#6565: Meletakkan Patung dalam Akuarium

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum kalau kita meletakkan patung hiasan di dalam akuarium? Adakah sama seperti perhiasan patung di dalam rumah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa meletakkan patung makhluk bernyawa sebagai perhiasan di dalam akuarium adalah sama sahaja hukumnya dengan meletakkan patung makhluk bernyawa sebagai perhiasan di dalam rumah. Hukumnya adalah haram dan berdosa, ia termasuk dalam kemungkaran yang harus dihindari.

Imam al-Damiri berkata: [Imam al-Nawawi berkata: Antara kemungkaran adalah gambar-gambar (termasuklah patung) haiwan di atap, dinding, bantal, langsir, pakaian yang dipakai (dan di mana-mana tempat pun)] sama ada haiwan atau hidupan itu kecil atau besar, sama ada ukiran gambar/patung manusia atau selainnya, berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ تَمَاثِيلُ أَوْ تَصَاوِيرُ

Maksudnya: “Malaikat tidak akan memasuki rumah yang ada patung dan gambar (lukisan/ukiran) makhluk bernyawa di dalamnya.”

Riwayat Muslim (2112)

Namun dibolehkan jika patung atau gambar tersebut dipotong bahagian kepalanya; atau apa-apa bahan bergambar itu dijadikan bahan lecehan seperti alas pijakan dan duduk.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 7/380-381)

Abu Talhah R.A juga ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya“Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.”

Riwayat al-Bukhari (3225) dan Muslim (2016)

Hadith ini merupakan dalil bagi larangan mengambil patung makhluk bernyawa sebagai perhiasan. Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: “Yang dimaksudkan adalah ukiran patung-patung makhluk bernyawa.” (Lihat Minhah al-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhari, 7/240)

Begitu juga gambar-gambar ukiran dan lukisan makhluk bernyawa turut diharamkan berdasarkan hadith ini. Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas berkata: “Antara sebab yang menghalang malaikat daripada masuk ke dalam rumah adalah kerana terdapat gambar (makhluk bernyawa). Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar itu merupakan maksiat yang tercela dan mempunyai unsur seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT manakala sebahagian daripada gambar-gambar tersebut juga dijadikan sembahan selain Allah. Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumahnya, tidak melaksanakan solat dan doa di dalamnya, tidak meminta keampunan bagi penghuninya, tidak memohon keberkatan seterusnya tidak melindungi penghuni rumah tersebut daripada gangguan syaitan.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/84)

Imam al-Damiri juga berkata: “Ulama bersepakat bahawa malaikat yang tidak masuk ialah malaikat yang membawa berkat; adapun malaikat Hafazah (penjaga insan) dan malaikat pencabut nyawa, maka kedua-dua malaikat ini masih boleh masuk.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 7/381)

Imam al-Bujairimi mengatakan: “Malaikat Rahmat tidak akan masuk rumah orang yang ada:

  • loceng,
  • angsa,
  • air kencing yang tersimpan,
  • atau rumah yang ada ukiran gambar/patung.”

(Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib atau Tuhfah al-Habib, 3/9)

Namun, berdasarkan keterangan di atas, jika patung itu telah dipotong kepalanya (مَقْطُوعُ الرَّأْسِ) dan dijadikan bahan yang dihina dan dilecehkan seperti mainan kanak-kanak kecil; maka barulah tidak dilarang.

Sebahagian ulama memberi keringanan (rukhsah) bagi patung untuk dijadikan mainan anak perempuan, berdasarkan Umm al-Mu’minin Aisyah R.Anha meriwayatkan:

كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ لِي صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِي فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَيَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِي

Maksudnya: “Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sahabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.”

Riwayat al-Bukhari (6130)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengupas faedah daripada hadith di atas seraya berkata: “Para ulama berdalilkan dengan hadith ini akan bolehnya patung boneka berupa perempuan dan bolehnya mainan untuk anak perempuan. Hadith ini adalah pengecualian dari keumuman hadith yang melarang daripada mencipta sesuatu yang menandingi dengan ciptaan Allah. Kebolehan ini ditegaskan oleh al-Qadi ‘Iyadh dan beliau berkata bahawa inilah pendapat majoriti ulama.” (Lihat Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, 10/527)

Namun, ada sebahagian ulama berpendapat bahawa keizinan ini telah dimansuhkan. Imam al-Nawawi mengatakan: “Sebahagian ulama mendakwa hadith di atas telah dimansuhkan, dan ia dimansuhkan dengan larangan-larangan mengambil patung secara umum untuk apa jua keadaan atau kegunaan sekalipun.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/82)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa meletakkan sebarang patung di mana-mana kawasan di dalam rumah, termasuklah di dalam akuarium tanpa sebarang keperluan adalah tidak dibenarkan. Lebih-lebih lagi, aksesori seperti patung makhluk bernyawa untuk diletakkan di dalam akuarium mahupun dalam rumah bukanlah suatu keperluan, jauh sekali keperluan mendesak bagi sesiapa. Cukuplah dengan menjaga haiwan peliharaan dengan baik; memberinya keperluan asas untuk hidup, berlaku baik dan tidak menyeksanya, jika mahu menjadikannya sebagai perhiasan. Jika mahu pun, belilah aksesori ukiran benda yang tidak bernyawa seperti ukiran rumah, pokok, peti dan sebagainya yang bersesuaian, dan elakkanlah ukiran patung makhluk bernyawa.

Cadangan dan syor kami ini adalah supaya tidak timbul dalam diri kita perkara yang boleh membawa kepada perasaan-perasaan pemujaan dan sebagainya. Justeru, menjauhkan diri daripada terjerumus ke dalam hal-hal syubhah seperti ini adalah lebih baik dan sebagai mengambil langkah keluar daripada khilaf. Kaedah ada menyebutkan:

الْخُرُوجُ مِنَ الْخِلاَفِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah amat digalakkan.” (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 2/718)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh dan ketaatan yang diterima oleh-Nya, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلِ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ، وَاجْعَلِ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah kehidupanku ini sebagai asbab penambahan segala kebaikan buat diriku. Dan jadikanlah kematianku kelak sebagai asbab terhentinya aku daripada segala keburukan.”

Wallahu a‘lam.

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *