dan diharuskan selagi mana tidak ada bukti yang jelas lagi pasti akan kemudharatannya.
Kaedah fiqh menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Meskipun begitu, kami juga menyarankan sekiranya dapat dielakkan pengambilan makanan yang mengandungi minyak hidrogenasi, maka ini adalah lebih baik sebagai mengambil langkah menjaga kesihatan, bahkan di sana terdapat banyak makanan yang sihat dan bermanfaat lagi halal sebagai pengganti.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Nota Hujung:
[1] Minyak rapeseed atau rapeseed oil adalah salah satu minyak sayuran yang paling lama diketahui. (Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Rapeseed_oil. Diakses pada 20 Ogos 2024).
[2] Lihat https://www.medicalnewstoday.com/articles/hydrogentated-oil#side-effects. Diakses pada 20 Ogos 2024.