Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum mendengar bacaan al-Quran menerusi headphone sambil membuat kerja? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-A’raf: 204)

Mendengar bacaan al-Quran merupakan perbuatan yang dituntut ke atas sekalian manusia tanpa mengira agama. Kelompok non-Muslim hendaklah mendengar al-Quran untuk mendulang hidayah dan petunjuk ke arah agama Allah, manakala umat Muslimin pula hendaklah mendengar al-Quran untuk mendapatkan pedoman hidup, beroleh pahala dan keberkatan, seterusnya menggapai ketenangan jiwa dan kedamaian rohani. Allah SWT berfirman:

وَإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Sekiranya ada salah seorang dalam kalangan orang-orang Musyrikin yang meminta perlindungan daripadamu, maka lindungilah dia sehingga dia boleh mendengar Kalam Allah (bacaan al-Quran) kemudian sempurnakanlah jaminan kalian untuk keselamatannya. Hal itu demikian kerana mereka (orang-orang Musyrik) merupakan suatu kaum yang tidak mengetahui (hakikat kebenaran).”

(Surah al-Taubah: 6)

Sedangkan orang yang bukan beragama Islam dan berstatus Musyrik pun perlu untuk mendengar al-Quran, Imam Ibn Kathir al-Dimasyqi menafsirkan ayat di atas: “Iaitu: jika ada orang Musyrik yang meminta perlindunganmu maka lindungilah dia, penuhilah permintaannya sehingga dia boleh mendengar Kalam Allah iaitu: bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang engkau bacakan kepadanya, dan mengingatkan kepadanya beberapa perkara asas tentang agama Islam supaya tertegak hujah Allah ke atas dirinya.” (Lihat Tafsir Quran al-‘Azim, 4/255)

Demikian adalah berkaitan orang-orang Musyrik. Apatah lagi buat umat Islam sendiri yang mana al-Quran itu merupakan sumber rahmat, pedoman dan penyembuh buat mereka secara khusus! Sudah tentu, anjuran mendengar al-Quran lebih-lebih lagi ditegaskan keperluan dan tuntutannya buat sekalian kaum Muslimin.

Mendengar bacaan al-Quran daripada pembaca yang baik juga merupakan amalan sunnah yang baginda Rasulullah SAW suka untuk lakukan. ‘Abdullah bin Mas‘ud RA meriwayatkan bahawa:

قَالَ لِي النَّبِيُّ ﷺ: اقْرَأْ عَلَيَّ، قُلْتُ: أَقْرَأُ عَلَيْكَ وَعَلَيْكَ أُنْزِلَ؟ قَالَ: إِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَسْمَعَهُ مِنْ غَيْرِي

Maksudnya: “Nabi SAW bersabda kepadaku: ‘Bacakan (al-Quran) kepadaku.’ Aku berkata: ‘Adakah saya layak membaca al-Quran di hadapan tuan, sedangkan al-Quran itu diturunkan kepada tuan?’ Baginda bersabda: ‘Aku suka mendengar bacaan al-Quran daripada orang lain.’”

Riwayat al-Bukhari (5056)

Berhubung dengan soalan yang diajukan kepada kami, kami nyatakan di sini bahawa seseorang yang mendengar bacaan al-Quran perlu memenuhi syarat yang digariskan oleh Imam Muhyiddin al-Nawawi seperti berikut:

“Seperkara yang perlu diberi perhatian dan ditegaskan di sini adalah wajib untuk menghormati al-Quran dan kebanyakkan pembaca al-Quran dalam kalangan masyarakat awam yang lalai mengambil ringan perkara ini; antaranya adalah dilarang ketawa (ketika membaca/mendengar al-Quran), dilarang meninggikan suara ketika mendengar al-Quran, dilarang berbual-bual perkara yang lain ketika sesi pembacaan al-Quran melainkan perbualan yang terdesak/diperlukan sahaja. Hendaklah memenuhi arahan Allah di dalam firman-Nya: “Apabila dibacakan al-Quran kepada kalian, maka dengarlah bacaan tersebut dan diamlah; semoga kalian beroleh rahmat.” (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 92)

Dimakruhkan membaca al-Quran atau mahu mendengarnya di tempat yang berpotensi melalaikan kita. Maka, sekiranya tempat kerja itu bersifat bingit, hiruk-pikuk dengan jeritan atau perbualan duniawi, dilarang untuk membuka bacaan al-Quran di tempat seperti ini. Imam al-Nawawi berfatwa dalam kitab Majmu‘:

“Tidak makruh untuk membaca al-Quran di jalanan sekiranya tidak ada perkara yang melalaikan di kawasan jalanan tersebut, demikian yang diriwayatkan daripada Abu al-Darda’ dan ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, manakala Imam Malik pula memakruhkannya. Imam al-Sya‘bi pula berkata: ‘Dimakruhkan membaca al-Quran di dalam kawasan kebun yang biasa digunakan untuk membuang air; dan juga di dalam sebuah bangunan yang berpusing (supaya pembaca al-Quran tidak berada lebih rendah di bawah sesuatu benda); dan yang dinyatakan ini menepati konteks mazhab kita.” (Lihat Majmu ‘ Syarh al-Muhazzab, 2/164)

Di dalam kitab mazhab Hanbali, Imam Mansur al-Buhuti menukilkan fatwa Imam Ibn ‘Aqil al-Hanbali yang mengharamkan pembacaan al-Quran di pasar yang penuh dengan hiruk-pikuk. Imam al-Buhuti menukilkan nas daripada fatwa Imam Ibn ‘Aqil:

“Diriwayatkan bahawa Imam Hanbal berkata: “Kebanyakkan perkataan dan perbuatan yang zahirnya dilihat sebagai amal baik di sisi masyarakat awam, namun hakikatnya ia dihukum sebagai perbuatan dosa di sisi ulama; antaranya seperti membaca al-Quran di pasar-pasar, yang mana ahli pasar tersebut menjerit, penuh dengan hiruk-pikuk seruan dan tawar-menawar jual-beli. Ahli pasar tersebut tidak boleh mendengar al-Quran dengan tertib dan benar, itu suatu penghinaan terhadap al-Quran.” (Lihat Kassyaf al-Qina‘ ‘an Matn al-Iqna‘, 1/433)

Antara adab yang wajib diraikan juga ketika membaca dan mendengar bacaan al-Quran seperti yang dinyatakan Imam al-Nawawi juga adalah: “(Pembaca al-Quran bersama pendengarnya) mestilah menghindari perbuatan sia-sia sama ada menggunakan anggota tangan atau lain-lain anggota, atau melihat kepada perkara-perkara yang melalaikan, atau mencemarkan akal fikiran. Yang lebih buruk lagi, melihat kepada perkara yang diharamkan seperti melihat kepada budak amrad dan lain-lain yang semisal dengannya; sama ada melihatnya beserta syahwat atau tidak. Dan diwajibkan ke atas hadirin dalam majlis bacaan al-Quran untuk mengingkari segala kemungkaran yang dilihat dengan tangan, jika tidak mampu, maka dengan lisan, jika tidak mampu juga; maka bencilah ia dengan hati.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/166)

Kami tegaskan bahawa adab-adab, tertib dan hukum membaca al-Quran adalah sama seperti adab-adab dan hukum-hakam mendengar bacaan al-Quran.

Maka, dibolehkan untuk mendengar al-Quran sambil membuat kerja yang bersesuaian dengannya di tempat yang bersesuaian dengan memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Tempat kerja bukanlah tempat yang melalaikan, atau disibukkan dengan manusia yang terlalu ramai hingga bising, serabut dan sibuk seperti kedai makan atau pasar.
  2. Tidak ketawa ketika mendengarnya.
  3. Tidak meninggikan suara ketika mendengarnya.
  4. Tidak berbual-bual perkara lain melainkan ketika terdesak/memerlukan.
  5. Menghayati sepenuhnya bacaan al-Quran dan mentadabburi maknanya.
  6. Tidak melakukan perkara yang sia-sia dan dosa ketika bacaan al-Quran didendangkan.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa mendengar rakaman bacaan al-Quran sambil membuat kerja adalah dibenarkan selama seseorang yang mendengar itu berada dalam keadaan tertib dan mematuhi adab ketika bacaan al-Quran diperdengarkan, boleh fokus kepada kerja dan menghayati bacaan dalam masa yang sama, tidak menimbulkan gangguan kepada kerjanya dan kepada orang lain yang berada di sekelilingnya. Ini merupakan amalan yang mendatangkan ganjaran pahala, keberkatan dan kekuatan zahir serta batin buat jatidiri seorang Muslim dan Muslimah.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إنِّي أسألُكَ الهُدَى والتُّقَى والعَفَافَ وَالغِنَى

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon dari-Mu; petunjuk, ketakwaan, sifat menjaga diri daripada sebarang kehinaan, dan sifat tidak memerlukan selain-Mu.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply